Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Thursday 10 July 2008

Relevankah Meneruskan Kerjasama Pakatan Rakyat?

Saya sangat berharap agar PROTES 678 tidak menjadi polemik perpecahan dalaman PAS dan dalaman Pakatan Rakyat (PR) itu sendiri. Walau bagaimanapun, pimpinan tertinggi PAS diharap dan disarankan agar mengambil langkah untuk re-treat kerjasama dan tahalluf siasih PAS dengan rakan-rakan Pakatan yang lain. Bersekali meletakkan dan menjelaskan ”kepantangan” parti masing-masing agar jangan sesekali terlanggar atau sengaja melanggar ”kepantangan” itu barangkali. Khususnya dalam program yang dianjurkan secara kerjasama mahupun dalam bentuk gabungan bersama badan-badan bukan kerajaan.

Pimpinan tertinggi PAS khususnya Presiden dan Timbalan Presiden mesti berani mengambil langkah susulan dan seterusnya pendirian yang jelas dan tegas khususnya dalam isu PROTES 678 itu. Agar jangan nantinya, ahli dan pemimpin PAS ”second layer” mahupun ”third layer” menanggung kesan daripada ketidakjelasan kerjasama apatah lagi ”kepantangan” yang ada.

Saya sudahpun beberapa kali bertanya kepada pimpinan tertinggi parti sejauh mana ikatan dan persefahaman kerjasama kita dalam Pakatan. Bahkan dalam satu mesyuarat penting (peringkat parti) yang lepas saya secara panjang lebar membangkitkan hal ini dan menegaskan betapa pentingnya pimpinan tertinggi parti menjelaskannya kepada pemimpin PAS ”second layer” mahupun ”third layer” itu khususnya kepimpinan di peringkat Dewan-Dewan Pusat.

Bukan apa, sebab rasionalnya yang ”berurusan kerja” dengan para petugas dan pimpinan PR second layer mahupun third layer adalah kami. Sangat malang, bilamana petugas dan pimpinan PKR menyebutkan kepada kami bahawa sesuatu keputusan itu adalah ”Keputusan Pakatan Rakyat”, sedangkan pada masa yang sama sebenarnya kebanyakan kami tidak tahu, tidak dimaklumkan dan tidak diarahkan apa-apa secara prosedur organisasi yang betul.

Dalam konteks perpindahan lokasi PROTES 678 ke Stadium MBPJ misalnya kami mendesak agar ”Pimpinan Tertinggi PR” itu membuat sidang media bersama bagi memaklumkannya kepada ahli. Malangnya, saya sendiri yang berada di Ibu Pejabat PAS tidak langsung melihat apa-apa Kenyataan Bersama. Hanya pada sekitar jam 4 petang, 4 Julai 2008 barulah kenyataan bersama itu dilaporkan oleh harakahdaily.
Itu pun dalam bentuk olahan berita. Mana perginya Kenyataan Media yang penuh itu? Bagaimana pihak Ibu Pejabat PAS tidak langsung diberi salinan kenyataan lengkap yang disebut telah ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung parti-parti Pakatan Rakyat? Di mana silapnya? Mustahil ianya boleh disandarkan hanya kepada kesilapan teknikal ataupun kelemahan pengurusan!

Keterlaluankah seandainya ada di kalangan kita yang tekad mentamsilkan bahawa kerjasama PR seolahnya ibarat Air dengan Minyak yang tidak mungkin bersatu? Gopohkah penamsilan itu ataukah kita (baca pemimpin PR) yang terlewat atau barangkali sudah tidak mampu ”menguruskan” kerjasama ini dengan lebih baik, bertanggungjawab dan berkesan? Secara tegas saya ungkapkan, kita tidak mahu adanya sikap di antara pimpinan yang ”lontar batu sembunyi tangan”. Kerana menurut firasat saya, jika sudah sampai tahap keperluan maka pimpinan tertinggi arahkan sahaja, kami anggota tangan dan kaki parti (PAS) ini insyaAllah akan menurut arahan.

Dua minggu yang lepas ana bertemu dengan Timbalan Presiden PAS, Al Fadhil YB. Ustaz Nasharuddin Mat Isa di Bangunan Parlimen dan mencadangkan agar diadakan segera Liqo' Al Fikri di kalangan kepimpinan tertinggi PAS di peringkat pusat mahupun negeri. Objektifnya ialah bagi membolehkan kita semua berbincang dan menghadam seterusnya memahami sejauhmana kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat ini. Justeru kerana ana yakin PAS adalah sebuah parti massa yang dominan memimpin perubahan sejak 50 tahun yang sudah. Respon Timbalan Presiden terhadap cadangan ana ialah : kita perlu selesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum adakan liqo yang ana cadangkan itu. Ana akur dan faham. Persoalan ana sekarang, sudah selesai kah belum?...

Realitinya, kita dimaklumkan bahawa pada masa ini kita berada di gerbang peralihan kuasa khususnya di peringkat PERSEKUTUAN. Justeru, teramat penting untuk PAS memimpin dan dilihat memimpin peralihan dan perubahan ini. Mendominasi diri dengan cara terbuka. Perlu diingat juga bahawa kita sekarang berada dalam zaman merit dan demerit. Amat penting untuk PAS diterima rakyat, kawan dan lawan berdasarkan kapasiti meritnya. Bukannya berilusi dengan kaedah dan nazam paksaan. Tetapi diterima kerana itu selayaknya untuk PAS dinobatkan.

Untuk sampai ke gerbang ini, PAS sudah menyelusuri pelbagai mehnah dan fitnah. Dan percayalah di hadapan sana dengan niat PAS memimpin ummah, mehnah dan tribulasi itu jauh lebih besar dan ganas! Lebih “ganas” daripada persembahan musik kumpulan underground pada PROTES 678 itu. Justeru apa sikap kita? Apa persiapan kita? Apa strategi kita? Ana percaya, semua itu perlu kepada satu peta tindakan yang holistik, inovatif dan efektif. Dilakar oleh lapisan pimpinan yang jelas dan faham arah tuju kerjasama kita dan diterima pula secara syura.

Persoalannya.... adakah kita sudah memulakannya? Lebih serius persoalan ana ialah bagaimana mungkin kita memulakannya kalau perbincangan akan bentuk dan konsep kerjasama itu belumpun dibuat.
Pendirian ana,jelas... insiden 678 wajar dijadikan petunjuk oleh pimpinan dan ahli PAS bahawa KITA INI SEBENARNYA MAHU APA? MardhatiLlah JELAS...itu memang dan sewajibnya yang kita dambakan. Soalan saya : KITA INI MAHU APA DALAM PERCATURAN POLITIK NEGARA MALAYSIA?

Fikirkan...semua peringkat wajib memikirkannya. Dan tolong jangan bagi jawapan yang tidak berpijak di bumi nyata. Ibarat badan yang tergantung di langit, kaki tidak jejak di bumi.
Sejujurnya, PAS insyaAllah Boleh. Takbir!

2 comments:

  1. Alhamdulillah..dah berkali2 buka blog ni untuk dengar kata hati tuan punya blog ini...kini dah lega dapat baca...

    ....teman lokap anda...

    ReplyDelete
  2. Terkenang dialog Tan Sri P ramlee dlm filem Hang Tuah yg berwarna...
    "siapa yg salah? jebat kah salah...atau aku kah yg salah?"

    ReplyDelete