Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Sunday 13 July 2008

Kenyataan Media



BERHUBUNG CADANGAN
PERLANTIKAN DCP DATUK ROBIAH ABDUL GHANI
SEBAGAI WANITA PERTAMA DI MALAYSIA YANG MENJADI KETUA POLIS NEGERI



Dewan Muslimat mengucapkan syabas dan tahniah kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negeri Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani yang dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Pahang bagi menggantikan Datuk Ayob Mohamed yang bersara wajib pada September nanti. Dewan Muslimat menyifatkan perlantikan itu sebagai suatu penghormatan dan pengiktirafan terhadap kaum Hawa yang selama ini banyak menyumbang khidmat cemerlang dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Sehubungan dengan itu, menjadi harapan Dewan Muslimat agar dengan kehadiran beliau di peringkat ”pembuat keputusan” itu akan mampu memastikan terpeliharanya maruah dan penghormatan golongan wanita khususnya mereka yang ditahan reman bagi membantu siasatan terhadap mana-mana kes yang melibatkan tugas pihak polis.

Dewan Muslimat juga memandang serius terhadap beberapa kejadian salah guna kuasa mahupun pencabulan hak asasi manusia yang telah dilakukan oleh pihak polis ke atas para tahanan khususnya wanita dan kanak-kanak sepertimana yang telah beberapa kali dilaporkan oleh pihak media sebelum ini.

Bahkan pencabulan dan salah guna kuasa itu juga terkandung di dalam ”rahsia umum” Laporan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan Dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia setebal 634 halaman.

Insiden menggemparkan di mana pihak polis menangkap seorang wanita yang menjual VCD Ceramah berkaitan Reformasi, menahannya sehingga enam hari tanpa memaklumkan kesalahan yang jelas dan seterusnya tindakan membogelkan tahanan tersebut serta mengarahnya ketuk ketampi di hadapan tahanan wanita yang lain jelas merupakan suatu pencabulan yang sesungguhnya tidak dapat dimaafkan oleh kita masyarakat yang bertamadun.

Dewan Muslimat turut meyakini jika sekiranya anggota dan pegawai polis wanita di semua peringkat mengambil iktibar daripada kejadian malang ini sudah tentu nasib dan maruah kaum wanita di Malaysia akan lebih terjamin serta dipelihara.

Dewan Muslimat justeru berharap agar dengan perlantikan Datuk Robiah Abdul Ghani sebagai Ketua Polis Negeri Pahang itu, pihak PDRM akan menjadi lebih peka terhadap kejadian malang yang menimpa kepada golongan wanita dan kanak-kanak dalam negara ini.

Peningkatan statistik kadar jenayah rogol misalnya yang membabitkan wanita iaitu 8-9 orang mangsa kes rogol setiap hari mesti diberikan penekanan dan perhatian. Demikian juga statistik kes kehilangan kanak-kanak yang mencecah 3-5 orang setiap hari merupakan suatu ancaman terhadap kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia.

Dewan Muslimat percaya walaupun hak sasi manusia terpakai pada semua orang tanpa mengira jantina dan umur, tetapi wanita dan kanak-kanak memerlukan layanan istimewa kerana status mereka yang ”lemah”. Undang-undang negara dan juga surat-surat cara antarabangsa mengiktiraf dan memperuntukkan perkara ini.

Dewan Muslimat juga ingin menegaskan bahawa menghormati dan memenuhi keperluan dan hak istimewa wanita dan kanak-kanak bermaksud menghormat dan memenuhi keperluan dan hak istimewa kira-kira lebih separuh daripada penduduk Malaysia.

Dengan kehadiran seorang wanita yang gigih dan dedikasih seperti Datuk Robiah Abdul Ghani di dalam kepimpinan tertinggi PDRM yang juga kita sifatkan sebagai peringkat bertaraf ”pembuat keputusan” itu sesungguhnya diharapkan menjadi suatu kelebihan kepada beliau untuk membuktikan keprihatinan yang tinggi bagi memastikan keselamatan rakyat.

Ini kerana Dewan Muslimat percaya bahawa secara semulajadinya dan tabi’e nya seorang wanita itu mempunyai daya keprihatinan, sensitiviti dan fokus pertanggungjawaban yang lebih tinggi berbanding kaum lelaki. Justeru, kekuatan itu seharusnya dapat membantu beliau menjalankan tugas dan tanggungjawabnya menjaga keselamatan dan keamanan rakyat khususnya di negeri Pahang secara lebih kreatif dan efektif.



Akhirnya, Dewan Muslimat mengucapkan syabas dan tahniah kepada DCP Datuk Robiah Abdul Ghani atas perlantikan tersebut dan mendoakan agar beliau diberi kekuatan dan hidayah daripada Allah untuk menunaikan tanggungjawab dan amanah itu dengan penuh ketaqwaan.


Hormat Daripada,
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat

14 Julai 2008, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment