Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Sunday 25 May 2008

NAKBAH: Hanya Segelintir Umat Islam Yang Prihatin..Di Mana Silapnya?






Protes Kewujudan Negara Haram Israel Di Hadapan Pejabat PBB (UN) Malaysia


Pakaian Sekolah Pelajar Perempuan: Cadangan PKPIM Wajar

RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG CADANGAN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
KEPADA KEMENTERIAN PELAJARAN
AGAR MENGKAJI SEMULA SISTEM PEMAKAIAN PELAJAR PEREMPUAN


DMPP berpendapat bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia wajar memandang serius akan cadangan yang dikemukakan oleh PKPIM berhubung sistem pemakaian seragam pelajar-pelajar perempuan di sekolah. Sudah tentu keberanian mereka mengemukakan kritikan dan seterusnya cadangan itu adalah didorong oleh keyakinan mereka kepada agama dan nilai-nilai hidup Islam.

Bahkan cadangan PKPIM itu wajar disambut dengan hikmah kebijaksanaan seorang menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Adat dan budaya Melayu mengajar bangsanya agar berpakaian tidak menjolok mata, sopan dalam penampilannya dan santun dalam gerak langkahnya. Dicantikkan lagi dengan hadirnya Islam yang menganjurkan ummatnya menjaga batasan-batasan aurat. Justeru, apa jua tindakan menteri terbabit terhadap cadangan ini akan menjadi isyarat kepada generasi muda tentang pendirian Ketua Pemuda itu terhadap bangsa dan agamanya.

Justeru, apakah salahnya Menteri Pelajaran, YB. Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersikap terbuka dengan cadangan PKPIM ini? Apa salahnya sekiranya PKPIM yang merupakan sebuah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (persatuan berdaftar) cuba mengambil sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelompok masyarakat mereka iaitu masyarakat pelajar?

DMPP sedar bahawa pakaian bukanlah merupakan satu-satunya faktor terjadi dan seterusnya meningkatnya jenayah seksual. Ada banyak faktor yang terlibat bagi keadaan itu. Namun, DMPP menegaskan bahawa faktor pemakaian seseorang perempuan masih tergolong sebagai antara faktor pemangkin kepada berlaku dan meningkatnya jenayah tersebut. Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seksual misalnya, maka setiap faktor perlu dikenalpasti. Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian.

DMPP percaya bahawa adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak melenting terhadap cadangan PKPIM ini. Mengapa perlu setiap kali kita bicara soal pakaian maka kelihatan beberapa pihak akan mengambil sikap ”Personal” mempertahankan kebebasan diri sebagai perkara yang lebih utama. Bahkan tidak kurang yang akan menolaknya mentah-mentah dengan seterusnya memberi pelbagai faktor lain yang lebih utama menjadi punca.

Justeru, DMPP mendesak agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat serta badan-badan NGO’s wanita yang prihatin agar segera membuat kajian menyeluruh berhubung dengan perkara ini.

DMPP percaya bahawa pendirian beberapa pihak yang menolak mentah-mentah akan wujudnya hubungan antara pakaian dan jenayah seksual adalah dibuat berdasarkan pandangan peribadi, pandangan sekumpul kecil mereka dan bukannya pandangan masyarakat teramai di seluruh negara.

DMPP juga menyarankan kepada PKPIM agar segera membuat pungutan suara di kalangan pelajar di seluruh negara terhadap pandangan mereka berkaitan faktor pakaian sebagai antara faktor pemangkin berlaku serta meningkatnya jenayah seksual.

Dalam konteks pemakaian baju kurung putih bagi pelajar perempuan di sekolah, DMPP percaya bahawa bukanlah warna pakaian seragam itu yang wajar menjadi tumpuan kita. Tetapi material kain putih yang digunakan untuk membuat baju sekolah itu. Kita tidak dapat menafikan bahawa material kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya bila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit).

Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai bra tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara bilamana warna pakaian dalam mereka lebih terang/ kontra dengan seragam putih yang mereka pakai. Hakikat ini tidak mungkin dapat kita sembunyikan. Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah bilamana hari hujan. Justeru, cadangan PKPIM kepada Kementerian Pelajaran itu merupakan cadangan yang sangat bertanggungjawab dan munasabah mengambilkira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fiqh.

Bahkan dalam hal ini, DMPP mendesak agar Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan (refresh) satu Fatwa berkaitan pakaian dan aurat bagi wanita Islam (termasuk pelajar-pelajar wanita Islam). Ini kerana meskipun di dalam Al Quran seperti contohnya dalam Surah An Nur: 31, Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud : ”Hendaknya mereka melabuhkan tudungnya sampai ke dada, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir..”.

Namun sehingga kini ternyata ramai pihak masih berdolak dalik dalam hal aurat seorang wanita Islam. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Islam dan ummatnya, maka Majlis Fatwa Kebangsaan wajar memperbetulkan pandangan songsang pihak pemerintah khususnya Perdana Menteri sendiri terhadap persoalan ini. Sikap membisu para alim ulama’ kerajaan dan tidak tegasnya segelintir mufti dalam hal ini akan hanya mengheret ummat Islam kepada salah faham dan tidak faham kepada Islam.

Bahkan terdapat juga kalangan yang bersikap buat-buat tidak faham terhadap Islam. Lebih malang bilamana terdapat juga segelintir pihak yang menggunakan kesempatan sebegini untuk mempersenda-sendakan Islam.

DMPP seterusnya merafa’ sembah ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong serta Duli Yang Mulia Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab terhadap agama Islam agar terus mempertahankan kemuliaan dan ketinggian hukum-hakam Islam khususnya syariat yang berkaitan dengan batasan-batasan aurat bagi seorang wanita Islam.

DMPP menyelar mana-mana pihak yang cuba mempermainkan Islam dan ummatnya termasuk tindakan mereka yang sengaja melabelkan PKPIM atau mana-mana Gerakan Islam di Malaysia sebagai ”Little Taliban” dan kononnya berusaha membawa Talibanisme ke dalam masyarakat Islam negara ini. Tindakan ini adalah sangat keterlaluan dan biadab !




Akhirnya, DMPP mengucapkan syabas kepada PKPIM khususnya Pengerusi HeWinya iaitu Saudari Munirah Bahari atas keprihatinannya, kebertanggungjawabannya dan keberaniannya mengemukakan satu cadangan yang begitu baik. Sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran menghadapi saranan-saranan masyarakat dengan hati terbuka, adab melayu dan berjiwa Islam.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

25 Mei 2008, Kuala Lumpur .

3.5 Orang Kanak-Kanak Hilang Setiap Hari

RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG KES KANAK-KANAK HILANG
SEPERTI YANG DINYATAKAN
OLEH MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT
(Utusan Malaysia 22 Mei 2008)


DMPP memandang serius berhubung kes kehilangan kanak-kanak yang semakin kronik sejak akhir-akhir ini. Sejak awal lagi DMPP menyedari bahawa kes kehilangan kanak-kanak ini bukanlah kes terpencil atau sekadar melibatkan jumlah 5-10 orang kanak-kanak sahaja tetapi telah mencecah ribuan kes pada setiap tahun. Bahkan statistik jelas menunjukkan betapa berlakunya peningkatan terhadap kes-kes tersebut.

Justeru, DMPP mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya ibu bapa dan keluarga agar memandang masalah ini sebagai masalah besar, serius, berat dan perlukan perhatian yang sangat wajar. Meskipun kita tahu bahawa hanya beberapa nama kanak-kanak yang menjadi mangsa penculikan, pencabulan, perogolan dan pembunuhan tersiar di dada media seperti Nurin, Harirawati, Ang May, Preeshena Varshiny dan terbaru Sharline dan Asmawi, namun sebenarnya ramai lagi mangsa yang tidak diberi liputan oleh pihak media.

Tidak ada liputan tidak bermakna kes tersebut tidak ada. Realiti ini terbukti dengan pengakuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, YB. Dato’ Ng Yen Yen bahawa terkini purata kes kehilangan kanak-kanak dalam negara ini telah mencecah 3.5 kes dalam sehari !

Tentunya rekod ini suatu yang amat memeranjatkan kita dan ternyata satu pencapaian buruk bagi Barisan Nasional yang telah menjanjikan sebuah negara Selamat, Aman Dan Makmur kepada seluruh rakyat jelata dalam PRU-12 yang lepas.

DMPP juga menyelar kerajaan kerana kegagalan mereka dalam memastikan keselamatan rakyat khususnya wanita dan kanak-kanak dalam negara ini. Ini termasuklah dengan peningkatan berterusan bagi statistik jenayah rogol iaitu 4 kes sehari pada tahun 2003, 6.7 kes sehari pada tahun 2006 dan lebih kurang 9 kes sehari pada tahun 2007.

Sepanjang tempoh tersebut kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat GAGAL mengemukakan kepada kita satu Pelan Tindakan Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak yang komprehensif,konstruktif dan efektif. Sedangkan masalah ini bukan baru berlaku sehari dua. Bahkan masalah ini meruntun jiwa kita saban masa dan saban ketika.

Sehubungan dengan itu, DMPP menyarankan agar pihak kerajaan memastikan agar Akta Kanak-Kanak 2001 segera dikuatkuasakan. Sebarang ketidak jelasan para ibu bapa dan anggota masyarakat terhadap akta tersebut sewajarnya sudah diatasi dengan cara perbincangan dan ”road show” penerangan memandangkan akta ini telahpun diluluskan 7 tahun yang lepas. Adalah sangat mustahil dalam tempoh itu, kerajaan masih gagal meyakinkan rakyat berkaitan keperluan dan kewajaran undang-undang tersebut apatah lagi cabaran berkaitan perlindungan kanak-kanak ini semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Ini termasuk jika kita perlu mewujudkan satu Jawatankuasa Kabinet Perlindungan Wanita & Kanak-Kanak maka hal ini mesti diberikan perhatian dan tindakan segera.

DMPP juga mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat membuat kajian tentang kewajaran mewujudkan suatu akta bagi membendung kelakuan-kelakuan anti sosial di kalangan masyarakat dan keluarga termasuk ibu bapa, adik beradik dan jiran tetangga; yang pada ketika ini kurang mengambil berat terhadap masalah sosial anak-anak atau ahli keluarga mereka misalnya.

Sebagai contoh Akta Kelakuan Anti Sosial (The Anti-Social Behaviour Act) yang telah diperkenalkan di United Kingdom bagi memastikan ibu bapa bertanggungjawab terhadap sebarang salah laku anak-anak mereka. Bahkan saya difahamkan melalui akta ini , pihak berkuasa tempatan, anggota masyarakat dan pihak-pihak bertanggungjawab dalam masyarakat digalakkan untuk memerhati serta melaporkan sebarang kejadian yang boleh dikategorikan sebagai kelakuan anti sosial yang dilakukan oleh golongan kanak-kanak. Mereka juga diberikan kuasa untuk menyelesaikan masalah-masalah yang tercetus dalam masyarakat. Justeru, saya berpendapat jika kewujudan akta sebegini dapat membantu maka apa salahnya KPWKM mempersiapkan dan mengusulkannya untuk diperbahas di dalam Dewan Rakyat yang akan datang.

DMPP menginsafi longgarnya ikatan keluarga, runtuhnya peranan & institusi keluarga serta musnahnya semangat kejiranan dan seumpamanya telah menjadikan peranan anggota masyarakat kita lemah. Budaya tegur menegur, ingat-mengingati dan prihatin terhadap masyarakat sekeliling sudah semakin asing dalam hidup kita. Dan tentunya semua ini adalah cabaran pembangunan dan kita agak terlewat menguruskan cabaran tersebut sehinggakan masyarakat kita hidup seolah saling terpisah-pecah.

Justeru, DMPP percaya bahawa cabaran ini mesti kita hadapi dan tangani meski kita barangkali agak terlewat. Kalau dulu masyarakat ada kuasa untuk menegur dan melaporkan segala kelakuan anti sosial. Kemudiannya bila masuk satu fasa baru pembangunan negara maka masyarakat kita berubah,tidak mudah menegur dan tidak suka ditegur atas nama kebebasan diri dan atas momokan ”jangan jaga tepi kain orang.” Tetapi ternyata sikap sebegitu memusnahkan anak-anak bangsa kita sendiri. Bahkan memusnah inci demi inci maruah dan wibawa diri kita yang masih berdiri. Dan saya yakin dan percaya ini perlu dilihat semula (review), diperbaiki dan diurus sebaiknya.

DMPP juga percaya, kerajaan dan para ibu bapa wajar kembali kepada Islam. Menanamkan sifat dan sikap takut kepada Allah walau di mana sahaja kita berada, di dalam mahupun di luar rumah. Bersendirian mahupun dalam kelompok ramai. Tanamkan keyakinan bahawa segala gerak geri kita diperhatikan Allah. Kehidupan dunia hanya sementara dan adanya kehidupan di alam kubur dan juga di alam akhirat.

Tanamkan lepada ummat betapa di sana adanya syurga dan neraka. Manusia yang berbuat baik akan masuk syurga dan manusia yang berbuat jahat akan masuk neraka, beratus ribu tahun lamanya.

Kalau inilah yang ditanamkan lepada rakyat, saya percaya pencuri yang mahu mencuri akan takut mencuri. Penculik yang mahu menculik akan takut menculik. Perogol yang mahu merogol akan takut merogol kerana mengingatkan pedihnya azab Allah. Pembunuh akan takut membunuh. Pemimpin akan takut khianat lepada rakyatnya.

Ini kerana pada ketika manusia tahu, faham dan yakin akan hidup beragama, di sana ada Tuhan, ada balasan baik dan balasan buruk; maka semua manusia akan kembali kepada fitrahnya. Fitrah manusia pula ádalah suci bersih, ibarat kain putih menurut sabda Nabi SAW. Terserah kepada ibu bapa bagaimana mahu mencorak anak-anaknya . Juga terserah kepada pihak pemerintah bagaimana bentuk masyarakat yang mahu dicorakkannya.

Akhirnya, KPWKM disaran agar jangan semata-mata tahu memaklumkan kepada kita tentang peningkatan statistik kes kehilangan kanak-kanak dalam negara ini tetapi juga seharusnya cekap dan berkesan dalam mengambil apa jua tindakan bagi mengatasi atau membendung masalah tersebut. Di situ beza dan perlunya peranan mereka sebagai pihak berkuasa yang mempunyai kuasa dalam negara ini.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

22 Mei 2008, Kuala Lumpur .

Tuesday 20 May 2008

Bantah Pendidikan Seks Dalam PLKN

RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG CADANGAN MEMASUKKAN SLOT PENDIDIKAN SEKS
KEPADA PELATIH PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA
OLEH MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA & MASYARAKAT
(Utusan Malaysia 8 Mei 2008)


DMPP membantah cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, YB. Dato’ Ng Yen Yen untuk memasukkan slot Pendidikan Seks kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepertimana yang telah dilaporkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 8 Mei 2008.

DMPP melihat bahawa cadangan tersebut dibuat dengan sikap ambil mudah dan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Ini kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM) bersama Kementerian Pelajaran sewajarnya terlebih dahulu meletakkan dan menjelaskan kepada umum (yakni rakyat) akan Konsep, Objektif dan Mekanisma Pendidikan Seks itu sebelum mengambil tindakan bersifat ”tangkap muat” kepada para pelatih PLKN dan seterusnya kepada generasi muda seluruhnya.

Bahkan Konsep, Objektif dan Mekanisma Pendidikan Seks tersebut mestilah dapat diterima serta mengambilkira pandangan semua kaum dan agama dalam negara ini. Justeru kerana rakyat Malaysia adalah rakyat yang beragama,beradab dan berbudaya luhur.

Konsep, Objektif dan Mekanisma itu nanti seeloknya juga dimuatkan terus ke dalam Dasar Sosial Negara (DSN) yang telah dilancarkan pada 19 Ogos 2003 kerana yang jelas wujud kelompangan yang sangat ketara dalam DSN meskipun telah lima tahun berlalu selepas ianya dibawa kepada khalayak.

Sehingga kini, DMPP telah mengenalpasti bahawa pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak belum lagi diambilkira bagi menghasilkan pengisian yang terbaik untuk program tersebut. Pandangan dan perspektif Islam contohnya merupakan aspek yang sangat penting untuk diberi perhatian agar agenda program tersebut dapat membuahkan hasil yang terbaik.

Ini kerana Pendidikan Seks dalam Islam ternyata berusaha menutup segala kemungkinan ke arah hubungan seksual terlarang ( yakni zina). FirmanuLlah dalam Surah Al Isra’:32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” Manakala dalam Surah An-Nur: 30-31 misalnya, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka….Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya….”.

DMPP menyedari bahawa Pendidikan Seks telah menjadi salah satu isu yang hangat diperkatakan oleh semua lapisan masyarakat melibatkan masyarakat awam, kerajaan, ahli akademik dan lain-lain. Oleh sebab itu, topik berkaitan konsep, objektif dan mekanisma pendidikan seks merupakan aspek penting yang terlebih dahulu mesti dilumatkan dalam perbincangan kerana ia perlu difahami secara jelas dan mendalam sebelum program tersebut dilaksanakan. Semua itu merupakan asas di dalam menentukan kerangka, halatuju dan halacara pelaksanaan program pendidikan tersebut.

Turut perlu diberi penakanan ialah kriteria guru yang akan dipertanggungjawabkan dalam pengajaran subjek Pendidikan Seks. Tentunya individu tersebut seorang yang mesti terlatih, berilmu, berakhlaq dan santun dalam penyampaiannya.

Jika dilihat pada perspektif agama, perbincangan tentang seks adalah digalakkan selagi ia bermatlamatkan kepada keinginan untuk mencari kebenaran dan sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Perbincanganan tersebut mestilah berlandaskan kepada pentafsiran ayat-ayat al-Quran, al-Sunnah dan juga pandangan ilmuan Islam yang berautoriti sama ada di kalangan ilmuan lampau atau semasa. Hasil daripada perbincangan tersebut sepatutnya mampu menghasilkan satu garis panduan yang jelas untuk menggubal dasar etika dan adab berkaitan dengan kekeluargaan, seksualiti dan reproduktif yang bercirikan Islam.

Sehubungan dengan itu, DMPP ingin mengingatkan KPWKM bahawa Malaysia tidak wajar terbawa-bawa dan dibiarkan mengikut rentak atau acuan negara-negara Barat . Konsep yang digunakan oleh pihak Barat dalam Pendidikan Seks ini sudah ternyata GAGAL, kerana jelas generasi muda mereka dalam konteks pendidikan seks yang mereka amalkan ; Ibarat semakin dididik, semakin rosak! Ini berlaku disebabkan mereka (generasi muda Barat) bukan diajar agar menjauhi zina tetapi dididik tentang peri pentingnya melakukan apa yang disebut sebagai ”seks aman dan sihat”, agar tidak meninggalkan kesan yang negatif seperti mengandung anak luar nikah, menularnya penyakit kelamin dan seumpamanya termasuk AIDS dan HIV!

Ini terbukti bilamana beberapa penelitian sains sosial misalnya yang dijalankan oleh John Hokins pada tahun 1982 lagi menemukan betapa lebih 80% remaja di Amerika contohnya sudah pernah terlibat dengan aktiviti seksual (di luar nikah) paling kurang sekali. Demikian, rumusan yang hampir sama telah diungkap oleh Marion Wright Elderman, Presiden Organisasi Children Defense Fund.

Apakah generasi muda sebegitu yang mahu kita lahirkan daripada pelaksanaan subjek Pendidikan Seks yang bersifat “tangkap muat” dan “melepaskan batuk di tangga” ini ? Lebih menimbulkan keraguan dan kerisauan kita ialah bilamana ianya dicadang untuk dimasukkan menjadi satu slot atau barangkali modul baru bersempena adanya satu Program Latihan Khidmat Negara ? Justeru, DMPP mendesak agar Menteri PWKM menjelaskan kepada kita apakah rasionalnya pihak KPWKM menguslkan cadangan ini kepada TPM dan seterusnya kepada MLKN atau JLKN ? Adakah KPWKM telah sekurang-kurangnya mengadakan kajian tentang keberkesanan cadangannya ?

DMPP percaya adalah sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab bilamana pihak KPWKM bertindak mengemukakan cadangan tersebut dalam satu program yang jelas mempunyai visi dan misi yang khusus dalam konteks patriotisme seseorang remaja. Apatah lagi umum mengetahui betapa modul-modul yang sedia ada dalam PLKN sepertimana modul fizikal, modul kenegaraan, modul pembinaan karekter dan modul khidmat komuniti sudah terlalu padat dan berat .

Bukan setakat itu, kementerian wajar sedar dan mengambil iktibar daripada segala masalah yang telah timbul dalam PLKN sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004. Kekerapan pelbagai masalah bersilihganti sepanjang tempoh pelaksanaannya seperti pergaduhan, gangguan seksual, peras ugut, ragut, mencabul, rogol, penyalahgunaan dadah, kes kehilangan pelatih dan yang paling malang ialah sehingga kini sejumlah 16 kematian pelatih telah direkodkan.

Lebih merisaukan kita semua khususnya ibu bapa ialah bilamana subjek Pendidikan Seks tersebut dihidangkan kepada para remaja yang merupakan pelatih PLKN dalam keadaan di mana mereka itu berjauhan daripada pemerhatian keluarga. Apatah lagi umum mengetahui betapa generasi muda ini khususnya yang meningkat remaja adalah satu kelompok yang ”eager” untuk mencuba segala yang baru.

Dapatkah kita membayangkan apakah yang akan berlaku nanti setelah mereka didedahkan dengan subjek Pendidikan Seks di tempat dan pada masa yang saya percaya sangat tidak sesuai ?

Justeru, DMPP menegaskan bahawa PLKN bukanlah satu medium hatta bukan juga satu tempat dan masa yang sesuai untuk KPWKM menyelit masukkan subjek atau modul pendidikan seks kepada para pelatih. Cadangan tersebut mesti dihentikan dengan segera dan KPWKM disaran terlebih dahulu menjelaskan kepada kita (rakyat) tentang Konsep, Objektif dan Mekanisma Pendidikan Seks yang mahu diterap dan diserap masuk kepada generasi muda negara kita.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

9 Mei 2008, Kuala Lumpur .

Kenyataan Media Berhubung Pembunuhan Kejam Altantuya Shariibuu

KENYATAAN AKHBAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG POLEMIK BERPANJANGAN
KES PEMBUNUHAN KEJAM WARGA MONGOLIA
ALTANTUYA SHAARIIBUU
DAN KENYATAAN TERBARU BAPANYA, DR. SHAARIIBUU SETEV


DMPP mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam ke atas seorang pelancong asing yang juga boleh disifatkan sebagai “tetamu negara” dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu (mendiang ). DMPP berpendapat bahawa perbicaraan bagi kes ini sewajarnya diSEGERAkan, berbanding sekarang yang ditangguh-tangguh oleh pihak mahkamah atas alasan terlalu banyak kes lain, seperti yang didakwa oleh bapa mangsa, Dr. Shaariibuu Setev baru-baru ini.

DMPP memandang serius dan sangat tersentuh dengan kenyataan daripada bapa mendiang Altantuya yang telah datang ke Malaysia baru-baru ini bahawa beliau datang demi kemanusiaan dan bukannya kerana wang atau menuntut sebarang ganti rugi.

DMPP juga menginsafi bahawa ianya jelas menampakkan kehampaan dan hilangnya kepercayaan seorang ayah yang selama ini telah berusaha untuk mendapatkan keadilan terhadap satu-satunya zuriat keturunan beliau yang dibunuh secara kejam dalam Negara Malaysia yang dilabel sebagai Selamat, Aman & Makmur oleh PM dalam PRU-12 yang lepas.

Kes ini boleh disifatkan sebagai berprofail tinggi, punya kepentingan ramai serta kes pembunuhan paling berat kerana menguji bahkan mencabar INTEGRITI Malaysia di mata dunia khususnya terhadap sistem dan proses perjalanan keadilan dalam negara yang kita semua cintai ini.

Seluruh rakyat dari dua negara yang terlibat sedang memberi tumpuan terhadap perjalanan dan kesudahannya. Kes ini bukanlah kes biasa. Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara wajar memberikan prioriti tertinggi bagi menyelesaikan polemik ini secara telus, amanah, beretika, bijaksana dan professional.

DMPP menggesa agar ketiga-tiga entiti keadilan yang penting ini tidak membiarkan apa jua unsur mahupun ruang yang akan menghalang mereka daripada menjalankan tugas sejujur yang boleh kerana natijah bagi kejujuran dan kebijaksanaan merekalah yang akan membawa kesudahan paling memuaskan hati semua pihak khususnya yang menjadi mangsa tindakan kejam “pembunuh berkuasa” dalam negara ini. Iaitu bilamana semua yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ini dijatuhi hukuman paling berat dan pihak yang menjadi mangsa diberikan keadilan paling wajar.

Jika setakat ini pun kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berani untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang Altantuya dan Kerajaan Mongolia di atas apa yang berlaku yakni pembunuhan dan segala bentuk tuduhan memalukan ke atas mendiang dan keluarganya, DAN Jika sekiranya kerajaan Malaysia dapat berjanji untuk memberi tumpuan utama terhadap penyelesaian kes ini; saya yakin dan percaya bahawa ia suatu yang sangat positif dan dapat mengurangkan beban perasaan yang ditanggung oleh keluarga mangsa, rakyat dan kerajaan Mongolia selama ini. Malangnya, tindakan diplomatik sebegitu dilihat gagal dibuat secara bijaksana oleh pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri sendiri.

DMPP menginsafi bahawa tindakan diplomatik itu wajar disegerakan. Pendekatan negara yang melayan mangsa dan keluarga mangsa sebagai pihak yang seolah-olah tidak bermaruah, rendah moral, dan bersalah dengan membiarkan beberapa pihak seperti media massa yang mengaitkan Altantuya sebagai Pelacur dan seumpamanya harus dihentikan dan diambil tindakan.

Sudah sampai masanya keluarga mangsa diberikan sambutan dan layanan sebagai “tetamu negara” dan bukannya sebagai musuh kepada mana-mana pihak atau individu yang berkuasa dalam negara ini. Kerajaan Malaysia wajib menerima mereka dengan akhlaq dan adab Islam.

Jelas, terdapat banyak keraguan bagi kes ini kerana seperti yang umum telah tahu bahawa kaedah pembunuhan mangsa adalah melibatkan penggunaan senjata api yang terkawal di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. Hatta, kehilangan rekod kemasukan yakni maklumat imegresen mangsa ke dalam Negara ini meskipun rakan mendiang mengesahkan bahawa mereka telah memasuki Malaysia dengan cara yang sah, jelas menimbulkan keraguan bersebab - munasabah yang sangat kuat bahawa di sana terdapatnya unsur-unsur konspirasi dan komplot terancang.

DMPP juga mencabar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat yang baru iaitu YB. Dato’ Ng Yen Yen agar menyatakan pendirian kemanusiaan terhadap kes ini kerana ianya melibatkan seorang wanita yang menjadi mangsa pembunuhan paling zalim. Bukan setakat itu, maruah mangsa dan keluarga mangsa juga telah dikoyak rabakkan dengan melabelkan mangsa sebagai pelacur, agen CIA dan seumpamanya. Bahkan, dalam kes ini Menteri Wanita mesti memberikan penegasan bahawa : Adakah jika kerana seorang wanita itu pelacur maka apa jua bentuk tindakan ke atas mereka wajar termasuklah jika mereka dibunuh dengan senjata api terkawal di bawah Kementerian Pertahanan?

DMPP sangat berdukacita kerana sehingga kini kementerian yang menjaga hal ehwal wanita, keluarga dan masyarakat terus sahaja membisu daripada membuat pendirian rasmi terhadap kes yang membabitkan maruah dan keadilan serta kemanusiaan seorang wanita yang bernama Altantuya Shaariibuu.

Akhirnya, DMPP berharap agar rakyat negara ini dan negara Mongolia tetap tidak jemu untuk terus mengikuti perbicaraan bagi kes ini secara kritis untuk kita sama-sama memastikan keadilan dapat ditegakkan.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

26 April 2008, Kuala Lumpur .

Kenyataan Media Berhubung Filem Pendek F.I.T.N.A

KENYATAAN AKHBAR DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG PENERBITAN FILEM PENDEK (15-16 MINIT) F.I.T.N.A
OLEH AHLI PARLIMEN BELANDA, GEERT WILDERS
YANG DITAYANGKAN MELALUI INTERNET


DMPP mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan Filem FITNA yang telah mula ditayangkan di Internet lebih kurang pada hari Khamis minggu yang ketiga dalam bulan Mac 2008. Filem ini jelas merupakan Filem Provokatif terhadap Kitab Suci Al Quran dan ummat Islam seluruhnya.

Tindakan Geert Wilders yang juga menyamakan Al Quran dengan tulisan Adolf Hitler yang bertajuk Mein Kampf merupakan satu penghinaan yang sangat besar ke atas sejarah dan tamaddun al Quranul kareem.

Jelas, ini bukan merupakan tindakan penghinaan yang pertama yang pernah dan telah dilakukan oleh Geert Wilders ke atas Islam. Beberapa tulisan serta karyanya sebelum ini juga telah banyak menimbulkan kontroversi dan salah faham terhadap Islam dan ummat Islam.

Justeru, DMPP melihat Geert Wilders sebagai seorang manusia yang sangat muflis perasaan kemanusiaan dalam dirinya. Seorang yang sadistik dan teruja serta berpuas hati dengan sebarang bentuk keganasan yang berlaku bahkan dipertontonkannya secara interpretasi yang songsang sepertimana gambar-gambar dalam Filem Fitna terbitannya.

Geert Wilders hanyalah seorang manusia yang tidak peka dan tidak ambil kisah terhadap orang lain melainkan dirinya sendiri. Ini terbukti dengan jawapannya ketika mana ditemuramah oleh salah sebuah stesen TV Belanda yang bertanya akan impak dan implikasi daripada filem tersebut. Wilders dengan sombong menjawab: "It's not the aim of the movie but people might be offended, I know that. So, what the hell? It's their problem, not my problem".

DMPP juga menyedari betapa Ahli-Ahli Parlimen Belanda majoritinya mengutuk tindakan provokatif Geert Wilders ini. Bahkan DMPP juga menyedari bahawa Perdana Menteri Belanda semasa perbahasan di Parlimen Belanda baru-baru ini telahpun mendesak agar Wilders membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap ummat Islam.

Namun keengganan Geert Wilders untuk menerima nasihat daripada Anggota-anggota Parlimen Belanda yang lain termasuklah Perdana Menteri Belanda dengan menegaskan bahawa: “He would never, ever, not in hundred years, not even in one hundred thousand years apologize to government..”, jelas menampakkan sikap “arrogant” dan “stubborn” Ahli Parlimen tersebut.

DMPP juga memandang serius terhadap beberapa cadangan Wilders kepada Kerajaan Belanda yang antara lainnya iaitu : pemberhentian kemasukan orang-orang Islam ke negara Belanda, pembekuan pembinaan masjid-masjid baru di Belanda dan penutupan sekolah-sekolah penganut Islam.

Bahkan DMPP turut mendesak agar Kerajaan Belanda mengambil tindakan pro-aktif bagi membendung usaha Geert Wilders untuk membuat road show atau apa yang disebut olehnya sebagai “series of town-hall debates around the country about Islam” dengan berbekal Filem Fitna nya. Kegilaan Geert Wilders mengungkapkan bahawa “Quran Is License To KILL” merupakan suatu yang sangat bahaya dan mengancam keselamatan manusia sejagat.

Justeru itu, atas alasan dan hujjah apakah yang boleh digunakan oleh Kerajaan Belanda untuk terus tidak mengambil tindakan yang sangat tegas ke atas kebiadapan Geert Wilders? Adakah Kerajaan Belanda takut dan terancam dengan populariti Geert Wilders? Justeru berdolak dalik dalam mengenakan tindakan ke atas Wilders? Ataukah, Kerajaan Belanda tidak kisah untuk menjadikan Negara Belanda sebagai punca berlakunya ketegangan agama di seluruh dunia?

DMPP menyelar sikap permusuhan dan Islamophobia yang ditunjukkan oleh Geert Wilders dan beberapa kuasa Barat yang lain. DMPP memandang dengan hanya menumpukan kepada usaha Memboikot Barangan Belanda adalah tidak cukup bagi memberi tekanan kepada Kerajaan Belanda untuk bertindak tegas.

Akhirnya, DMPP berharap agar Kerajaan Belanda dapat membuktikan semangat perpaduan, keharmonian dan hormat-menghormati antara agama, budaya dan negara dengan cara mengambil tindakan tegas ke atas jenayah maklumat dan interpretasi yang telah dilakukan oleh Geert Wilders.

Yakinlah bahawa sekiranya Kerajaan Belanda masih terus berdolak dalik dalam hal ini maka sebenarnya Kerajaan Belanda seolah-olah memberikan laluan lepada ketegangan agama di seluruh dunia!

Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

4 April 2008/ 27 Rabiulawwal 1429 H, Kuala Lumpur .

Monday 19 May 2008