Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday, 9 December 2008

Tinjauan Dan Bantuan Kemanusiaan Di Lokasi Bencana, Bukit Antarabangsa


(Kemas Kini 4.30am, 10 Disember 2008. Saya tidak dapat melelapkan mata dan dan tidak mampu untuk lena. Suasana cemas sepanjang hari kelmarin di lokasi bencana, taman-taman di Bukit Antarabangsa terus mengisi ruang legar minda dan rasa saya. Entahlah,beberapa minit terlelap kemudian tersentak dan terjaga. Hadhir ke benak dan rasa saya suasana dinihari yang telah dilalui oleh para penghuni 14 buah banglo pada hari kejadian 6 Disember 2008 itu. Seolah segala yang berlaku pamer jelas di reruangan mata ini. Saya terduduk di atas katil. Air mata jernih menitis dan menderu laju. Saya terisak-isak. Demikianlah kalau Allah berkehendak kan.... Segala isi bumi ini bisa sahaja menjadi pemangsa kepada sesiapa pun. Akibat kerakusan tangan-tangan manusia maka terbentang kini rumah yang wajar menjadi tempat perlindungan kapan sahaja bisa menjadi perangkap maut kepada para penghuninya. Satu permohonan kami kepada Mu ya Rabb, hidup dan matikan kami dalam iman dan Islam. Hidupkan kami sebagai pejuang pilihan di jalanMu...dan juga matikan kami sebagai syuhada pilihan di jalanMu....hanya itu Ya Allah. Ampunilah segala kekurangan dan kekhilafan kami sepanjang menanggung pertanggungjawaban sebagai khalifahMu di atas muka bumi yang fana' ini....Ya RasuluLlah...kami merindui pimpinanmu.....sesungguhnya Allah mengilhamkan segala kefasikan dan ketaqwaan....)
Pada hari ini, 9 Disember 2008, Selasa ; saya dan beberapa anggota muslimat muda yang menurut hemat saya sebagai sangat-sangat prihatin dan komited telah mengambil keputusan untuk membuat tinjauan serta bantuan kemanusiaan kepada para mangsa di lokasi bencana, Bukit Antarabangsa.

Hasrat ini sebenarnya sudah ada sejak hari pertama bencana. Namun, kerana menunggu arahan dan barangkali perancangan yang lebih teratur daripada pihak yang lebih wajar dan bertanggungjawab, maka kami terus menunggu.

Lewat petang 7 Disember 2008, saya dihubungi oleh AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa iaitu YB. Dr. Lo' Lo' dan menanyakan kepada saya kenapa tidak ada "program" yang diaturkan oleh Muslimat untuk menyantuni para mangsa... Saya kata saya juga masih menanti "arahan"....

Menyedari ini adalah peluang dan ruang yang baik untuk membantu beliau dalam urusan berkaitan, maka saya katakan kepadanya bahawa saya siap untuk membantu Lajnah Kebajikan PAS Pusat dan juga siap untuk mendapatkan tenaga sukarelawan yang diperlukan oleh beliau.

YB. Dr. Lo' Lo' meminta saya untuk mengaturkannya dan menghubungi pusat bantuan yang dikendalikan oleh para petugas Ahli Parlimen Ampang, Puan Zuraidah Kamaruddin yang juga Ketua Wanita keADILan Malaysia. (Semoga Kak Zu beroleh Haji yang mabrur..)

Saya dan teman-teman siap siaga menyambut "Eidul Adha di Bukit Antarabangsa! Namun, pertanyaan saya untuk mengetahui beberapa hal lanjut berkaitan bentuk bantuan dan gerakerja hanya dijawab oleh pihak berkenaan pada petang 8 Disember.

Justeru, kami memutuskan untuk turun pada 9 Disember 2008 sahaja iaitu hari ini.

AlhamduliLlah, atas keprihatinan YB. Dr. Lo' Lo' maka perancangan kami berjalan lancar. Kami kemudiannya berjanji untuk terus bertemu di lokasi bencana......Lokasi awal persinggahan kami ialah di puncak Athaneum...di situ terletaknya pusat bekalan makanan dan minuman yang dikawal selia oleh Lan, wakil daripada Ahli Parlimen Ampang. Awalnya kami berhasrat untuk melalui tracking turun ke lokasi bencana dari situ. Namun, selepas mendapat panggilan daripada YB. Dr. Lo' Lo' yang meminta kami untuk mengikuti laluan baru kenderaan yang baru sahaja selesai dibina oleh anggota tentera, maka kenderaan kami bersama 3 buah motosikal anggota unit amal terus sahaja menghala ke tempat yang dimaksudkan itu.

Tergamam dengan "suasana bencana" yang terbentang di hadapan mata...perjalanan masuk kami terlupa untuk kami rakamkan. Lagi pun, kami sudah agak terlewat daripada waktu asal yang dijanjikan untuk bertemu YB. Dr. Lo' Lo'. Al maklum melalui beberapa sekatan dan terpaksa pula parking kereta di luar, jarak 300-500 meter daripada lokasi bencana.

Daripada tempat parking kereta itu, kami perlu menapak jauh ke dalam lagi mencari lokasi yang dijanjikan untuk bertemu iaitu Taman Impian Selatan. Setelah bertanya kepada beberapa anggota keselamatan yang ada di sepanjang laluan akan lokasi yang hendak kami tuju itu dan memperkenalkan diri sebagai Pasukan Kerja YB. Ahli Parlimen Ampang dan Titiwangsa (kerana itu yang dinasihati oleh YB) maka perjalanan kami untuk setiap laluan di situ mudah.

Cuma kami agak terkejut kerana rupa-rupanya Taman Impian Selatan itu terletak agak jauh ke dalam dan di bahagian atas yang memerlukan kami menapak jauh lagi serta memanjat bukit! Bukan itu sahaja, dalam arah itu juga kami harus melalui tempat di mana benar-benar berlakunya tragedi ke atas 14 buah banglo pada 6 Disember yang lalu. Menyeramkan bila melihat jalan-jalan konkrit terbongkar akibat pergerakan air bawah tanah!

Terkesima dengan semua keadaan itu menyebabkan kami berterusan "lupa" untuk merakamkan sebarang gambar dalam laluan awal itu sehinggalah bila sudah melepasi dua buah jambatan baru yang dibina oleh tentera dan sehinggalah kami tiba ke laluan seperti dalam gambar di bawah, maka baru lah kami ingat untuk mengeluarkan kamera masing-masing.

Bayangkan.....saya sendiri bukanlah kali pertama bersama dalam suasana seumpama ini. Namun, jujur saya katakan ; tidak kan sama perasaan kita membantu mangsa bencana di luar negara berbanding di dalam negara sendiri! Kesedihannya juga tidak sama, kerana para mangsa merupakan warga kita dan bencana ini berlaku di hadapan mata dalam negara kita!




Kami terpaksa menggunakan laluan ini setelah laluan asal serta short cut terpaksa ditutup oleh pihak keselamatan kerana berlaku pergerakan tanah! Laluan ini agak meletihkan. Bukit! Mujur ketika pulang ke Sabah, latih tubi stamina dalam seni pertahanan diri membantu saya. He he...semua depa - teman-teman yang ada ni akhirnya tinggal kat belakang... ;)






Ikat tali kasut tu! Bukit nak naik tinggi lagi.



Kelihatan beberapa anggota tentera mengambil tugas memastikan laluan yang mereka bina bagi memudahkan para penghuni keluar masuk ke tempat penginapan terus berada dalam keadaan selamat dan stabil. Beberapa buah kereta termasuk trak tentera sedang menunggu turn untu lalu ke atas.




Dari jauh, YB. Dr. Lo' Lo' Hj. Dato' Ghazali melambai tangan kepada kami. Cergas. Senantiasa tersenyum walau saya tahu YB juga letih. Besar peranannya di situ. Semua disantuni dan ditanya apa pertolongan yang boleh diberikan... Anggota keselamatan juga seolah menjadikan beliau tempat rujukan kepada perkara-perkara yang perlu. Gambar ini menunjukkan beliau sedang menjawab interview pihak wartawan yang barangkali mahu tahu perkembangan terbaru.

Beliau sampai satu jam lebih awal daripada kami!



Kami siap menunggu taklimat dan arahan beliau.





Ada beberapa jenis bantuan yang pihak kami buat di check point ini, iaitu laluan pertengahan para mangsa yang menghuni petempatan di beberapa taman di bahagian atas, yang juga merupakan kumpulan lebih kurang 3000 orang penghuni yang sudah dinasihati untuk keluar meninggalkan rumah masing-masing.

Check point ini juga merupakan laluan yang akan menghubungkan mereka dengan dunia luar selepas jalan konkrit asal musnah dan terbongkar dalam kejadian pagi 6 Disember 2008 itu. Justeru, laluan dan lokasi yang dipilih oleh YB. Dr. Lo' Lo' ini saya kira cukup relevan. Di sini kita akan melihat pelbagai suasana rasa para penghuni taman-taman di Bukit Antarabangsa...

Antara tugasan kami bersama YB ialah ;


  1. Membantu urusan kelancaran lalu lintas. (AlhamduliLlah, ianya lancar kerana bersama kami sejak awal ialah 3 anggota unit amal dan diketuai sendiri oleh Pengarah UA Wilayah Persekutuan, Sdr. Saifuddin Mohd. Yatim).


  2. Menyelaraskan bantuan makanan dan minuman daripada Ahli Parlimen Ampang dan kemudian mengagihkannya kepada para penghuni yang masih terperangkap di rumah masing-masing (khususnya di taman-taman bahagian atas itu).


  3. Membantu mengangkut orang dan barang menggunakan dua kenderaan Shuttle MP Ampang dan MP Titiwangsa.


  4. Tempat bertanya.


  5. Dan menawarkan segala bantuan dan khidmat yang diperlukan termasuklah "melegakan emosi" para mangsa melalui cara direct counselling dan bermanis muka serta "ringan mulut" untuk menawarkan sebarang bantuan kepada mereka yang lalu lalang dan keluar masuk melalui check point itu.



Sekitar jam 6.00 petang, sebelum berpisah, YB. Dr. Lo' Lo, AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa sempat meninggalkan pesanan kepada saya sebelum balik. Cukup prihatin Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Pusat ini. Setia beliau menggalas komitmen "Kami Prihatin". Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepadanya untuk terus memimpin ummat.





Jom balik! Letih.







Cukup letih tapi masih sempat merakamkan gambar kami yang berlatar belakangkan runtuhan banglo dan gelongsoran tanah di lokasi di mana 14 buah banglo ranap dan terperap di bawah timbunan tanah.





Perjalanan keluar kami dari lokasi bencana untuk pulang bertembung dengan pasukan polis yang juga bersama mereka ialah Ketua Polis Selangor. Saya sempat mengucapkan salam kepadanya dan berterima kasih atas bantuan mereka kepada rakyat.




Laluan ini merupakan bekas laluan konkrit yang menghubungkan taman-taman yang ada di Bukit Antarabangsa. Ia musnah bersama runtuhan dan gelongsoran tanah yang berlaku pada pagi 6 Disember 2008. Juga kelihatan beberapa buah kenderaan dan rumah banglo yang terlibat dengan tragedi runtuhan.


Ini juga merupakan tracking yang digunakan sejak awal bagi membantu membawa keluar mangsa-mangsa yang masih terperangkap di bahagian atas (melibatkan beberapa buah taman lagi). Jalannya cukup licin. Justeru, tali dipasang sepanjang laluan tersebut bagi membantu orang ramai berpaut memandang struktur tanahnya yang licin dan berlumpur. Lebih-lebih lagi bila hari hujan.



Salah sebuah kereta penghuni salah sebuah taman di bahagian atas. Pihak keselamatan telah berjaya mengatur jadual keluar masuk para penghuni selepas berjaya membina dua buah jambatan bagi menghubungkan taman-taman tersebut dengan dunia luar. Semua laluan ini dikawal selia oleh anggota tentera.




Suasana perjalanan balik. Di kiri dan kanan merupakan kanopi pihak keselamatan, perubatan , kebajikan dan juga pihak berkuasa tempatan. Juga menempatkan bekalan-bekalan makanan daripada pelbagai pihak.

Malangnya, kami dapati bekalan ini agak lambat dan kurang sampai ke beberapa pusat petempatan (taman) yang terletak di bahagian atas daripada lokasi runtuhan tanah. Ini merupakan antara hal yang sudah dan akan terus menjadi keprihatinan kami . Bahkan juga sudahpun diperpanjangkan kepada pihak bertanggungjawab. Mudah-mudahan esok akan lebih teratur dan terencana dengan baik.

Saya juga sudah mendapatkan bantuan daripada seorang teman berketurunan Cina iaitu Albert untuk menghangtar bantuan makanan dalam bentuk roti esok pagi kepada mangsa-mangsa yang masih terperangkap di atas. Albert juga sudahpun menyatakan persetujuan. AlhamduliLlah.




Lebih kurang jam 6.30 petang, kami mula keluar dari lokasi bencana. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami untuk menyambung bantuan kemanusiaan kepada para mangsa.

Dan semoga Allah memberi kekuatan kepada mangsa-mangsa bencana untuk meneruskan hidup serta melalui ujian ini dengan redha,sabar dan tabah. Seterusnya, mudah-mudahan juga para anggota keselamatan kita dan pihak kerajaan negeri diberikan hidayah dan kekuatan serta dipermudahkan Allah sepanjang mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka di Bukit Antarabangsa.


Esok,insyaAllah misi ini akan diteruskan kerana kami tahu ramai yang masih memerlukan bantuan dan perhatian dalam segala aspek....


U/p : Gambar beberapa aktiviti di sana akan disiarkan kemudian. Harap maaf.


Thursday, 20 November 2008

Kenyataan Media : Pertandingan Jawatan Kepimpinan Wanita Mesti Berasaskan Meritokrasi Pembelaan Terhadap Wanita


Dewan Muslimat mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di atas pendirian tegas dan keberanian beliau untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia dalam Pemilihan UMNO tahun hadapan.

Pendirian tersebut sesungguhnya menampakkan kebijaksanaan beliau dalam menghormati dan menghargai sokongan daripada peringkat akar umbi wanita itu sendiri.

Antara ciri dan nilai paling mahal yang mesti ada pada diri mana-mana pemimpin politik ialah dia memahami kehendak akar umbi, menghargai kehendak dan harapan itu serta mengambil tindakan bagi memenuhinya.

Pertandingan adakalanya wajar sekiranya wujud dua atau lebih tokoh-tokoh pemimpin yang boleh dipilih oleh para pengikut. Pertandingan juga mesti dilihat sebagai satu usaha murni dan bertanggungjawab bagi mendapatkan seorang individu yang mempunyai kelayakan lebih baik dalam semua sudut berbanding individu yang lain. Pemilihan yang tepat dalam konteks ini adalah berasaskan kepada penilaian meritokrasi seseorang itu, bukan kerana ”favouritisme” atau kroni atau kerana dia mempunyai kekuatan wang atau kedudukan.

Tidak dinafikan kepimpinan wanita pada hari ini memerlukan seorang tokoh yang lebih bersikap terbuka, berjiwa besar dan segar khususnya bagi menangani serta memperjuangkan isu-isu pembelaan ke atas golongan wanita tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

DMPP percaya bahawa 3 perkara itu akan nantinya membantu dan seterusnya membawa satu sinar baru bagi merangka satu Dasar Pembelaan ke atas kehidupan dan masa depan wanita dalam negara ini.

Kejayaan Shahrizat memastikan kewujudan sebuah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dan seterusnya mengenalpasti dan memperbaiki (meminda) beberapa perkara yang pincang dan lompang dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya keadilan terhadap golongan wanita seperti contoh Perkara 8 (2) tidak dapat kita nafikan dan ia adalah satu kredit – merit terhadap komitmen dan kesungguhan beliau.

DMPP juga percaya bahawa sudah sampai masanya, gelanggang politik dalam negara yang kita cintai ini dihidangkan dengan gaya kepimpinan dan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin politik yang jauh lebih adil, jujur, berimbang, profesional, bersih dan waras.

Pemimpin-pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti sewajarnya menampil dan menzahirkan semangat serta sifat negarawan dalam tindak tanduk hatta mentaliti diri masing-masing.

Bukannya semangat dan sifat kepimpinan politik liar dan ala machiavelli yang akan melakukan apa sahaja meskipun salah di sudut hukum, adab dan tatacara hidup guna untuk memburuk serta ”membunuh” karier dan perjuangan lawan.

Rakyat hakikatnya mahu negara ini dipimpin oleh mereka yang mampu memimpin,bersih punyai visi dan berkarisma. Seterusnya menolak kepimpinan retorik, angkuh, syok sendiri, terpalit dengan segala skandal dan jenayah apatah lagi wabak rasuah yang telah merosakkan integriti seorang demi seorang kepimpinan negara yang ada.

DMPP juga sekali lagi mengulangi penegasannya ketika menghadiri Taklimat Berkaitan Sekretariat Pembela Wanita Islam (SENADA) pada 14 November 2008 di Putrajaya yang lepas, agar Datuk Seri Shahrizat dapat menggunakan segala kebijaksanaan dan kekuatan yang ada pada diri beliau sebagai pemimpin bagi menjayakan misi pembelaan ke atas wanita Islam khususnya dan seluruh kelompok wanita amnya.

Justeru kerana, hakikatnya ini adalah kehendak dan harapan akar umbi wanita Islam dalam negara ini.

DMPP sejujurnya meletakkan harapan agar beberapa isu kebajikan dan pembelaan ke atas wanita Islam yang telah dibangkitkan ketika pertemuan 14 November itu seperti pembelaan terancang kepada isteri-isteri dan keluarga mangsa ISA termasuklah perbicaraan terbuka dan adil kepada para tahanan; peruntukan yang sama rata kepada Ahli-Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat (PAS,PKR & DAP) bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dan beberapa perkara lagi dapat diberikan perhatian serius dan tindakan adil oleh Datuk Seri Shahrizat .

Adalah tidak salah sekiranya harapan-harapan ini dapat direalisasikan oleh Kerajaan dan ini tentunya akan menzahirkan bahkan membuktikan lagi niat suci dan murni Bakal Ketua Wanita UMNO itu dalam menangani isu-isu berkaitan pembelaan ke atas wanita yang menurut penegasannya sebagai ”beyond political ideology”.

Juga tidak salah sekiranya kepimpinan politik wanita tanpa mengira parti yang memulakan hasrat, harapan dan usaha murni ke arah penerapan serta pelaksanaan keadilan itu.

Akhirnya, DMPP mendoakan agar rakyat dan negara ini terus dalam lindungan, hidayah dan kasih sayang Allah Azza Wajalla.


Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT

t.t

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan

20 November 2008, Kuala Lumpur .