Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Sunday 20 July 2008

Bingung Rundingan FTA Malaysia-AS Diteruskan Meskipun mendapat Banyak Bantahan

SM Mohamed Idris Jul 17, 08 3:21pm

Kami amat terkejut dan berasa kecewa apabila mendapati kerajaan masih meneruskan rundingan perjanjian perdagangan bebas Amerika Syarikat-Malaysia (FTA) di sebalik semua bantahan dan fakta bahawa kerajaan Amerika Syarikat kini dalam masa peralihan. Pusingan terbaru rundingan bermula Isnin, 14 Julai di Washington, DC.

Masyarakat awam mempunyai beberapa kebimbangan yang tidak pernah ditangani dengan memuaskan oleh pihak kerajaan, contohnya dengan mengemukakan analisis manfaat kos yang lengkap. FTA ini akan memberikan kesan ketara terhadap semua sektor masyarakat dan ekonomi Malaysia. Kesan ke atas perusahaan kecil dan sederhana (SME) terutamanya akan terjejas teruk.

Kira-kira 99.2 peratus perusahaan yang wujud di Malaysia adalah SME. Menurut Pelan Induk Industri Ketiga, perkembangan persaingan dan semangat yang tidak mudah luntur SME adalah bahagian penting daripada inisiatif bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. Bagaimanapun, SME adalah sektor paling terjejas oleh hampir semua bahagian yang dicadangkan dalam FTA Amerika Syarikat-Malaysia.

SME pertanian, contohnya penternak ayam dan penanam padi, akan mengalami kesukaran untuk bersaing dengan produk import kerana FTA akan menghapuskan hampir semua tarif Malaysia ke atas produk pertanian Amerika Syarikat. Produk pertanian ini mendapat subsidi yang tinggi dan dijual di bawah kos pengeluaran.

Bahagian hak intelektual juga akan meningkatkan kos bagi petani Malaysia yang pada masa depan akan diperangkap dengan dakwaan benih adalah di bawah hak persendirian. Pengeluaran SME juga akan berdepan dengan peningkatan persaingan kerana FTA Amerika Syarikat memerlukan penghapusan hampir semua tarif ke atas produk yang dikeluarkan daripada Amerika Syarikat.

Kehilangan perolehan kerajaan Malaysia daripada penghapusan tarif ini amat sukar untuk diperolehi daripada sumber lain menurut kajian FTA oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), jadi salah satu bidang perbelanjaan yang mungkin dipotong ialah bantuan kepada SME. SME dalam sektor perkhidmatan juga akan berhadapan dengan meningkatnya persaingan akibat FTA.

Malaysia sudah pun melihat apa yang berlaku apabila ia meliberalisasikan perkhidmatannya. Contohnya ialah pembukaan sektor peruncitan kepada pasar raya besar asing yang berkembang begitu cepat sehingga kedai runcit tempatan tidak dapat bersaing. Malaysia boleh mengembalikan semula keadaan ini dengan menghadkan di mana pasar raya besar dibuka kerana tidak terikat kepada sebarang FTA untuk membenarkan perkembangan tidak terkawal pasar raya besar asing.

SME yang bergantung sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada kontrak daripada kerajaan Malaysia juga akan turut terjejas jika Malaysia menerima tuntutan Amerika Syarikat supaya membuka perolehan kerajaan kepada syarikat Amerika melalui FTA. Apakah yang akan diperolehi oleh SME Malaysia daripada FTA Amerika Syarikat? Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) mengenai Perdagangan dan Pembangunan menyatakan bahawa SME berdepan dengan pelbagai halangan yang mengurangkan kemampuan mereka untuk mendapat manfaat daripada perdagangan antarabangsa.

Malah SME Australia tidak menjangka untuk memperolehi manfaat yang banyak daripada FTA Amerika Syarikat-Australia. Seterusnya, bagi memastikan FTA Amerika Syarikat-Malaysia berkuatkuasa, ia mestilah diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat menggunakan 'fast track authority' yang menghadkan Kongres untuk mengundi atau menentang seluruh FTA.

Bagaimanapun, kuasa ini tamat tempohnya pada 30 Jun 2007 dan tidak diperbaharui oleh Kongres. Penganalisis politik Amerika Syarikat menjelaskan bahawa bagi pelbagai alasan, Kongres tidak mungkin memperbaharuinya bagi presiden Bush. Ini bermakna jika Presiden Bush menandatangani FTA Amerika Syarikat-Malaysia, ia tidak mengikat Kongres atau presiden Amerika Syarikat pada masa depan.

Setiap ahli Kongres boleh membuat tuntutan seterusnya daripada Malaysia dalam usaha untuk meluluskannya dan Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk membuat tuntutan balas. Atas alasan ini, ramai pakar perdagangan dalam dan luar Malaysia bingung kenapa Malaysia meneruskan rundingan FTA ini.

Kami ulangi, untuk masa depan negara dan SME kita, kami menggesa kerajaan supaya menghentikan rundingan FTA Malaysia-Amerika Syarikat.

SM Mohamed Idris adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment