Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Friday 7 November 2008

Kebangkitan Kuasa Rakyat 5 November ( 511 )

Gambar : Saya mengambil tanggungjawab mendukung bayi berusia 3 bulan ini bagi membolehkan ibunya berjuang menuntut keadilan untuk keluarga mereka. Suasana bercampur sayu menjelang jam 2.00 petang bila tuan rumah yang juga ketua keluarga, Sdr. Lamsing menyatakan kepada saya bahawa beliau akan terus berjuang bagi menuntut hak keluarganya meski terpaksa merasai kehidupan di dalam lokap.


Kami sebenarnya sudah berbincang panjang akan hal itu dan siap memberikan segala bantuan dan sokongan kepada mereka. Itu komitmen saya dan teman-teman.



Gambar : Seorang kanak-kanak seolah merenung jauh nasibnya. Rumah tempatnya berteduh bakal dirodok rakus oleh jentera pemusnah yang mengaum sejak awal.






Seorang mangsa, Puan Karuna Bt. Oto Samlah ditemani oleh Puan Aza Sebbah, AJK PAS Kawasan Libaran yang turut hadir bersama kami bagi memberikan sokongan kepada orang kampung terus berusaha untuk mendapatkan penjelasan daripada dua orang penghantar notis daripada pihak mahkamah.


Saya gembira melihat kesungguhan mereka menyuarakan hak mereka. Selain Puan Karuna, terdapat dua lagi mangsa dari kalangan kaum perempuan yang awalnya diam di dalam rumah tetapi kemudiannya keluar dan berani menyatakan pendirian mereka terhadap pihak berkuasa. Mereka mendakwa ada penyelewengan dalam urusan tersebut. Pendirian mereka juga jelas iaitu menuntut agar kes tersebut dibicarakan secara terbuka di mahkamah bagi memastikan keadilan kepada semua yang terlibat.






Gambar : Kelihatan Wakil Rakyat DUN Sekong, Dato Samsuden berusaha memujuk orang kampung agar akur dengan injuksi mahkamah.


Keprihatinan Wakil Rakyat DUN Sekong, Dato' Samsuden bagi mewakili suara rakyat sesungguhnya sudah lama diharapkan oleh penduduk kampung yang terlibat. Malangnya, telah menjadi kelaziman wakil-wakil rakyat BN dan pemimpin-pemimpin UMNO untuk membuat sikap "pekak badak" dengan segala penderitaan rakyat.


Ironinya, semasa pilihan raya mereka ini seolah menjanjikan "emas & berlian" kepada rakyat Sabah yang serba serbi kekurangan dan terkebelakang daripada menikmati arus pemodenan pembangunan. Setiap dan sepanjang hari rakyat didatangi oleh Samsuden dan orang-orangnya untuk merayu (baca membeli) satu undi daripada setiap orang. Namun selepas pilihan raya rakyat dilupakan bahkan dipinggirkan.


Kehadiran wakil rakyat Sekong ini hanya berlaku lebih kurang jam 3.00 petang iaitu selepas kami bertahan bersama perjuangan orang kampung selama lebih kurang 5 jam. Itu pun Samsuden muncul dari arah Kilang Papan Sinora Sdn. Bhd ! Samsudeen tiba bersama juak-juaknya dengan membawa satu mesej kepada mangsa terbabit iaitu agar akur dengan perobohan rumah mereka!


Saya pertama kali terkejut bila melihat Samsuden datang dari arah Kilang Papan Sinora. Kedua kali terkejut bila mana setibanya Samsuden di situ ( tidakpun jejak kakinya di tanah milik kampung tetapi kekal berada di tanah milik Sinora ) dengan satu penegasan bahawa Sinora mempunyai satu "Court Injunction" bagi mengusir orang kampung dan orang kampung yang rata-rata berpendidikan rendah itu mesti akur! Ketiga kali terkejut bila mana wakil rakyat itu menyatakan dia tidak dapat membantu apa-apa! Tiada langsung kredibiliti seorang Wakil Rakyat tetapi lebih merupakan seorang watak "hero atau polis dalam filem Tamil" yang sering tiba lewat di tempat kejadian.


Samsuden seharusnya faham bahawa beliau merupakan Wakil Rakyat bukannya Wakil Sinora. Kehadirannya di situ sewajarnya dalam konteks suara hati rakyat bukannya suara rakus Sinora dan bukan juga suara pihak berkuasa yang secara jelasnya sudah melakukan pencabulan Perlembagaan khususnya dalam Perkara 13 (2). Salah guna kuasa semua pihak yang terbabit tidak boleh dipandang enteng. Bahkan sikap yang berilmu dan berkuasa memperbodoh-bodohkan rakyat yang lemah sewajarnya diselar dan ditempelak oleh kebangkitan suara rakyat.


Samsuden juga sewajibnya hadir bagi meleraikan kekusutan bukannya menambah kekusutan. Tuduhannya bahawa kami ( PAS & keADILan ) sebagai "batu api" hanya menampakkan ketidakmatangannya dalam berpolitik. Tuduhan itu bukan sahaja menjadikan rakyat bersuara lantang menyatakan bahawa hanya PAS dan keADILan yang mahu membantu rakyat bahkan juga disusuli dengan suara "boooo" orang kampung kepada Samsuden sebagai tanda protes mereka kepada "Wakil Sinora" itu.


Samsuden seharusnya melihat daripada semua sudut dan mesti memastikan bahawa hak dan kebajikan rakyat yang sah di sisi Perlembagaan Negara terpelihara bukannya menjadi juru cakap kepada pihak kapitalis mahupun pihak mahkamah.


Bahkan Samsuden mesti ingat bahawa saban bulan dia menerima gajinya sebagai Wakil Rakyat daripada hasil cukai awam yakni wang rakyat bukannya daripada syarikat-syarikat tertentu. Tuan Samsuden adalah rakyat bukannya pemilik kilang papan Sinora!



Asakan demi asakan dan cabaran demi cabaran yang dihadapkan oleh "suara rakyat" kepada Samsuden termasuklah kata-kata dan laungan seperti :

"alah Dato...jangan datang hanya mau jadi hero Tamil lah...."


"Dato bagitau lah kalau Dato nda boleh tolong kami akan minta Datuk Seri Anwar tolong..."


"alah..buat apa jadi Wakil Rakyat kalau tanah sekangkang kera pun nda boleh diperjuangkan..."


"Dato! Dato Wakil Rakyat ka Wakil Sinora?! Kalau mau jadi Wakil Rakyat jadi lah wakil rakyat. Kalau mau jadi Wakil Sinora lain kali jangan bertanding pilihan raya. Buang masa rakyat jak!...."


"Kami mau wakil rakyat kami lah, bukan wakil Sinora..."


Dan banyak lagi asakan demi asakan orang kampung selain daripada pelbagai soalan demi soalan yang dimajukan kepadanya . Juga diselang seli dengan laungan :


"Hidup Hidup, Hidup Rakyat. Jatuh Jatuh, Kezaliman. Henti Henti, Penindasan."

"Rakyat Rakyat, Hidup Susah. Wakil Rakyat, Hidup Senang!..."


Sebagai tanda pengharapan orang kampung terhadap tanggungjawab menjaga ketenteraman awam , pihak polis juga diberikan seruan dan laungan khas oleh orang kampung seperti :


"Sayang Sayang, Sayang Polis. Polis Polis, Sayang Rakyat! "

"Sayang Sayang, Sayang Polis. Polis Polis, Tolong Rakyat!"


AlhamduliLlah, saya wajar memberikan ucapan syabas kepada para anggota keselamatan yang bertugas pada hari itu. Bagi saya, mereka telah berjaya menjalankan tugas utama mereka iaitu menjaga ketenteraman awam khususnya ketenteraman orang kampung yang diancam dengan pencerobohan hak asasi manusia dan perobohan rumah. Hakikatnya pihak keselamatan polis pada hari itu jauh lebih matang daripada Samsuden!








Kemenangan Kuasa Rakyat



Akhirnya...kami berjaya memaksa Samsuden untuk menjalankan tugas-tugasnya sebagai Wakil Rakyat.


Akibat asakan kami dan orang-orang kampung, Samsuden telah meminta kepada pihak-pihak terbabit agar tindakan perobohan rumah di Kampung Gas itu ditangguhkan dan mangsa terlibat diberi ruang masa sebulan untuk sebarang urusan perundangan yang perlu.


Bahkan tuntutan kami agar mangsa yang terlibat diberikan pampasan selari dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 13 (2) juga dipersetujui oleh Samsuden yang kemudian menghubungi Sdr. Andrew Lim, pemilik Syarikat Kilang Papan Sinora Sdn. Bhd. .


Sejurus persetujuan itu, ngauman jentera pemusnah dimatikan. Disusuli dengan tepukan tanda kemenangan perjuangan orang-orang kampung.


Sebelum beransur meninggalkan kampung tersebut, saya menemui mangsa-mangsa yang terbabit berserta Sdr. Simon, Ketua Penerangan AMK Negeri Sabah dan membuat rumusan kemenangan kuasa rakyat itu.


Saya juga meminta agar Sdr. Simon segera membawa kes ini ke perhatian pihak Peguam yang juga Pengerusi Perhubungan keADILan Negeri Sabah iaitu Sdr. Ansari yang ketika itu saya difahamkan sedang berada di China, agar segera mengambil tindakan undang-undang bagi membantu orang-orang kampung.


Saya percaya kemenangan rakyat pada hari itu akan dikenang oleh semua yang terlibat. Mudah-mudahan juga menjadi momentum kepada satu kebangkitan kuasa, suara dan perjuangan rakyat di seluruh negeri Sabah.


AlhamduliLlah....



2 comments:

  1. salam...sedih saya baca post ni akak..

    tahniah di atas perjuangan yg akak bw membawa sedikit sinar kejayaan...saya doakan agar akak sentiasa dan terus istiqamah dalam perjuangan

    pilihanraya ke 13 saya nak tgk akak masuk parlimen...PAS patut amik akak bertanding di kelantan atau terengganu..

    salam perjuangan...Allahuakbar

    ReplyDelete
  2. salam, nmpknya ameno ini sudah mula melebarkan sayap unit meroboh rumah rakyat ke sabah.

    saya cadangkan kak athirah bertanding bagi kawasan dun sekong atau perlimen batu sapi utk pr yg akan datang.

    ReplyDelete