Cawat Bukan Pakaian Asal Kaum Iban Sahaja Tapi Pakaian Asal Ummat Manusia Sebelum Menerima "Kemajuan & Pembangunan"... Islam...
Isu yang dibangkitkan khususnya oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang seperti yang tersiar dalam UM, 24 Julai 2009 wajar dilihat sebagai suatu usaha memburuk-burukkan Presiden PAS dan PAS itu sendiri yang hakikatnya kini sudah mendapat tempat di hati masyarakat pribumi Sarawak khususnya Kaum Iban! Ini terbukti dengan terbentuknya Kelab-Kelab Penyokong PAS dari kalangan Kaum Iban hampir di kebanyakan kawasan dalam negeri Sarawak termasuklah di Batang Aai.
Saya sendiri dalam rombongan Outreach XPDC Dakwah Kita Bersaudara ke Bumi Kenyalang dalam Bulan Mei 2009 yang lepas telah menyaksikan kebangkitan masyarakat kaum Iban dan kebersamaan mereka dengan perjuangan PAS. Bahkan pemimpin-pemimpin Masyarakat Kaum Iban ini sendiri menyatakan kepada rombongan kami betapa mereka sudah tidak percaya dengan kepimpinan BN yang ada sekarang khususnya di negeri Sarawak. Mereka juga menegaskan kepada kami bahawa Kaum Iban merupakan kaum yang memegang kepada janji dan setia. Justeru bila mereka sudah bersama dengan perjuangan PAS kerana percaya dengan keadilan Islam kepada semua kaum maka tiada apa lagi yang perlu diragui.
Regim BN hakikatnya telah merampas beberapa tanah adat masyarakat Kaum Iban dan sehingga sekarang ini tiada bayaran pampasan yang mereka perolehi sepertimana di Sebuyau dalam Kawasan Batang Lupar, Sarawak. Terdapat kawasan tanah adat Kaum Iban yang diambil alih oleh Kerajaan BN dan yang lebih malang tanah itu diambil oleh syarikat milik Tabung Haji, yang secara tidak langsung memberikan imej yang sangat tidak tepat dan tidak baik kepada Islam itu sendiri.
Adapun ucapan ceramah TGHH yang sedikit menyentuh tentang “misalan yang berlaku di Sarawak” iaitu kegagalan PR untuk mengambil alih kerusi DUN Batang Aai itu hakikatnya telah diputarbelitkan dan difahami di luar konteks.
Presiden PAS hanya menyifatkan bahawa kebangkitan rakyat di seluruh Negara jelas telah menolak Regim Barisan Nasional sepertimana yang dapat kita lihat dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil di seluruh Negara selepas PRU-12. TGHH menegaskan hanya kawasan-kawasan yang sengaja dibiarkan mundur dan BN sengaja membiarkan rakyatnya hidup susah akan terus mengundi BN. Undi ini adalah atas “budaya tongkat” dan “budaya pergantungan” rakyat terhadap BN yang sengaja dipupuk bagi memastikan survival Regim BN di kawasan-kawasan terbabit.
Istilah cawat bukanlah penghinaan terhadap Kaum Iban tetapi perumpamaan yang digunakan oleh TGHH untuk menegaskan betapa terdapat sebahagian tempat di bumi Sarawak itu yang masih dibiarkan rakyatnya hidup susah, jauh daripada pembangunan dan pemodenan. Dan semua itu adalah strategi BN mengekalkan kuasa. Asal semua manusia sebelum menerima kemajuan dan pembangunan juga memakai cawat termasuklah nenek moyang kaum Melayu yang kini juga menjadi PM ke-6 dan kini memakai Kot! Tiada apa yang hina dengan hakikat itu.
Saya dan rombongan Outreach XPDC Dakwah Kita Bersaudara sendiri melihat berapa banyak tiang-tiang elektrik didirikan di kawasan perkampungan masyarakat Kaum Iban menjelang Pilihan Raya. Mereka dijanjikan bakal mendapat bekalan elektrik seandainya BN mengekalkan kuasa tetapi bila selesai Pilihan Raya yang ada Cumalah tiang elektrik dan kini semakin dimamah usia. Inilah realiti lazim di kebanyakan kawasan di Sabah dan Sarawak. Janji pelbagai kemajuan dan prasrana untuk rakyat yang tertinggal dan ditinggalkan kemajuan!
Dasar perjuangan PAS adalah Islam. Yang menciptakan Islam adalah Allah yang juga menciptakan semua bangsa dan kaum yang berada di atas dunia ini. Allah juga yang menciptakan masyarakat Kaum Iban. Sangat mustahil untuk PAS yang memperjuangkan Islam yang Allah cipta ini menghina kaum Iban yang juga diciptakan Allah. Isu ini adalah usaha terancang BN mengekang kebangkitan rakyat seluruh Negara menolak Regim BN. Isu ini adalah sebahagian perangkap perkauman yang menjadi senjata terakhir BN untuk mengekang perjuangan Pakatan Rakyat. Justeru kita seru agar masyarakat Kaum Iban tidak termakan dengan senjata jahat BN ini.
No comments:
Post a Comment