Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Friday, 24 October 2008

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG ISU HINDRAF


Sikap Kerajaan Barisan Nasional sepertimana yang ditunjukkan melalui tindakan Menteri Dalam Negeri, YB. Datuk Seri Syed Hamid Albar yang baru-baru ini telahpun membuat keputusan untuk mengharamkan Hindraf jelas memperlihatkan ketidakmatangan pemimpin UMNO dan BN dalam menangani ketidakpuasan hati serta tuntutan rakyat khususnya daripada keturunan India yang beragama Hindu itu.

Bahkan terbukti betapa model Kerajaan Islam Hadhari seperti yang dibangga-banggakan oleh Perdana Menteri Malaysia, iaitu YAB. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga hakikatnya GAGAL menterjemahkan prinsip serta nilai-nilai sebenar ketamaddunan pemerintahan Islam khususnya ketika menghadapi segala isu berkaitan perbezaan agama rakyat negara ini yang terkenal sebagai masyarakat “multi racial” dan “multi religious”.

Ternyata juga betapa Islam Hadhari yang dicanang oleh UMNO itu bukan sahaja satu fahaman yang songsang terhadap Islam sebagai Cara Hidup (Deenul Hayah), tetapi juga telah memberikan satu imej buruk terhadap Islam dan mencemarkan kemuliaan serta semangat sejagatnya Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Adalah suatu yang sangat malang bila mana kerajaan lebih cenderung mengambil langkah berkonfrontasi dengan rakyat sendiri sepertimana yang berlaku pada 23 Oktober 2008 yang lepas iaitu insiden penahanan 11 orang individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang menggelarkan diri mereka sebagai “Kumpulan Prihatin Kaum India”.

Lebih memalukan bila mana penahanan tersebut dibuat di hadapan pintu masuk bangunan pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya ketika mana mereka hadir ke situ bagi menghantar sepucuk surat rayuan bagi pembebasan lima orang tahanan ISA Hindraf bersempena ketibaan Perayaan Pesta Cahaya atau Deepavali pada 27 Oktober 2008 nanti.

Kerajaan BN konsisten dilihat tidak berusaha bahkan mengelak daripada membuka ruang perbincangan secara teratur, terarah dan bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan Hindraf. Sehingga kini, kita tidak melihat keseriusan Kerajaan BN bagi duduk berbincang dan mendengar luahan hati rakyat yang dahagakan keadilan serta perhatian daripada pihak pemerintah.

BN ternyata GAGAL memahami kebangkitan suara, kehendak dan kuasa rakyat. BN lebih sinonim dengan pemerintahan diktator yang mengamalkan pelaksanaan tindakan dan hukuman rimba – drakonian seperti contohnya penahanan berwewenang dan pemasungan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri – ISA.

Tindakan Pengharaman Hindraf hakikatnya tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Pengharaman Hindraf hanya akan mengeruhkan lagi salah faham orang bukan Islam terhadap ummat Islam dan pemerintah yang beragama Islam.

Sewajarnya Kerajaan mengambil tindakan yang lebih cermat, hemah, amanah dan fatanah (bijaksana) dengan menghadapi krisis kepercayaan rakyat yang timbul secara berani, bertanggungjawab dan berniat untuk membetulkan apa jua kelemahan yang ada. Bukan sebaliknya!

Pengharaman hanyalah satu tindakan bersifat “hukuman” dan bukannya penambahbaikan terhadap sistem yang pincang atau barangkali dasar-dasar urustadbir yang songsang.

Tindakan Kerajaan khususnya menerusi Menteri Dalam Negeri yang kerap dan ghairah melabelkan Hindraf sebagai satu pertubuhan anti Islam juga harus dikaji semula secara lebih bertanggungjawab bagi menjaga keharmonian kaum dan agama yang ada dalam negara ini.

Tindakan dan sikap melabelkan Hindraf sebagai anti-Islam boleh dan akan dilihat sebagai suatu usaha terancang bagi memperkukuhkan kembali iklim politik “Dasar Pecah Dan Perintah” yang suatu masa dahulu menjadi amalan teras pihak penjajah British di Tanah Melayu.

Dasar ini kemudiannya secara sedar atau tanpa sedar menjadi warisan turun-temurun UMNO dan BN bagi memastikan survival kuasa politik mereka lebih-lebih lagi ketika mana hayat politik mereka kini berada di ambang sakaratul maut selepas gagal mempertahankan kedudukan 2/3 mereka di Dewan Rakyat.
Tindakan penahanan terbaru ini juga ini merupakan satu jenayah pihak berkuasa ke atas rakyat yang merdeka bahkan juga jenayah terhadap hak asasi manusia itu sendiri.

Penahanan mereka adalah tidak berasas sama sekali kerana hak untuk berkumpul, hak untuk bersuara dan hak untuk berpersatuan adalah suatu yang sudah jelas dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Malahan ia juga terkandung di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Justeru, Dewan Muslimat PAS mendesak agar kesemua 10 orang tahanan yang telah disambung reman selama 3 hari lagi agar SEGERA dibebaskan tanpa syarat.

Dewan Muslimat PAS juga menyeru agar segala usaha untuk menangkap semua pemimpin Hindraf di seluruh negara oleh Kerajaan BN seperti yang dihebohkan pada malam tadi agar dihentikan SEGERA memandangkan sekiranya hal ini berlaku maka ianya adalah suatu pembaziran terhadap wang negara yang dikutip melalui para pembayar cukai.

Bukan itu sahaja, tindakan penahanan secara besar-besaran ini seperti yang disebut sebagai Ops Padam Hindraf jelas mempunyai unsur mala fide’ atau niat jahat pemerintah terhadap kebangkitan dan kuasa rakyat.

Hindraf bukanlah musuh kepada mana-mana pihak dan kami percaya bahawa Hindraf juga tidak bermusuh dengan Islam atau sesiapa sahaja. Musuh Hindraf dan seluruh kuasa rakyat adalah ketidakadilan dan kelemahan urus tadbir negara yang didalangi oleh Barisan Nasional.

Isu Hindraf pada hari ini juga mesti dilihat daripada kaca mata yang lebih luas dan bukannya daripada sudut tuntutan para penganut Hindu itu semata-mata yang jelasnya sudah dimanipulasikan oleh Kerajaan BN bagi menimbulkan perasaan tidak selesa di antara rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

t.t

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan

25 Oktober 2008, Sandakan, Sabah .
3.00 am

1 comment: