Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Sunday, 25 May 2008

3.5 Orang Kanak-Kanak Hilang Setiap Hari

RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG KES KANAK-KANAK HILANG
SEPERTI YANG DINYATAKAN
OLEH MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT
(Utusan Malaysia 22 Mei 2008)


DMPP memandang serius berhubung kes kehilangan kanak-kanak yang semakin kronik sejak akhir-akhir ini. Sejak awal lagi DMPP menyedari bahawa kes kehilangan kanak-kanak ini bukanlah kes terpencil atau sekadar melibatkan jumlah 5-10 orang kanak-kanak sahaja tetapi telah mencecah ribuan kes pada setiap tahun. Bahkan statistik jelas menunjukkan betapa berlakunya peningkatan terhadap kes-kes tersebut.

Justeru, DMPP mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya ibu bapa dan keluarga agar memandang masalah ini sebagai masalah besar, serius, berat dan perlukan perhatian yang sangat wajar. Meskipun kita tahu bahawa hanya beberapa nama kanak-kanak yang menjadi mangsa penculikan, pencabulan, perogolan dan pembunuhan tersiar di dada media seperti Nurin, Harirawati, Ang May, Preeshena Varshiny dan terbaru Sharline dan Asmawi, namun sebenarnya ramai lagi mangsa yang tidak diberi liputan oleh pihak media.

Tidak ada liputan tidak bermakna kes tersebut tidak ada. Realiti ini terbukti dengan pengakuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, YB. Dato’ Ng Yen Yen bahawa terkini purata kes kehilangan kanak-kanak dalam negara ini telah mencecah 3.5 kes dalam sehari !

Tentunya rekod ini suatu yang amat memeranjatkan kita dan ternyata satu pencapaian buruk bagi Barisan Nasional yang telah menjanjikan sebuah negara Selamat, Aman Dan Makmur kepada seluruh rakyat jelata dalam PRU-12 yang lepas.

DMPP juga menyelar kerajaan kerana kegagalan mereka dalam memastikan keselamatan rakyat khususnya wanita dan kanak-kanak dalam negara ini. Ini termasuklah dengan peningkatan berterusan bagi statistik jenayah rogol iaitu 4 kes sehari pada tahun 2003, 6.7 kes sehari pada tahun 2006 dan lebih kurang 9 kes sehari pada tahun 2007.

Sepanjang tempoh tersebut kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat GAGAL mengemukakan kepada kita satu Pelan Tindakan Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak yang komprehensif,konstruktif dan efektif. Sedangkan masalah ini bukan baru berlaku sehari dua. Bahkan masalah ini meruntun jiwa kita saban masa dan saban ketika.

Sehubungan dengan itu, DMPP menyarankan agar pihak kerajaan memastikan agar Akta Kanak-Kanak 2001 segera dikuatkuasakan. Sebarang ketidak jelasan para ibu bapa dan anggota masyarakat terhadap akta tersebut sewajarnya sudah diatasi dengan cara perbincangan dan ”road show” penerangan memandangkan akta ini telahpun diluluskan 7 tahun yang lepas. Adalah sangat mustahil dalam tempoh itu, kerajaan masih gagal meyakinkan rakyat berkaitan keperluan dan kewajaran undang-undang tersebut apatah lagi cabaran berkaitan perlindungan kanak-kanak ini semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Ini termasuk jika kita perlu mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak maka hal ini mesti diberikan perhatian dan tindakan segera.

DMPP juga mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat membuat kajian tentang kewajaran mewujudkan suatu akta bagi membendung kelakuan-kelakuan anti sosial di kalangan masyarakat dan keluarga termasuk ibu bapa, adik beradik dan jiran tetangga; yang pada ketika ini kurang mengambil berat terhadap masalah sosial anak-anak atau ahli keluarga mereka misalnya.

Sebagai contoh Akta Kelakuan Anti Sosial (The Anti-Social Behaviour Act) yang telah diperkenalkan di United Kingdom bagi memastikan ibu bapa bertanggungjawab terhadap sebarang salah laku anak-anak mereka. Bahkan saya difahamkan melalui akta ini , pihak berkuasa tempatan, anggota masyarakat dan pihak-pihak bertanggungjawab dalam masyarakat digalakkan untuk memerhati serta melaporkan sebarang kejadian yang boleh dikategorikan sebagai kelakuan anti sosial yang dilakukan oleh golongan kanak-kanak. Mereka juga diberikan kuasa untuk menyelesaikan masalah-masalah yang tercetus dalam masyarakat. Justeru, saya berpendapat jika kewujudan akta sebegini dapat membantu maka apa salahnya KPWKM mempersiapkan dan mengusulkannya untuk diperbahas di dalam Dewan Rakyat yang akan datang.

DMPP menginsafi longgarnya ikatan keluarga, runtuhnya peranan & institusi keluarga serta musnahnya semangat kejiranan dan seumpamanya telah menjadikan peranan anggota masyarakat kita lemah. Budaya tegur menegur, ingat-mengingati dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling sudah semakin asing dalam hidup kita. Dan tentunya semua ini adalah cabaran pembangunan dan kita agak terlewat menguruskan cabaran tersebut sehinggakan masyarakat kita hidup seolah saling terpisah-pecah.

Justeru, DMPP percaya bahawa cabaran ini mesti kita hadapi dan tangani meski kita barangkali agak terlewat. Kalau dulu masyarakat ada kuasa untuk menegur dan melaporkan segala kelakuan anti sosial. Kemudiannya bila masuk satu fasa baru pembangunan negara maka masyarakat kita berubah,tidak mudah menegur dan tidak suka ditegur atas nama kebebasan diri dan atas momokan ”jangan jaga tepi kain orang.” Tetapi ternyata sikap sebegitu memusnahkan anak-anak bangsa kita sendiri. Bahkan memusnah inci demi inci maruah dan wibawa diri kita yang masih berdiri. Dan saya yakin dan percaya ini perlu dilihat semula (review), diperbaiki dan diurus sebaiknya.

DMPP juga percaya, kerajaan dan para ibu bapa wajar kembali kepada Islam. Menanamkan sifat dan sikap takut kepada Allah walau di mana sahaja kita berada, di dalam mahupun di luar rumah. Bersendirian mahupun dalam kelompok ramai. Tanamkan keyakinan bahawa segala gerak geri kita diperhatikan Allah. Kehidupan dunia hanya sementara dan adanya kehidupan di alam kubur dan juga di alam akhirat.

Tanamkan lepada ummat betapa di sana adanya syurga dan neraka. Manusia yang berbuat baik akan masuk syurga dan manusia yang berbuat jahat akan masuk neraka, beratus ribu tahun lamanya.

Kalau inilah yang ditanamkan lepada rakyat, saya percaya pencuri yang mahu mencuri akan takut mencuri. Penculik yang mahu menculik akan takut menculik. Perogol yang mahu merogol akan takut merogol kerana mengingatkan pedihnya azab Allah. Pembunuh akan takut membunuh. Pemimpin akan takut khianat lepada rakyatnya.

Ini kerana pada ketika manusia tahu, faham dan yakin akan hidup beragama, di sana ada Tuhan, ada balasan baik dan balasan buruk; maka semua manusia akan kembali kepada fitrahnya. Fitrah manusia pula ádalah suci bersih, ibarat kain putih menurut sabda Nabi SAW. Terserah kepada ibu bapa bagaimana mahu mencorak anak-anaknya . Juga terserah kepada pihak pemerintah bagaimana bentuk masyarakat yang mahu dicorakkannya.

Akhirnya, KPWKM disaran agar jangan semata-mata tahu memaklumkan kepada kita tentang peningkatan statistik kes kehilangan kanak-kanak dalam negara ini tetapi juga seharusnya cekap dan berkesan dalam mengambil apa jua tindakan bagi mengatasi atau membendung masalah tersebut. Di situ beza dan perlunya peranan mereka sebagai pihak berkuasa yang mempunyai kuasa dalam negara ini.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

22 Mei 2008, Kuala Lumpur .

No comments:

Post a Comment