Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Sunday 25 May 2008

Pakaian Sekolah Pelajar Perempuan: Cadangan PKPIM Wajar

RESPON DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

BERHUBUNG CADANGAN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
KEPADA KEMENTERIAN PELAJARAN
AGAR MENGKAJI SEMULA SISTEM PEMAKAIAN PELAJAR PEREMPUAN


DMPP berpendapat bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia wajar memandang serius akan cadangan yang dikemukakan oleh PKPIM berhubung sistem pemakaian seragam pelajar-pelajar perempuan di sekolah. Sudah tentu keberanian mereka mengemukakan kritikan dan seterusnya cadangan itu adalah didorong oleh keyakinan mereka kepada agama dan nilai-nilai hidup Islam.

Bahkan cadangan PKPIM itu wajar disambut dengan hikmah kebijaksanaan seorang menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Adat dan budaya Melayu mengajar bangsanya agar berpakaian tidak menjolok mata, sopan dalam penampilannya dan santun dalam gerak langkahnya. Dicantikkan lagi dengan hadirnya Islam yang menganjurkan ummatnya menjaga batasan-batasan aurat. Justeru, apa jua tindakan menteri terbabit terhadap cadangan ini akan menjadi isyarat kepada generasi muda tentang pendirian Ketua Pemuda itu terhadap bangsa dan agamanya.

Justeru, apakah salahnya Menteri Pelajaran, YB. Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bersikap terbuka dengan cadangan PKPIM ini? Apa salahnya sekiranya PKPIM yang merupakan sebuah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (persatuan berdaftar) cuba mengambil sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap kelompok masyarakat mereka iaitu masyarakat pelajar?

DMPP sedar bahawa pakaian bukanlah merupakan satu-satunya faktor terjadi dan seterusnya meningkatnya jenayah seksual. Ada banyak faktor yang terlibat bagi keadaan itu. Namun, DMPP menegaskan bahawa faktor pemakaian seseorang perempuan masih tergolong sebagai antara faktor pemangkin kepada berlaku dan meningkatnya jenayah tersebut. Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seksual misalnya, maka setiap faktor perlu dikenalpasti. Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian.

DMPP percaya bahawa adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak melenting terhadap cadangan PKPIM ini. Mengapa perlu setiap kali kita bicara soal pakaian maka kelihatan beberapa pihak akan mengambil sikap ”Personal” mempertahankan kebebasan diri sebagai perkara yang lebih utama. Bahkan tidak kurang yang akan menolaknya mentah-mentah dengan seterusnya memberi pelbagai faktor lain yang lebih utama menjadi punca.

Justeru, DMPP mendesak agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat serta badan-badan NGO’s wanita yang prihatin agar segera membuat kajian menyeluruh berhubung dengan perkara ini.

DMPP percaya bahawa pendirian beberapa pihak yang menolak mentah-mentah akan wujudnya hubungan antara pakaian dan jenayah seksual adalah dibuat berdasarkan pandangan peribadi, pandangan sekumpul kecil mereka dan bukannya pandangan masyarakat teramai di seluruh negara.

DMPP juga menyarankan kepada PKPIM agar segera membuat pungutan suara di kalangan pelajar di seluruh negara terhadap pandangan mereka berkaitan faktor pakaian sebagai antara faktor pemangkin berlaku serta meningkatnya jenayah seksual.

Dalam konteks pemakaian baju kurung putih bagi pelajar perempuan di sekolah, DMPP percaya bahawa bukanlah warna pakaian seragam itu yang wajar menjadi tumpuan kita. Tetapi material kain putih yang digunakan untuk membuat baju sekolah itu. Kita tidak dapat menafikan bahawa material kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya bila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit).

Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai bra tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara bilamana warna pakaian dalam mereka lebih terang/ kontra dengan seragam putih yang mereka pakai. Hakikat ini tidak mungkin dapat kita sembunyikan. Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah bilamana hari hujan. Justeru, cadangan PKPIM kepada Kementerian Pelajaran itu merupakan cadangan yang sangat bertanggungjawab dan munasabah mengambilkira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fiqh.

Bahkan dalam hal ini, DMPP mendesak agar Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan (refresh) satu Fatwa berkaitan pakaian dan aurat bagi wanita Islam (termasuk pelajar-pelajar wanita Islam). Ini kerana meskipun di dalam Al Quran seperti contohnya dalam Surah An Nur: 31, Allah Ta’ala telah berfirman yang bermaksud : ”Hendaknya mereka melabuhkan tudungnya sampai ke dada, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir..”.

Namun sehingga kini ternyata ramai pihak masih berdolak dalik dalam hal aurat seorang wanita Islam. Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Islam dan ummatnya, maka Majlis Fatwa Kebangsaan wajar memperbetulkan pandangan songsang pihak pemerintah khususnya Perdana Menteri sendiri terhadap persoalan ini. Sikap membisu para alim ulama’ kerajaan dan tidak tegasnya segelintir mufti dalam hal ini akan hanya mengheret ummat Islam kepada salah faham dan tidak faham kepada Islam.

Bahkan terdapat juga kalangan yang bersikap buat-buat tidak faham terhadap Islam. Lebih malang bilamana terdapat juga segelintir pihak yang menggunakan kesempatan sebegini untuk mempersenda-sendakan Islam.

DMPP seterusnya merafa’ sembah ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong serta Duli Yang Mulia Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab terhadap agama Islam agar terus mempertahankan kemuliaan dan ketinggian hukum-hakam Islam khususnya syariat yang berkaitan dengan batasan-batasan aurat bagi seorang wanita Islam.

DMPP menyelar mana-mana pihak yang cuba mempermainkan Islam dan ummatnya termasuk tindakan mereka yang sengaja melabelkan PKPIM atau mana-mana Gerakan Islam di Malaysia sebagai ”Little Taliban” dan kononnya berusaha membawa Talibanisme ke dalam masyarakat Islam negara ini. Tindakan ini adalah sangat keterlaluan dan biadab !




Akhirnya, DMPP mengucapkan syabas kepada PKPIM khususnya Pengerusi HeWinya iaitu Saudari Munirah Bahari atas keprihatinannya, kebertanggungjawabannya dan keberaniannya mengemukakan satu cadangan yang begitu baik. Sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran menghadapi saranan-saranan masyarakat dengan hati terbuka, adab melayu dan berjiwa Islam.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha

25 Mei 2008, Kuala Lumpur .

No comments:

Post a Comment