Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Monday, 9 June 2008

Vigil 7 Jun 2008 Kem Tahanan Kamunting : Himpunan Terbesar Gabungan Membantah I.S.A


Seperti yang telah dirancang oleh kami akhirnya pada malam 7 Jun 2008, berkumpullah para aktivis dan reformis di bumi Kamunting. Ada yang berarak sejauh 4 kilometer. Saya dan kumpulan pula berarak lebih kurang 1 kilometer. Semuanya menuju ke satu arah yang sama iaitu hadapan pintu penjara di Kem Tahanan Kamunting. Ternyata percubaan pihak polis untuk menyekat kehadiran para peserta di setiap jalan masuk Kamunting tetap tidak berjaya menahan lebih seribu orang peserta daripada bolos dan akhirnya berarak sambil memegang lilin masing-masing sebagai simbol perjuangan membawa cahaya kepada kehidupan yang gelita lantaran ketidakadilan pihak penguasa.




Dalam meredah kegelapan malam bertemankan cahaya lilin, saya terserempak dengan Komrad Arul, Letchimi dan rakan-rakan NGO-JERIT yang lain. Sememangnyalah, dalam setiap pertemuan kami di jalan-jalan raya bagi memperjuangkan kebajikan rakyat kami akan kelihatan sangat gembira bila mengetahui kehadiran antara satu sama lain. Pada malam itu, saya terkesan dengan kata-kata Arul : "Athirah dan kawan-kawannya dah sampai maka kita sudah lengkap." Saya hanya mampu tersenyum sambil cuba menyelami maksud mendalam Arul yang sangat saya hormati lantaran ketekunan dan iltizamnya membantu rakyat tertindas tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik masing-masing.



Dalam perjalanan menghampiri Kem Kamunting saya seterusnya bertembung dengan kumpulan dari Dewan Muslimat PAS Negeri Perak yang dipimpin oleh Naib ketua DMPN Perak, Puan Amizan Baharuddin dan juga Mantan Ketua DMPN Perak iaitu Ustazah Naqibah No'ma (atau lebih mesra dipanggil Mak Su Naqibah) , anak kepada ulama tersohor PAS iaitu Almarhum Ustaz Abu Bakr Al Bakir. Tak tergambar kegembiraan di hati saya melihat betapa semangat solidariti yang ditunjukkan para Muslimat PAS kepada Himpunan tersebut. Kelihatan mereka begitu gah sekali. Masih terbayang bilamana Mak Su mengangkat tangan kanannya sambil menggenggam jari dengan melaungkan takbir yang mulia.


Bagi saya himpunan pada malam itu sangat berjaya walaupun saya difahamkan masih ramai juga peserta yang tak dapat sampai akibat sekatan pihak berkuasa polis. Bahkan saya turut difahamkan itu adalah perhimpunan paling besar yang pernah berlaku bagi membantah akta rimba - drakonian I.S.A.

Dan ternyata luahan rasa dua orang isteri kepada mangsa tahanan ISA pada malam itu menggamit empati dan simpati kami. Ada yang mengalirkan air mata. Tidak kurang yang mengecam pihak berkuasa dzalim Regim Abdullah Ahmad Badawi.



Sehinggakan malam yang gerimis - renyai itu tidak langsung mematahkan semangat para peserta himpunan. Laungan demi laungan, slogan demi slogan berkumandang. Sehinggalah pihak polis mengarahkan pihak kami berhenti berucap dan seterusnya mengarahkan agar bersurai. Kerana yakin mesej kami telah sampai kepada rakyat di bumi Kamunting, Taiping Perak dan juga pihak penguasa dzalim, dan kerana mematuhi undang-undang kami secara tertibnya bersurai sambil menyanyikan lagu rakyat berkaitan kedzaliman Pak Lah, kroni dan konco-konconya.



Apa pun, perjuangan membantah ISA tidak akan terhenti di situ dan percayalah kita bakal ketemu lagi.Syabas kepada para aktivis dan reformis. Saya sudah membilang. Saya sudah mengenang wajah-wajah kalian. Justeru, saya cukup percaya kebangkitan rakyat Malaysia akan terus subur dan luhur. Hidup perjuangan rakyat! Allahu Akbar!





No comments:

Post a Comment