Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Thursday 20 November 2008

Kenyataan Media : Pertandingan Jawatan Kepimpinan Wanita Mesti Berasaskan Meritokrasi Pembelaan Terhadap Wanita


Dewan Muslimat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di atas pendirian tegas dan keberanian beliau untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam Pemilihan UMNO tahun hadapan.

Pendirian tersebut sesungguhnya menampakkan kebijaksanaan beliau dalam menghormati dan menghargai sokongan daripada peringkat akar umbi wanita itu sendiri.

Antara ciri dan nilai paling mahal yang mesti ada pada diri mana-mana pemimpin politik ialah dia memahami kehendak akar umbi, menghargai kehendak dan harapan itu serta mengambil tindakan bagi memenuhinya.

Pertandingan adakalanya wajar sekiranya wujud dua atau lebih tokoh-tokoh pemimpin yang boleh dipilih oleh para pengikut. Pertandingan juga mesti dilihat sebagai satu usaha murni dan bertanggungjawab bagi mendapatkan seorang individu yang mempunyai kelayakan lebih baik dalam semua sudut berbanding individu yang lain. Pemilihan yang tepat dalam konteks ini adalah berasaskan kepada penilaian meritokrasi seseorang itu, bukan kerana ”favouritisme” atau kroni atau kerana dia mempunyai kekuatan wang atau kedudukan.

Tidak dinafikan kepimpinan wanita pada hari ini memerlukan seorang tokoh yang lebih bersikap terbuka, berjiwa besar dan segar khususnya bagi menangani serta memperjuangkan isu-isu pembelaan ke atas golongan wanita tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

DMPP percaya bahawa 3 perkara itu akan nantinya membantu dan seterusnya membawa satu sinar baru bagi merangka satu Dasar Pembelaan ke atas kehidupan dan masa depan wanita dalam negara ini.

Kejayaan Shahrizat memastikan kewujudan sebuah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dan seterusnya mengenalpasti dan memperbaiki (meminda) beberapa perkara yang pincang dan lompang dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya keadilan terhadap golongan wanita seperti contoh Perkara 8 (2) tidak dapat kita nafikan dan ia adalah satu kredit – merit terhadap komitmen dan kesungguhan beliau.

DMPP juga percaya bahawa sudah sampai masanya, gelanggang politik dalam negara yang kita cintai ini dihidangkan dengan gaya kepimpinan dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin politik yang jauh lebih adil, jujur, berimbang, profesional, bersih dan waras.

Pemimpin-pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti sewajarnya menampil dan menzahirkan semangat serta sifat negarawan dalam tindak tanduk hatta mentaliti diri masing-masing.

Bukannya semangat dan sifat kepimpinan politik liar dan ala machiavelli yang akan melakukan apa sahaja meskipun salah di sudut hukum, adab dan tatacara hidup guna untuk memburuk serta ”membunuh” karier dan perjuangan lawan.

Rakyat hakikatnya mahu negara ini dipimpin oleh mereka yang mampu memimpin,bersih punyai visi dan berkarisma. Seterusnya menolak kepimpinan retorik, angkuh, syok sendiri, terpalit dengan segala skandal dan jenayah apatah lagi wabak rasuah yang telah merosakkan integriti seorang demi seorang kepimpinan negara yang ada.

DMPP juga sekali lagi mengulangi penegasannya ketika menghadiri Taklimat Berkaitan Sekretariat Pembela Wanita Islam (SENADA) pada 14 November 2008 di Putrajaya yang lepas, agar Datuk Seri Shahrizat dapat menggunakan segala kebijaksanaan dan kekuatan yang ada pada diri beliau sebagai pemimpin bagi menjayakan misi pembelaan ke atas wanita Islam khususnya dan seluruh kelompok wanita amnya.

Justeru kerana, hakikatnya ini adalah kehendak dan harapan akar umbi wanita Islam dalam negara ini.

DMPP sejujurnya meletakkan harapan agar beberapa isu kebajikan dan pembelaan ke atas wanita Islam yang telah dibangkitkan ketika pertemuan 14 November itu seperti pembelaan terancang kepada isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA termasuklah perbicaraan terbuka dan adil kepada para tahanan; peruntukan yang sama rata kepada Ahli-Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat (PAS,PKR & DAP) bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dan beberapa perkara lagi dapat diberikan perhatian serius dan tindakan adil oleh Datuk Seri Shahrizat .

Adalah tidak salah sekiranya harapan-harapan ini dapat direalisasikan oleh Kerajaan dan ini tentunya akan menzahirkan bahkan membuktikan lagi niat suci dan murni Bakal Ketua Wanita UMNO itu dalam menangani isu-isu berkaitan pembelaan ke atas wanita yang menurut penegasannya sebagai ”beyond political ideology”.

Juga tidak salah sekiranya kepimpinan politik wanita tanpa mengira parti yang memulakan hasrat, harapan dan usaha murni ke arah penerapan serta pelaksanaan keadilan itu.

Akhirnya, DMPP mendoakan agar rakyat dan negara ini terus dalam lindungan, hidayah dan kasih sayang Allah Azza Wajalla.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

t.t

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan

20 November 2008, Kuala Lumpur .

Friday 7 November 2008

Kebangkitan Kuasa Rakyat 5 November ( 511 )

Gambar : Saya mengambil tanggungjawab mendukung bayi berusia 3 bulan ini bagi membolehkan ibunya berjuang menuntut keadilan untuk keluarga mereka. Suasana bercampur sayu menjelang jam 2.00 petang bila tuan rumah yang juga ketua keluarga, Sdr. Lamsing menyatakan kepada saya bahawa beliau akan terus berjuang bagi menuntut hak keluarganya meski terpaksa merasai kehidupan di dalam lokap.


Kami sebenarnya sudah berbincang panjang akan hal itu dan siap memberikan segala bantuan dan sokongan kepada mereka. Itu komitmen saya dan teman-teman.



Gambar : Seorang kanak-kanak seolah merenung jauh nasibnya. Rumah tempatnya berteduh bakal dirodok rakus oleh jentera pemusnah yang mengaum sejak awal.






Seorang mangsa, Puan Karuna Bt. Oto Samlah ditemani oleh Puan Aza Sebbah, AJK PAS Kawasan Libaran yang turut hadir bersama kami bagi memberikan sokongan kepada orang kampung terus berusaha untuk mendapatkan penjelasan daripada dua orang penghantar notis daripada pihak mahkamah.


Saya gembira melihat kesungguhan mereka menyuarakan hak mereka. Selain Puan Karuna, terdapat dua lagi mangsa dari kalangan kaum perempuan yang awalnya diam di dalam rumah tetapi kemudiannya keluar dan berani menyatakan pendirian mereka terhadap pihak berkuasa. Mereka mendakwa ada penyelewengan dalam urusan tersebut. Pendirian mereka juga jelas iaitu menuntut agar kes tersebut dibicarakan secara terbuka di mahkamah bagi memastikan keadilan kepada semua yang terlibat.






Gambar : Kelihatan Wakil Rakyat DUN Sekong, Dato Samsuden berusaha memujuk orang kampung agar akur dengan injuksi mahkamah.


Keprihatinan Wakil Rakyat DUN Sekong, Dato' Samsuden bagi mewakili suara rakyat sesungguhnya sudah lama diharapkan oleh penduduk kampung yang terlibat. Malangnya, telah menjadi kelaziman wakil-wakil rakyat BN dan pemimpin-pemimpin UMNO untuk membuat sikap "pekak badak" dengan segala penderitaan rakyat.


Ironinya, semasa pilihan raya mereka ini seolah menjanjikan "emas & berlian" kepada rakyat Sabah yang serba serbi kekurangan dan terkebelakang daripada menikmati arus pemodenan pembangunan. Setiap dan sepanjang hari rakyat didatangi oleh Samsuden dan orang-orangnya untuk merayu (baca membeli) satu undi daripada setiap orang. Namun selepas pilihan raya rakyat dilupakan bahkan dipinggirkan.


Kehadiran wakil rakyat Sekong ini hanya berlaku lebih kurang jam 3.00 petang iaitu selepas kami bertahan bersama perjuangan orang kampung selama lebih kurang 5 jam. Itu pun Samsuden muncul dari arah Kilang Papan Sinora Sdn. Bhd ! Samsudeen tiba bersama juak-juaknya dengan membawa satu mesej kepada mangsa terbabit iaitu agar akur dengan perobohan rumah mereka!


Saya pertama kali terkejut bila melihat Samsuden datang dari arah Kilang Papan Sinora. Kedua kali terkejut bila mana setibanya Samsuden di situ ( tidakpun jejak kakinya di tanah milik kampung tetapi kekal berada di tanah milik Sinora ) dengan satu penegasan bahawa Sinora mempunyai satu "Court Injunction" bagi mengusir orang kampung dan orang kampung yang rata-rata berpendidikan rendah itu mesti akur! Ketiga kali terkejut bila mana wakil rakyat itu menyatakan dia tidak dapat membantu apa-apa! Tiada langsung kredibiliti seorang Wakil Rakyat tetapi lebih merupakan seorang watak "hero atau polis dalam filem Tamil" yang sering tiba lewat di tempat kejadian.


Samsuden seharusnya faham bahawa beliau merupakan Wakil Rakyat bukannya Wakil Sinora. Kehadirannya di situ sewajarnya dalam konteks suara hati rakyat bukannya suara rakus Sinora dan bukan juga suara pihak berkuasa yang secara jelasnya sudah melakukan pencabulan Perlembagaan khususnya dalam Perkara 13 (2). Salah guna kuasa semua pihak yang terbabit tidak boleh dipandang enteng. Bahkan sikap yang berilmu dan berkuasa memperbodoh-bodohkan rakyat yang lemah sewajarnya diselar dan ditempelak oleh kebangkitan suara rakyat.


Samsuden juga sewajibnya hadir bagi meleraikan kekusutan bukannya menambah kekusutan. Tuduhannya bahawa kami ( PAS & keADILan ) sebagai "batu api" hanya menampakkan ketidakmatangannya dalam berpolitik. Tuduhan itu bukan sahaja menjadikan rakyat bersuara lantang menyatakan bahawa hanya PAS dan keADILan yang mahu membantu rakyat bahkan juga disusuli dengan suara "boooo" orang kampung kepada Samsuden sebagai tanda protes mereka kepada "Wakil Sinora" itu.


Samsuden seharusnya melihat daripada semua sudut dan mesti memastikan bahawa hak dan kebajikan rakyat yang sah di sisi Perlembagaan Negara terpelihara bukannya menjadi juru cakap kepada pihak kapitalis mahupun pihak mahkamah.


Bahkan Samsuden mesti ingat bahawa saban bulan dia menerima gajinya sebagai Wakil Rakyat daripada hasil cukai awam yakni wang rakyat bukannya daripada syarikat-syarikat tertentu. Tuan Samsuden adalah rakyat bukannya pemilik kilang papan Sinora!



Asakan demi asakan dan cabaran demi cabaran yang dihadapkan oleh "suara rakyat" kepada Samsuden termasuklah kata-kata dan laungan seperti :

"alah Dato...jangan datang hanya mau jadi hero Tamil lah...."


"Dato bagitau lah kalau Dato nda boleh tolong kami akan minta Datuk Seri Anwar tolong..."


"alah..buat apa jadi Wakil Rakyat kalau tanah sekangkang kera pun nda boleh diperjuangkan..."


"Dato! Dato Wakil Rakyat ka Wakil Sinora?! Kalau mau jadi Wakil Rakyat jadi lah wakil rakyat. Kalau mau jadi Wakil Sinora lain kali jangan bertanding pilihan raya. Buang masa rakyat jak!...."


"Kami mau wakil rakyat kami lah, bukan wakil Sinora..."


Dan banyak lagi asakan demi asakan orang kampung selain daripada pelbagai soalan demi soalan yang dimajukan kepadanya . Juga diselang seli dengan laungan :


"Hidup Hidup, Hidup Rakyat. Jatuh Jatuh, Kezaliman. Henti Henti, Penindasan."

"Rakyat Rakyat, Hidup Susah. Wakil Rakyat, Hidup Senang!..."


Sebagai tanda pengharapan orang kampung terhadap tanggungjawab menjaga ketenteraman awam , pihak polis juga diberikan seruan dan laungan khas oleh orang kampung seperti :


"Sayang Sayang, Sayang Polis. Polis Polis, Sayang Rakyat! "

"Sayang Sayang, Sayang Polis. Polis Polis, Tolong Rakyat!"


AlhamduliLlah, saya wajar memberikan ucapan syabas kepada para anggota keselamatan yang bertugas pada hari itu. Bagi saya, mereka telah berjaya menjalankan tugas utama mereka iaitu menjaga ketenteraman awam khususnya ketenteraman orang kampung yang diancam dengan pencerobohan hak asasi manusia dan perobohan rumah. Hakikatnya pihak keselamatan polis pada hari itu jauh lebih matang daripada Samsuden!








Kemenangan Kuasa Rakyat



Akhirnya...kami berjaya memaksa Samsuden untuk menjalankan tugas-tugasnya sebagai Wakil Rakyat.


Akibat asakan kami dan orang-orang kampung, Samsuden telah meminta kepada pihak-pihak terbabit agar tindakan perobohan rumah di Kampung Gas itu ditangguhkan dan mangsa terlibat diberi ruang masa sebulan untuk sebarang urusan perundangan yang perlu.


Bahkan tuntutan kami agar mangsa yang terlibat diberikan pampasan selari dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 13 (2) juga dipersetujui oleh Samsuden yang kemudian menghubungi Sdr. Andrew Lim, pemilik Syarikat Kilang Papan Sinora Sdn. Bhd. .


Sejurus persetujuan itu, ngauman jentera pemusnah dimatikan. Disusuli dengan tepukan tanda kemenangan perjuangan orang-orang kampung.


Sebelum beransur meninggalkan kampung tersebut, saya menemui mangsa-mangsa yang terbabit berserta Sdr. Simon, Ketua Penerangan AMK Negeri Sabah dan membuat rumusan kemenangan kuasa rakyat itu.


Saya juga meminta agar Sdr. Simon segera membawa kes ini ke perhatian pihak Peguam yang juga Pengerusi Perhubungan keADILan Negeri Sabah iaitu Sdr. Ansari yang ketika itu saya difahamkan sedang berada di China, agar segera mengambil tindakan undang-undang bagi membantu orang-orang kampung.


Saya percaya kemenangan rakyat pada hari itu akan dikenang oleh semua yang terlibat. Mudah-mudahan juga menjadi momentum kepada satu kebangkitan kuasa, suara dan perjuangan rakyat di seluruh negeri Sabah.


AlhamduliLlah....



Wednesday 5 November 2008

Kerakusan Pemerintah & Kapitalis Terhadap Penduduk Kg. Gas, Sabah


SAY NO TO SINORA!!!


Saya difahamkan bahawa Syarikat Kilang Papan Sinora Sdn. Bhd. ini dulunya merupakan milik Yayasan Sabah di bawah Kerajaan Negeri sebelum dijual kepada seorang pengusaha yang berasal dari Sibu, Sarawak yang berketurunan Cina. Pernah menjadi tempat bergantung para penduduk di kawasan terbabit bagi mencari punca pendapatan setiap bulan ketika mana ia masih dimiliki oleh sebuah syarikat dari Jepun sebelum kemudiannya dijual kepada Yayasan Sabah.

Walau bagaimanapun, salah urus tadbir dan kepincangan pengurusan kerajaan negeri akhirnya meletakkan syarikat ini dalam keadaan yang lemah dan menanggung kerugian. Akhirnya ramai pekerja kilang yang merupakan penduduk tempatan dibuang pekerjaan atau sengaja diberikan pelbagai tekanan agar berhenti.

Saya difahamkan bahawa ramai pekerja yang telah diberhentikan kerja masih belum menerima sebarang pampasan meskipun sudah mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Lebih malang, hari ini ramai penduduk kampung mendakwa bahawa Sinora telah mengambil ramai pekerja asing dan ada yang tidak punya sebarang dokumen sah untuk menjadi pekerja di kilang terbabit lantaran gaji mereka yang murah berbanding sekiranya mengambil rakyat tempatan.




Dalam tinjauan saya dan rombongan di sekitar pintu masuk kilang, pihak kami memang mendapati ada benarnya dakwaan penduduk kampung terbabit. Bukan setakat itu, dakwaan bahawa para pekerja asing disediakan rumah batu juga ternyata benar bila kami dengan jelas dapat melihat bangunan batu yang dijadikan tempat penginapan pekerja asing tersebut. Ironinya, sebelum ini kemudahan seperti itu tidak pernah disediakan kepada pekerja tempatan. Bahkan penduduk tempatan tinggal di atas bakau dengan rumah papan yang usang, sedangkan pendatang asing "hidup senang dan mewah"....


4 November 2008 (Selasa), lebih kurang jam 9 malam, penduduk Kampung Gas menghubungi Puan Raj Normala @ Su'aidah Ruhiyyah bagi memaklumkan bahawa pihak Sinora akan menjalankan kerja-kerja perobohan rumah pada esok pagi iaitu pada 5 Oktober 2008.

Mereka juga meminta pihak kami agar dapat hadir esoknya pada jam 8.00 pagi bagi membantu mereka dan sebagai tanda solidariti PAS dan keADILan terhadap rakyat di Kg. Gas.

Saya tanpa sebarang perasaan ragu-ragu meminta Puan Su'aidah bagi memaklumkan penduduk kampung akan kesanggupan kami untuk hadir ke sana sebagai tanda simpati dan solidariti PAS terhadap perjuangan menuntut hak rakyat. Bagi saya ia merupakan suatu kewajipan dalam perjuangan ini.






5 November 2008 (Rabu) : Saya dan beberapa kepimpinan PAS tiba di kampung tersebut dan di sana Sdr. Simon, Ketua Penerangan Angkatan Muda keADILan Negeri Sabah sudahpun siap menanti kami. Kebetulan mangsa yang terbabit mempunyai kaitan keluarga dengan beliau.

Gambar di atas menunjukkan Pekerja-pekerja Sinora Sdn Bhd. dan pihak mahkamah serta pihak polis sedang menuju ke rumah penduduk kampung bagi tujuan merobohkannya kerana didakwa berada dalam lingkungan kawasan milik Sinora. Penduduk kampung membantah kerana menurut mereka kampung mereka sudah lebih satu abad berada di situ dan percaya bahawa ada unsur penyelewengan dan penindasan ke atas rakyat.






Jentera Pemusnah milik Sinora mula bergerak menuju ke arah rumah penduduk kampung yang terbabit.






Mula bertindak membuka dinding pemisah yang didirikan bagi memisahkan kawasan kilang dengan kawasan kampung. Tembok ini juga digelar oleh para penduduk sebagai Tembok Israel".




Deruman jentera pemusnah ini sahaja serta "keganasannya" merobohkan tembok mebuat perasaan dan riak wajah semua pihak defendan yang berada di situ kelihatan bercampur aduk. Bukan setakat itu, terdapat mereka yang menangis dan menitiskan air mata.





Inilah janji PM dalam PRU-12 yang lepas kepada rakyat : "Selamat, Aman & Makmur...". Sdr. Lamsing iaitu salah seorang mangsa tidak henti-henti menyatakan kepada kami bahawa dia dan keluarganya berasa seolah-olah mereka sedang berada di Palestin dan sedang diancam oleh keganasan Tentera Israel!

Luahan ini cukup memberi gambaran kepada kami semua betapa mereka berasa sangat terancam di bawah pemerintahan Regim Barisan Nasional. Wakil Rakyat bagi DUN terbabit iaitu DUN Sekong, YB. Dato' Samsudin masih gagal menunjukkan batang hidungnya sepanjang pagi tersebut.

















Rakaman di atas menunjukkan 2 orang "Srikandi PAS" sedang memberikan bantuan kepada seorang nenek yang sudahpun berusia lebi 100 tahun. Beliau baru balik daripada mendapatkan rawatan di klinik akibat demam panas. Setibanya kami awal pagi 5 Oktober di kampung mereka, saya dan rombongan terkejut bila melihat nenek tersebut disorong di dalam kereta sorong untuk dibawa ke klinik.

Saya justeru bertanya apakah tidak ada wakil rakyat bagi kawasan terbabit menyediakan sekurang-kurangnya sebuah kerusi roda untuk kegunaan orang kampung bila mana berlaku kecemasan atau keadaan seperti itu. Sayang seribu kali sayang, kata mereka 1 sen dibelah tujuh pun tidak akan ada inisiatif seperti itu diambil oleh wakil rakyat ataupun pihaknya.


Inikah yang dibangga-banggakan oleh UMNO sebagai kononnya parti membela ummat Melayu dan Islam? Saya masih terbayang satu banting yang digantung di bangunan PWTC suatu ketika dulu (barangkali masih ada?)... kata UMNO.."Anda Keprihatinan Kami"... Nah, susah sangat kah untuk pimpinan UMNO Negeri Sabah, Bahagaian Batu Sapi atau Samsudin sendiri sebagai wakil rakyat untuk menyediakan segala kemudahan ini?






Dalam usianya yang lanjut...dalam segala kepayahan, kesusahan dan kezaliman pemerintah yang masih terpaksa terus dihadapi, difahami...nenek ini masih ingat untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Hamba kepada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu.... Selesai menunaikan solat, nenek membaca yaasin kerana dia tahu dia dan keluarganya sedang dizalimi dan rumah tempatnya berteduh kapan sahaja akan ranap menyembah bumi akibat tangan-tangan mereka yang dzalim... semoga Allah memenuhi janjiNya...Doa golongan yang tertindas sesungguhnya dijanjikan mustajab...





- bersambung-

TUNGGU.

banyak lagi akan kami bongkar!!!






Sunday 2 November 2008

Membawa Misi Menyemarakkan Pakatan Rakyat Di Sabah : "Masa Untuk Berubah, Ubah Demi Maruah"

Sabah atau lebih dikenali oleh masyarakat luar khususnya para pelancong sebagai Negeri Di Bawah Bayu ( Land Below The Wind ) merupakan sebuah negeri yang telah dijadikan sandaran oleh Kerajaan Regim Barisan Nasional untuk terus menerajui tampuk kuasa negara ini meskipun hanya menguasai 51% jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia.

Tsunami Politik dalam PRU-12 yang lalu sesungguhnya telah berjaya merubah lanskap politik Malaysia khususnya di Malaysia Barat. Dari situ, kita melihat betapa hegemoni BN berjaya dinafikan oleh Kebangkitan Kuasa Rakyat yang dipimpin oleh 3 buah parti politik massa iaitulah PAS, keADILan (PKR) dan juga DAP.

Malangnya fenomena Kebangkitan Rakyat ini tidak sampai auranya kepada rakyat khususnya para pengundi di Sabah dan Sarawak. Umum mengetahui betapa rakyat Sabah dan Sarawak agak ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan termasuklah arus perubahan politik yang positif ini.

Jika dilihat akan punca-punca kepada wujudnya iklim politik yang agak dingin serta tahap kepedulian yang semakin endah tak endah di kalangan rakyat Sabah kini, yang suatu masa dahulu terkenal dengan kehebatan mereka menukar kerajaan setiap kali PRU, maka kita akan mendapati banyak faktor yang telah membawa kepada keadaan ini termasuklah amalan pemberian tongkat kepada rakyat dan amalan rasuah politik yang sangat berleluasa khususnya menjelang serta sepanjang tempoh sesuatu pilihan raya itu diadakan. Budaya negatif ini hakikatnya disemai-suburkan sejak kemasukan UMNO ke negeri Sabah.

Justeru itu, meskipun PAS, keADILan dan DAP atau kini dikenali sebagai Kerajaan Pakatan Rakyat berjaya menguasai lebih kurang 49% daripada jumlah keseluruhan pengundi di seluruh negara dalam PRU-12 yang lepas; bahkan berjaya menafikan 2/3 BN di Dewan Rakyat serta berhasil pula membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat di 5 buah negeri di Semenanjung ; namun kemaraan Pakatan Rakyat kini dilihat agak terbantut dan dijangka akan terus bonsai seandainya minda rakyat khususnya para pengundi di Borneo Utara ini gagal untuk diubah serta gagal untuk berubah.

Menyedari situasi yang berbahaya kepada masa depan negara dan rakyat ini, di samping tanggungjawab sebagai seorang anak watan bagi negeri Sabah ; maka saya bersama beberapa kepimpinan PAS Negeri dan teman-teman dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) serta aktivis masyarakat tempatan akhirnya bersetuju untuk merencana strategi penerangan kepada rakyat Sabah bermula dari Residensi Sandakan yang menempatkan 5 kawasan parlimen iaitu Beluran, Kinabatangan, Libaran, Sandakan dan Batu Sapi.

Bagi memenuhi hasrat itu maka pada 23 Oktober 2008 yang lepas saya telah berangkat pulang ke negeri tumpah darah saya iaitu Sabah dan berada di situ sehingga 11 November 2008, insyaAllah.

Misinya jelas iaitu membawa dan menyemarakkan suara, perjuangan dan kebangkitan kuasa rakyat kepada orang Sabah yang saya kenali punya kekuatan tersendiri sehingga seringkali kami mengibaratkannya umpama : "Kalau dilontar ke laut menjadi pulau, dihumban ke darat menjadi gunung!".

Menyambut kepulangan saya yang mebawa misi tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah iaitu Saudara Imran Ibrahim dibantu oleh Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah iaitu Puan Su'aidah Ruhiyyah di samping sahabat-sahabat pimpinan PAS kawasan Kinabatangan dan Libaran.

Mereka juga berjaya mengajak sama teman-teman pimpinan daripada keADILan termasuklah YBhg. Dato' Nahalan Hj. Damsal, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan mantan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang kini merupakan Ketua Bahagian keADILan Batu Sapi.

AlhamduliLlah, kami juga akhirnya berjaya mengaturkan beberapa program turun bertemu masyarakat bagi menyampaikan risalah perjuangan Pakatan Rakyat dan risalah perjuangan para Rasul . Pelbagai aktiviti ; Ziarah, Dialog, Ceramah Kelompok dan Program Semai Bakti dari satu tempat ke satu tempat disusun dan dilaksanakan.

Program-program sebegini mungkin telah menjadi rutin untuk Pakatan Rakyat di Semenanjung tetapi ianya sangat kurang dan belum menjadi budaya kita di Sabah. Dan komitmen kami adalah untuk membudayakannya kepada semua pihak dan lapisan masyarakat di Sabah. Baik kepimpinan Pakatan Rakyat (PR), para penyokong PR mahupun rakyat jelata amnya.

Dalam siri penjelajahan tersebut juga, pihak kami turut membawa sedikit sebanyak bantuan berupa keperluan harian untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan di samping sumbangan dalam bentuk duit sebagai tanda ingatan dan bagi meringankan beban hidup mereka.

Saya katakan pada teman-teman kepimpinan PR di Sabah bahawa budaya kepedulian terhadap penderitaan dan kesusahan rakyat jangan hanya kita amalkan sama sepertimana UMNO/ BN iatu lima tahun sekali! Tetapi budaya ini mesti bermula sekarang. Sekarang juga kita mesti tiupkan semboyan perubahan di seluruh pelusuk geografi Sabah. Semboyan yang membawa gema : "Masa Untuk Berubah, Ubah Demi Maruah!".

Sejujurnya, teramat sayu bila mengenang pengalaman beberapa hari yang lepas.....



Jelajah Penerangan 27 Oktober 2008 (Isnin) :
Kg. Tinosa 1, Jalan Airport, Libaran, Sandakan Sabah.




Gambar : Kelihatan Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Sdr. Imran Ibrahim dalam rangka Jelajah Penerangan kami. Bersamanya ialah seorang penduduk kampung iaitu Sdr. Sin Sun B. Muin.





Gambar : Sdr. Sin Sun B. Muin merupakan rakyat Sabah berketurunan Kadazan-Dusun. Sudah memeluk Islam seisi keluarga sejak zaman pemerintahan parti Berjaya lagi dan sebelum ini mendapat bantuan wang zakat daripada Majlis Agama Islam Sabah.

Walau bagaimanapun, sejak beliau menaikkan bendera PAS dan keADILan di rumahnya pada PRU-11 yang lepas dan PRU-12 baru-baru ini, beliau telah diugut untuk diusir dari kampung yang didiaminya sejak bertahun-tahun oleh pemimpin dan penyokong-penyokong UMNO tempatan.

Bukan setakat itu, kini bantuan wang zakat sudahpun dihentikan dan alasan yang diberikan kepada beliau ialah kerana beliau menyokong PAS dan PKR. Sin Sun tidak berganjak dengan pendiriannya menyokong Pakatan Rakyat.




Gambar : Rumah terbaru Sin Sun dan keluarganya selepas terpaksa mengosongkan rumah sewanya sebelum ini akibat tekanan pihak tertentu.


Jelajah Penerangan 28 Oktober 2008 (Selasa) : Kg. Batu Putih, Jalan Airport, Libaran, Sandakan, Sabah.



Gambar : Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi bersama Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah, Sdr. Imran Ibrahim ketika singgah di salah sebuah rumah penduduk kampung.

Umat Islam dari keturunan rumpun Melayu di sini kebanyakannya mendiami kawasan-kawasan bakau seperti gambar ini dan gambar-gambar berikut nanti. Inilah "jasa" UMNO dan BN selama ini kepada rakyat Sabah yang dulunya (awal tahun 70-an) dikenali sebagai negeri kedua terkaya di seluruh Malaysia dan kini menjadi negeri kedua termiskin di seluruh Malaysia! Tradisi Membela Rakyat yang menjadi motto BN sebenarnya wajar dibaca sebagai Tradisi Mendera Rakyat!


Gambar : Penolong Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sabah, Puan Su'aidah Ruhiyyah sedang menyemak satu dokumen yang dikemukakan oleh seorang warga emas di kampung tersebut iaitu Pak Cik Awang B. Mohamad. Beliau mendakwa bahawa dia dan isterinya tidak pernah menerima sebarang bantuan sebagai warga emas sepertimana yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Sabah meskipun sudah beberapa kali memohon.



Gambar : Menyantuni seorang lagi warga emas yang juga uzur. Selain menyampaikan bantuan, mesej perjuangan juga tidak lupa disampaikan.




Gambar : Memahami perit jerih hidup rakyat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pengundi yang hanya dijengah wakil rakyat bila mana memerlukan undi. Rumahnya agak usang. Kehidupannya serba kekurangan. Masa depannya masih suram.




Gambar : Pak Cik Awang B. Mohamad, 82 tahun. Bekas tentera di Sabah yang telah ditugaskan membantu Pasukan Tentera Australia melawan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua pada tahun 1942. Beliau mencurahkan perasaan kecewanya kepada kami kerana mendakwa betapa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah gagal mengambil sebarang inisiatif membela orang-orang sepertinya.






Gambar : Pingat Keberanian dan surat penghargaan yang telah diterimanya daripada Menteri Ketenteraan dan Pemerintah Australia pada tahun 1947. Namun mendakwa tidak menerima sebarang tanda ingatan daripada negara sendiri.





Gambar : Ketua Penerangan PAS Negeri Sabah menyampaikan sumbangan sekampit 10 kg beras kepada salah satu keluarga susah yang terpilih. Bulan Purnama akan muncul di dalam kegelapan hidup rakyat tertindas.

Jelajah Penerangan 28 Oktober 2008 ( Selasa ) :
Kg. Tinosa 2, Jalan Airport, Libaran, Sandakan, Sabah.




Gambar : Ketua Penerangan PAS Negeri, Sdr. Imran Ibrahim bersama YDP PAS Kawasan Libaran, Sdr. Mohd. Hassan. Kami hadir ke rumah ini selepas dimaklumkan berkaitan keperitan hidup ibu tunggal ini menyara 5 orang anaknya. Bahkan kini tinggal dalam sebuah rumah yang belum siap sepenuhnya.




Gambar : Ini adalah wajah salah sebuah rumah rakyat. Lokasinya di Kg. Tinosa 2 di dalam Kawasan Parlimen Libaran dan DUN Sg. Sibuga.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman merupakan Ketua UMNO Bahagian Libaran merangkap ADUN di Sg. Sibuga ini.

Apakah dia gagal menyedari nasib sebenar rata-rata umat Melayu - Islam di sini? Inikah yang dimaksudkan sebagai "Selamat, Aman Dan Makmur"? Bukan sahaja umat Melayu - Islam ini hanya dibenarkan mendiami kawasan bakau bahkan Ketua Menteri ini jelas tidak ambil kisah akan kehidupan rakyat yang berada di hadapan matanya.

Jelajah Penerangan 29 Oktober 2008 (Rabu) :
Tapak Projek Perumahan Rakyat Di Jalan Army Camp, Bt. 7, Libaran, Sandakan, Sabah.









Saya memaparkan beberapa keping gambar ini untuk para pembaca melihatnya betul-betul daripada pelbagai sudut. Ini merupakan Projek Perumahan Rakyat yang diurus-selia oleh Jabatan Perumahan Negara.

Cuba lihat betapa rapuhnya bangunan rumah pangsa 5 tingkat ini. Setiap kali melaluinya, hati saya rawan dan gementar. Apakah nasib yang akan menimpa para penghuninya suatu hari nanti? Bagi saya ini adalah satu yang sangat tidak bertanggungjawab. Kami lebih melihat dan merasakannya ibarat "Projek Perumahan Sangkar Burung"!

Beberapa hari yang lepas, saya juga telah melihat perumahan teres di Taman Nuri, Jalan Airport. Harga jualan seunit ialah lebih kurang RM 45,000. Tetapi saya difahamkan bahawa kos sebenar pembinaannya hanyalah sekitar RM 15,000.

Melihat sendiri keadaan dan binaan rumah tersebut, sukar untuk saya menafikan dakwaan ini. Sama sukar untuk saya percaya dan menerima bahawa nilai harga yang dijual kepada rakyat iaitu seunit RM 45,000 adalah patut.

Bahan binaannya lebih banyak menggunakan kayu daripada batu dan simen. Tangga kayunya yang murah itu pun sudah buruk dan patah di sana sini. Rakyat Sabah sudahlah miskin, hasil mahsul negerinya disedut bagi kepentingan Persekutuan dan bagi memenuhi poket-poket pemimpin dan kroni pemimpin BN.

Mengapa yang miskin ini masih mahu terus "digasak" oleh pihak pemerintah? Buta kah mata para wakil rakyat? Atau mereka juga sebahagian daripada kerakusan ini?


Jelajah Penerangan 2 November 2008 ( Ahad ) : Kg. Gas Besar, Batu Sapi, Sandakan, Sabah.



Gambar : Bersama Ketua Bahagian keADILan Batu Sapi, Dato' Nahalan Hj. Damsal (bertopi) yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan bekas Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Negeri Sabah ketika dalam siri Jelajah Penerangan Di Batu Sapi, Sandakan Sabah.

Kg. Gas Besar merupakan lokasi di mana berlakunya tragedi perobohan rumah rakyat oleh pihak berkuasa atas alasan kononnya tanah bakau yang diduduki oleh penduduk kampung merupakan tanah milik Syarikat Kilang Papan Sinora.

Fakta sebenar ialah bahawa kampung ini sudah pun berusia lebih daripada 1 abad atau 100 tahun. Ini diakui sendiri oleh Dato' Nahalan Hj. Damsal yang juga merupakan Bekas Wakil Rakyat di DUN tersebut iaitu DUN Sekong. Tindakan perobohan ini telahpun bermula sejak tahun 2004 dan kini sejumlah lebih kurang 80 buah rumah sudahpun dirobohkan.



Bersama Ketua Wanita keADILan Bahagian Batu Sapi iaitu Puan Dayang Asmah. Lihat tembok zink yang berada di sebelah kami ini. Kami menggelarnya Tembok Israel!

Kewujudan tembok ini yang seterusnya bukan sahaja menghalang lanskap asal kampung bahkan juga menjadi penghalang dan menyukarkan lagi perjalanan keluar masuk perahu-perahu kecil para nelayan. Rata-ratanya penduduk kampung ini masih bekerja sebagai nelayan.




Ini adalah rumah Sdr. Lamsing B. Miasin, 54 tahun yang juga bekerja sebagai nelayan. Rumah beliau merupakan rumah yang seterusnya bakal dirobohkan. Beliau menegaskan kepada kami bahawa beliau tidak akan keluar dari rumah tersebut dan tidak berhasrat untuk mengemaskan barang-barangnya untuk keluar.





Warga emas berusia lebih 100 tahun yang turut menjadi penghuni rumah Lamsing B. Miasin. Saya bertanya kepada beliau adakah sebarang pampasan dijanjikan oleh pihak berkuasa atau pihak pemaju. Atau barangkali dijanjikan sebarang rumah ganti?

Sdr. Lamsing dengan nada penuh sayu bercampur kecewa menyatakan kepada saya dan teman-teman betapa dia tidak tahu apa kesudahan untuk diri dan keluarganya. Katanya lagi ; "kalau sampah pun kita kumpul-kumpul dan kita akan tahu di mana akhirnya sampah itu harus ditempatkan, tetapi malang untuk manusia di bawah pemerintahan BN, kita tidak tahu ke mana akhirnya kita harus pergi." Bergenang dan hampir menitis air mata saya mendengar luahan hatinya. Sebak bercampur marah melihat kezaliman Regim BN kepada rakyat Sabah.





Rumah-rumah ini hanya menanti masa dirobohkan oleh pihak berkuasa.







Menyampaikan Ceramah Kelompok bagi membangkitkan semangat dan keberanian rakyat untuk menghadapi kezaliman dan kekejaman BN terhadap penduduk Kg. Gas, Batu Sapi.








Dato' Nahalan bersama Sdr. Imran Ibrahim dan Sdr Ad-Deen (Ketua Penerangan keADILan Bahagian Batu Sapi) turut bersama menyampaikan kata-kata perangsang kepada para penduduk kampung untuk memacu kebangkitan suara dan kuasa rakyat Sabah.











Gambar : Dari Kiri ; Puan Aza Sebbah @ Angah Zebb, Puan Su'aidah @ Su dan saya. Tiga beradik sebenarnya yang tekad mengusung dan menjunjung perjuangan ini. Kami bangkit dan memilih perjuangan di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di kala kami berada di tengah-tengah masyarakat kami yang masih "jahil". Kami tidak takjub dengan kesenangan kerana kami sudah biasa hidup senang. Kami juga tidak kecewa dan putus asa dengan kesusahan lantaran kami juga sudah biasa hidup susah. Terima kasih emak.


Jelajah Penerangan 2 November 2008 ( Ahad ) :
Kg. Bokhara, Batu Sapi, Sandakan, Sabah.







Majlis Penerangan Pakatan Rakyat yang diadakan di Kg. Bokhara ini mendapat sambutan ramai dan cukup memberangsangkan daripada penduduk-penduduk kampung. Salah urus-tadbir kekayaan negara dan negeri didedah.

Rakyat diminta berubah agar jangan mudah menjual diri dan masa depan keluarga dengan harga RM 300/- setiap kali menjelang pilihan raya.

Saya katakan kepada mereka kalau dengan RM 300/- itu , mereka rasa sangat besar dan terhutang budi kepada UMNO/BN lantas sanggup "menjual undi" masing-masing kepada BN, tetapi hakikatnya ialah nilai sebenar mereka di mata pemimpin UMNO/BN ialah RM0.18 sen sehari!

Lebih malang lagi kalau dengan hanya RM 50.00 maka mereka akur terus memilih parti yang bobrok iaitu BN, maka sebenarnya mereka menjual maruah, moral dan harga diri mereka serta masa depan anak cucu mereka kepada pemimpin BN dengan kadar RM 0.03 sen sehari.

Kedua-dua nilai ini jika kita amati maka ternyatalah harga rakyat Sabah jauh lebih murah berbanding harga sebiji telur atau sebungkus maggie atau sepotong kuih!


-bersambung-