Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Thursday 23 December 2010

Menangi 50 Cabutan Bertuah Bagi Para Pengunjung Di Program Sua Kasih Kita Bersaudara. Jumpa Di Sana!!!


Sila Cetak & Sebarkan Kepada Anak Semua Bangsa.
Bersama Kita Raikan Sua Kasih Kita Bersaudara.


Saturday 25 September 2010

WAJIB TONTON! Timbalan Perdana Menteri Dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO - Hentikan Sandiwara Politik Murahan Melagakan Guan Eng Dengan Ummat Islam
















Antara Fakta Penting :



  1. Hasil daripada cukai judi dan arak telah digunakan selama ini oleh Kerajaan UMNO-BN untuk : bantuan pelajaran, ubat-ubatan, bantuan kebajikan masyarakat, pembiayaan sukan dan bantuan mangsa bencana alam ;


  2. Hasil ini juga telah tidak diasingkan daripada pendapatan-pendapatan negara yang lain, dengan erti kata lain pendapatan daripada sumber haram dan halal bercampur aduk dan ini diletakkan di dalam akaun Kumpulan Wang yang disatukan... yang digunakan juga untuk membayar gaji semua kakitangan awam Malaysia yang terdiri lebih daripada 1 juta orang !! ;


  3. Ahli-Ahli Parlimen Pakatan rakyat termasuklah ramai daripada mereka yang bukan Islam mendesak judi dihapuskan ;


  4. UMNO sambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62 pada 11 Mei dengan diwarnai oleh pengumuman kelulusan Judi Bola Sepak Piala Dunia oleh Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek dan Najib iringi dengan penegasan yang dia tak perlu memberi sebarang komen terhadap hal tersebut ;


  5. Jumlah sebenar hasil daripada cukai judi dan arak seolah-olah DISEMBUNYIKAN daripada pengetahuan rakyat ;


  6. Kerajaan mengatakan SUKAR untuk membezakan sumber pendapatan lain dengan pendapatan daripada hasil cukai judi dan arak bila didesak agar mengadakan akaun yang berasingan . Dan kalaupun itu terpaksa dilakukan maka ia akan mengambil masa yang lama!




PERSOALANNYA :




  1. PM dan TPM hatta Kabinet Malaysia tidak pernah nafikan fakta ini yang ternyata benar kerana dijawab dan dinyatakan sendiri oleh kerajaan di dalam Dewan Rakyat sekitar tarikh 28 November 2009 ;


  2. Timbalan Presiden UMNO - Muhyidin, dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO - Reezal Merican tidakpun bangkit menjadi HERO Muslim Malaya, walaupun fakta-fakta buruk itu tidak pernah disanggah.... Ironinya berkobar-kobar untuk terus MENYERANG Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang di bawah Lim Guan Eng meskipun Ketua Menteri itu telah memberi penjelasan dan menafikan tuduhan itu... kenapa? Apakah nawaitu SANDIWARA TERBARU UMNO PULAU PINANG itu? Apakah benar-benar atas kesedaran dan perasaan sedar selaku Hamba Allah yang wajib terikat pada syariatNya atau hanya mempergunakan segala peluang yang ada untuk kepentingan UMNO/BN ?




ADAKAH INI TUMPUAN SEBENAR UMNO/BN ? :




  1. Terus menggugah kredibiliti kerajaan PR Pulau Pinang ?


  2. Membangkitkan kemarahan Melayu dan Islam ?


  3. Menjadi Hero Muslim Malaya ?


  4. Berusaha keras memburukkan imej Cina DAP dan Guan Eng (Pakatan Rakyat) bagi memberi kuasa semula kepada Cina GERAKAN dan Koh Tsu Koon (Barisan Nasional) ?




NASIHAT UMUM :



  1. Hentikan politik perkauman.

  2. Jangan jadikan politik kepartian memburukkan wajah Malaysia dan rakyatnya.

  3. UMNO/BN terima kekalahan mereka di Pulau Pinang dan belajar menghormati Kerajaan sah yang ada.

  4. PRU13 lawanlah pula, mana tahu UMNO - Melayu Islam Pulau Pinang boleh jadi Ketua Menteri !


Friday 24 September 2010

"First Ladies" - Rosmah Membelakangi Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong


KUALA LUMPUR, 23 Sept: Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Rosmah masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran yang diterima selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah (gambar kiri) disiarkan di New York Times pada April lalu.

Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.


"Tindakan Rosmah ini satu tindakan yang sangat tidak bersopan. Setelah mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas iklan itu, kita ingatkan dia belajar daripada kesilapan dan tahu meletakkan diri dia di mana," kata Athirah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Athirah yang merupakan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'wanita pertama' itu juga ternyata bertentangan dengan Artikel 32, Perlembagaan Malaysia.

"Dalam artikel itu jelas menyebut bahawa ketua pertama negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jadi secara automatik, wanita pertama mestilah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya lagi.

Tambahnya, penggunaan 'wanita pertama' setelah Najib memerintah negara menunjukkan ceteknya kesedaran beliau mengenai kepentingan menghormati Perlembagaan Negara.

"Negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, bukan negara republik yang mempunyai presiden. Memang tidak pernah wujud istilah wanita pertama di negara kita.

"Apabila Najib dan Rosmah muncul, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan, ini menunjukkan kesedaran mereka yang sangat cetek dari sudut sejarah dan berpelembagaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu gerakan perlu diwujudkan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat dan juga para pemimpin agar menghormati Perlembagaan Negara.

"Saya sebagai wanita muda Malaysia sangat terpanggil untuk menggerakkan kesedaran massa untuk menolak kebiadapan dan ketidaksopanan Rosmah yang membelakangi Raja Permaisuri Agong.

"Ini satu tindakan yang sangat derhaka dan rakyat mesti sedar dan menolak kepimpinan yang tidak menghormati keluhuran perlembagaan," tegasnya.

Beliau turut mempersoal tindakan Rosmah yang seolah-olah cuba mencampuri peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Dari satu sudut dia mempergunakan Sharizat. Isteri perdana menteri telah mempergunakan Menteri Pembangunan Wanita (Keluarga dan Masyarakat) untuk mengadakan satu program besar di negara kita dan akan menggunakan segala duit daripada hasil negara dan cukai yang dibayar oleh rakyat," katanya.

Rosmah seperti yang dilaporkan berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

Ianya Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses, di sini, dan bakal dihadiri lebih 20 Wanita Pertama dari seluruh dunia.

Wednesday 11 August 2010

Syabas Buat Adikku Fazly,Muaz, Fitri Dan Jazlan...Mari Kita Cipta Sejarah Baru Pemuda Islam Malaysia! Laa Tahinu Wala Tahzaanu

Mansuh ISA: 4 tarik balik pengakuan bersalah

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Empat orang kena tahan (OKT) Himpunan Mansuh ISA pada 1 Ogos lalu hari ini menarik balik pengakuan bersalah yang dibuat dalam sebutan kes berkenaan semalam.
Empat mereka iaitu Mohd Fazly Mohd Ismail, Mohd Fitri Mohd Yasin, Wan Muhammad Jazlan Razali, dan Syaza Muaz Shaharudin menarik balik pengakuan bersalah mereka di hadapan Hakim Ainul Sharin Mohamad di Mahkamah Sesyen Jenayah 12, Jalan Duta.
Menurut salah seorang OKT, Aiman Athirah Al Jundi, mereka membuat pengakuan bersalah tersebut kerana 'tidak tahan' dengan gangguan dan tekanan daripada polis cawangan khas (SB).
OKT yang mengaku bersalah hanya perlu membayar RM500 dan tidak perlu menghadiri perbicaraan lagi.
Namun setelah perbincangan dilakukan dengan semua OKT, mereka, kesemuanya bersetuju menarik balik pengakuan bersalah dalam sebutan kes hari ini.
"Syukur Alhamdulillah sempena 1 Ramadhan, empat OKT membuat kejutan walaupun semalam kita dikejutkan dengan keputusan mereka menukar pengakuan kepada bersalah kerana tekanan dan gangguan dari pihak polis, dan ada yang sebab tidak mahu melalui waktu perbicaran yang panjang.
"Tapi bagaimanapun berkat kesabaran kita, 4 orang OKT menukar balik ke pengakuan tidak bersalah," katanya ketika ditemui di luar mahkamah selepas selesai sebutan kes.
Sementara itu, Laila Othman, yang merupakan aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kesal dengan tindakan pihak SB yang sengaja memujuk OKT untuk menukar pengakuan mereka.
Pengakuan bersalah, katanya akan memberikan nilai tambah kepada kerajaan Umno Barisan Nasional untuk tidak memansuhkan ISA, sebaliknya hanya dipinda.
Sedangkan ujarnya, majoriti rakyat termasuk OKT mahu akta itu dimansuhkan.
"Kami agak terkilan kerana ada beberapa OKT telah dikenal pasti oleh polis supaya menukar pengakuan. Sebenarnya penukaran pengakuan mereka akan memberi satu nilai tambah kepada kerajaan yang tidak mahu ISA dimansuhkan.
"Itulah puncanya OKT dipelawa untuk menukar pengakuan mereka tapi akhirnya mereka memahami ini adalah satu perjuangan, dan sanggup menarik balik pengakuan bersalah mereka," katanya.
Beliau turut kesal dengan kelembapan perjalanan kes tersebut yang disifatkan sebagai kegagalan pihak pendakwa mengemukakan bukti di atas penahanan tersebut.
"Kes ini memakan masa kerana hampir setiap bulan diadakan sitting tetapi hearing masih belum dijalankan. Ini adalah berpunca daripada pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti di atas penahanan tersebut," katanya.
Hakim menetapkan perbicaraan kes bermula pada 22 hingga 24 November ini.
Dalam pada itu, Athirah yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat memberitahu, pihaknya akan mengusahakan untuk diadakan satu program mengumpul dana bagi membantu OKT yang datang dari jauh untuk menghadiri perbicaraan.
Katanya, program itu dicadangkan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri dan akan dihadiri pimpinan Pakatan Rakyat.
"Kita mengajak semua pimpinan PAS dan semua penyokong Pakatan Rakyat untuk mengadakan program pengumpulan dana bagi membantu para OKT yang datang dari selatan, utara, semuanya memerlukan bantuan kewangan daripada kita untuk memastikan perjuangan tidak terhenti di sini sahaja," katanya.

Monday 31 May 2010

KENYATAAN RASMI
PENGERUSI
LAJNAH PENERANGAN & DAKWAH, DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
TERHADAP SERANGAN YANG DILAKUKAN OLEH LANUN ZIONIS LAKNATULLAH TERHADAP KONVOI MISI BANTUAN KEMANUSIAAN ‘FREEDON FOTILLA’

Regim Haram Israel mengganas. Dengan penuh nekad Israel menyerang penduduk dunia. Jika selama ini serangan hanya dilakukan ke atas penduduk Palestin, hari ini dunia menyaksikan kerakusan Israel membedil mereka yang menyertai misi ‘Lifeline For GAZA’ .

Kapal Mavi Marmara yang merupakan kapal induk bagi konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa itu telah diserang oleh tentera laut Israel. Dilaporkan sejumlah 20 orang telah gugur dan 50 yang lain tercedera. Konvoi itu membawa kira-kira 15,000 tan barangan bantuan kemanusiaan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Turut berada di dalam kapal tersebut ialah 12 wakil dari Malaysia yang terdiri daripada sukarelawan dari HALUANPalestin, Aqsa Syarif, JIM, YAYASAN AMAL, Muslim Care, MAPIM dan 2 orang wartawan ASTRO. Nasib mereka tidak diketahui sehingga sekarang.

Dewan Muslimat PAS menyelar dan mengecam serangan yang dilakukan oleh lanun Zionis laknatullah ini terhadap konvoi misi kemanusiaan yang tidak bersenjata itu dengan menggunakan alasan konvoi tersebut adalah konvoi pengganas. Sekali lagi Israel bermain silap mata dengan dunia. Hakikatnya, kita maklum bahawa Israel sebenarnya terancam dengan bantuan yang bakal disalurkan kepada Gaza andai misi konvoi tersebut berjaya.

Dewan Muslimat PAS menggesa kerajaan Barisan Nasional, khususnya Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak agar SEGERA membatalkan kontrak dengan syarikat milik perisikan Israel – Apco Worldwide . Kerjasama ini adalah sesuatu yang memalukan. Tatkala dunia mengutuk rejim Zionis laknatullah ini, Malaysia pula berdiri gah dengan kontrak yang bernilai hampir RM78 juta itu.

Jika Malaysia melalui PM5 telah memberikan kontrak bernilai hampir RM78 juta tersebut kepada Zionis laknatullah itu, maka Malaysia juga wajib lebih agresif bangkit dan bertindak membantu rakyat Palestin dan warganegara kita yang berada di dalam cengkaman lanun Zionis tersebut dengan apa cara sekalipun.

Dewan Muslimat PAS menuntut kerajaan Malaysia mebuktikan segera keseriusan kerajaan dalam menguruskan kebiadapan lanun Zionis laknatullah ini. Kelak, jangan hanya pandai mengutuk tetapi pengecut untuk bertindak.

Mengemaskini reaksi Malaysia menerusi web BERNAMA sehingga jam 10.30 malam 31 Mei 2010, tidak ada sebarang kenyataan dari YAB Perdana Menteri, mahupun dari mana-mana pimpinan kerjaan Barisan Nasional; sedangkan belasan rakyat kita antara yang menjadi mangsa kekejaman lanun Zionis Laknatullah ini.

Inikah yang dikatakan realisasi kepada manifestasi konsep 1 MALAYSIA kerajaan Barisan Nasional hari ini? Kerajaan Malaysia wajib berasa malu apabila Turki memberikan reaksi pantas dengan meminta duta Israel di Ankara untuk berundur. Tiga latihan ketenteraan dengan Israel dibatalkan. Turki juga turut meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar. Manakala Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga telah memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel, tidak ketinggalan Perancis meminta insiden ini segera disiasat. Indonesia turut mengecam tindakan biadab lanun Zionis laknatullah. Sedangkan Kerajaan Malaysia… sepi seribu bahasa.

Melihat kepada kelembapan kerajaan Malaysia dalam memberikan reaksi dan bertindak mengurus tadbir insiden serangan Zionis terhadap Konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa yang turut dianggotai oleh beberapa NGO dari Malaysia ini, LPD Dewan Muslimat PAS Pusat menyeru agar Jentera LPD Dewan Muslimat PAS di semua peringkat bertindak pro-aktif dengan menyebarkan maklumat terkini mengenai situasi konvoi, berdoa dan mendirikan solat hajat dan doa qunut nazilah secara berjemaah di semua kawasan dan negeri.

Saya juga menyeru agar seluruh kekuatan Muslimat dan Wanita Malaysia digerakkan untuk hadhir Ke Himpunan Aman Mengutuk Kebiadapan Tentera Israel yang melakukan serangan ke atas Kapal Mavi Marmara dan para Sukarelawan Bantuan Kemanusiaan yang menyertai misi Bantuan Antarabangsa Ke Gaza itu. Himpunan tersebut akan diadakan selepas Solat Jumaat pada 4 Jun 2010 bermula dari Tabung Haji, Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur ke Kedutaan Amerika.

Himpunan ini bertujuan untuk menunjukkan solidariti dan bantahan kita semua sebagai warganegara Malaysia terhadap pencabulan undang-undang dunia yang dilakukan oleh lanun Zionis laknatullah itu dengan menyerang ‘Freedom Fotilla’ di perairan antarabangsa. Ini adalah buah tangan Israel durjana kepada Malaysia yang telah memberikan kontrak berjumlah hampir RM78 juta kepada mereka melalui APCO.

Kepada keluarga para syuhada’, Dewan Muslimat PAS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas atas pengorbanan dan keberanian mereka. Sesungguhnya, Allah dan para Malaikat kini tersenyum menerima “kepulangan” mereka ke sisi Tuhan yang telah menciptakan kita semua. Kepada keluarga para sukarelawan yang sedang ditawan oleh Israel laknatullah…marilah kita berterusan memanjatkan harap kepada Allah, agar senantiasa memelihara mereka semua di bawah lembahyung Kasih dan SayangNya.

Hancur, Hancur, Hancur Israel!

Bangkit, bangkit, bangkit Malaysia!

APCO - Israel!

Khaibar, Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaish Muhammad Sawfa Ya’ud!!

Hidup Perjuangan! Allahu Akbar!!!


AIMAN ATHIRAH ALJUNDI
PENGERUSI LAJNAH PENERANGAN & DAKWAH
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
31 MEI 2010