Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday, 20 May 2008

Bantah Pendidikan Seks Dalam PLKN

RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG CADANGAN MEMASUKKAN SLOT PENDIDIKAN SEKS
KEPADA PELATIH PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
OLEH MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT
(Utusan Malaysia 8 Mei 2008)


DMPP membantah cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, YB. Dato’ Ng Yen Yen untuk memasukkan slot Pendidikan Seks kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepertimana yang telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 8 Mei 2008.

DMPP melihat bahawa cadangan tersebut dibuat dengan sikap ambil mudah dan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Ini kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) bersama Kementerian Pelajaran sewajarnya terlebih dahulu meletakkan dan menjelaskan kepada umum (yakni rakyat) akan Konsep, Objektif dan Mekanisma Pendidikan Seks itu sebelum mengambil tindakan bersifat ”tangkap muat” kepada para pelatih PLKN dan seterusnya kepada generasi muda seluruhnya.

Bahkan Konsep, Objektif dan Mekanisma Pendidikan Seks tersebut mestilah dapat diterima serta mengambilkira pandangan semua kaum dan agama dalam negara ini. Justeru kerana rakyat Malaysia adalah rakyat yang beragama,beradab dan berbudaya luhur.

Konsep, Objektif dan Mekanisma itu nanti seeloknya juga dimuatkan terus ke dalam Dasar Sosial Negara (DSN) yang telah dilancarkan pada 19 Ogos 2003 kerana yang jelas wujud kelompangan yang sangat ketara dalam DSN meskipun telah lima tahun berlalu selepas ianya dibawa kepada khalayak.

Sehingga kini, DMPP telah mengenalpasti bahawa pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak belum lagi diambilkira bagi menghasilkan pengisian yang terbaik untuk program tersebut. Pandangan dan perspektif Islam contohnya merupakan aspek yang sangat penting untuk diberi perhatian agar agenda program tersebut dapat membuahkan hasil yang terbaik.

Ini kerana Pendidikan Seks dalam Islam ternyata berusaha menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang ( yakni zina). FirmanuLlah dalam Surah Al Isra’:32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” Manakala dalam Surah An-Nur: 30-31 misalnya, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka….Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya….”.

DMPP menyedari bahawa Pendidikan Seks telah menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat melibatkan masyarakat awam, kerajaan, ahli akademik dan lain-lain. Oleh sebab itu, topik berkaitan konsep, objektif dan mekanisma pendidikan seks merupakan aspek penting yang terlebih dahulu mesti dilumatkan dalam perbincangan kerana ia perlu difahami secara jelas dan mendalam sebelum program tersebut dilaksanakan. Semua itu merupakan asas di dalam menentukan kerangka, halatuju dan halacara pelaksanaan program pendidikan tersebut.

Turut perlu diberi penakanan ialah kriteria guru yang akan dipertanggungjawabkan dalam pengajaran subjek Pendidikan Seks. Tentunya individu tersebut seorang yang mesti terlatih, berilmu, berakhlaq dan santun dalam penyampaiannya.

Jika dilihat pada perspektif agama, perbincangan tentang seks adalah digalakkan selagi ia bermatlamatkan kepada keinginan untuk mencari kebenaran dan sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perbincanganan tersebut mestilah berlandaskan kepada pentafsiran ayat-ayat al-Quran, al-Sunnah dan juga pandangan ilmuan Islam yang berautoriti sama ada di kalangan ilmuan lampau atau semasa. Hasil daripada perbincangan tersebut sepatutnya mampu menghasilkan satu garis panduan yang jelas untuk menggubal dasar etika dan adab berkaitan dengan kekeluargaan, seksualiti dan reproduktif yang bercirikan Islam.

Sehubungan dengan itu, DMPP ingin mengingatkan KPWKM bahawa Malaysia tidak wajar terbawa-bawa dan dibiarkan mengikut rentak atau acuan negara-negara Barat . Konsep yang digunakan oleh pihak Barat dalam Pendidikan Seks ini sudah ternyata GAGAL, kerana jelas generasi muda mereka dalam konteks pendidikan seks yang mereka amalkan ; Ibarat semakin dididik, semakin rosak! Ini berlaku disebabkan mereka (generasi muda Barat) bukan diajar agar menjauhi zina tetapi dididik tentang peri pentingnya melakukan apa yang disebut sebagai ”seks aman dan sihat”, agar tidak meninggalkan kesan yang negatif seperti mengandung anak luar nikah, menularnya penyakit kelamin dan seumpamanya termasuk AIDS dan HIV!

Ini terbukti bilamana beberapa penelitian sains sosial misalnya yang dijalankan oleh John Hokins pada tahun 1982 lagi menemukan betapa lebih 80% remaja di Amerika contohnya sudah pernah terlibat dengan aktiviti seksual (di luar nikah) paling kurang sekali. Demikian, rumusan yang hampir sama telah diungkap oleh Marion Wright Elderman, Presiden Organisasi Children Defense Fund.

Apakah generasi muda sebegitu yang mahu kita lahirkan daripada pelaksanaan subjek Pendidikan Seks yang bersifat “tangkap muat” dan “melepaskan batuk di tangga” ini ? Lebih menimbulkan keraguan dan kerisauan kita ialah bilamana ianya dicadang untuk dimasukkan menjadi satu slot atau barangkali modul baru bersempena adanya satu Program Latihan Khidmat Negara ? Justeru, DMPP mendesak agar Menteri PWKM menjelaskan kepada kita apakah rasionalnya pihak KPWKM menguslkan cadangan ini kepada TPM dan seterusnya kepada MLKN atau JLKN ? Adakah KPWKM telah sekurang-kurangnya mengadakan kajian tentang keberkesanan cadangannya ?

DMPP percaya adalah sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab bilamana pihak KPWKM bertindak mengemukakan cadangan tersebut dalam satu program yang jelas mempunyai visi dan misi yang khusus dalam konteks patriotisme seseorang remaja. Apatah lagi umum mengetahui betapa modul-modul yang sedia ada dalam PLKN sepertimana modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karekter dan modul khidmat komuniti sudah terlalu padat dan berat .

Bukan setakat itu, kementerian wajar sedar dan mengambil iktibar daripada segala masalah yang telah timbul dalam PLKN sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004. Kekerapan pelbagai masalah bersilihganti sepanjang tempoh pelaksanaannya seperti pergaduhan, gangguan seksual, peras ugut, ragut, mencabul, rogol, penyalahgunaan dadah, kes kehilangan pelatih dan yang paling malang ialah sehingga kini sejumlah 16 kematian pelatih telah direkodkan.

Lebih merisaukan kita semua khususnya ibu bapa ialah bilamana subjek Pendidikan Seks tersebut dihidangkan kepada para remaja yang merupakan pelatih PLKN dalam keadaan di mana mereka itu berjauhan daripada pemerhatian keluarga. Apatah lagi umum mengetahui betapa generasi muda ini khususnya yang meningkat remaja adalah satu kelompok yang ”eager” untuk mencuba segala yang baru.

Dapatkah kita membayangkan apakah yang akan berlaku nanti setelah mereka didedahkan dengan subjek Pendidikan Seks di tempat dan pada masa yang saya percaya sangat tidak sesuai ?

Justeru, DMPP menegaskan bahawa PLKN bukanlah satu medium hatta bukan juga satu tempat dan masa yang sesuai untuk KPWKM menyelit masukkan subjek atau modul pendidikan seks kepada para pelatih. Cadangan tersebut mesti dihentikan dengan segera dan KPWKM disaran terlebih dahulu menjelaskan kepada kita (rakyat) tentang Konsep, Objektif dan Mekanisma Pendidikan Seks yang mahu diterap dan diserap masuk kepada generasi muda negara kita.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

9 Mei 2008, Kuala Lumpur .

No comments:

Post a Comment