Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Friday, 6 February 2009

Kenyataan Media Berhubung Krisis Politik Di Perak


DMPP sangat memandang serius akan kemelut politik terkini di Perak. Adalah suatu yang sangat malang bilamana pemerintahan sebuah kerajaan negeri ditentukan oleh beberapa orang pengkhianat yang gundah gulana akibat daripada masalah yang mereka sendiri cipta dan undang.

Pengkhianatan yang telah dibuat oleh tiga bekas ADUN Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang - PKR), Mohd Osman Jailu (ADUN Changkat Jering - PKR) dan Hee Yit Foong (ADUN Jelapang - DAP) yang berpaling tadah kepada BN hanya kerana merasakan diri mereka sudah tidak diperlukan oleh parti masing-masing serta tidak pasti akan nasib mereka di dalam PR wajar dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua makhluk yang ada di atas bumi bahkan juga di atas langit!.

Sikap mereka ini jelas amat bertentangan dengan kedudukan mereka sebagai seorang Wakil Rakyat yang seharusnya meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi yang sempit.

DMPP menyedari betapa dua ADUN PKR yang terbabit dalam mewujudkan kekecohan politik ini jelas merupakan liabiliti kepada PR khususnya dan masyarakat pengundi di Perak amnya. Apatah lagi mereka ini terlibat dengan skandal rasuah dan kerosakan moral yang jelas di awal pemerintahan PR di Perak.

DMPP secara tegas menyifatkan bahawa PR dan rakyat hakikatnya tidak rugi sedikitpun dengan ketiadaan mereka di dalam PR. Namun suatu yang amat malang, menjelekkan dan mempamerkan kemuncak kebodohan pemimpin tertinggi BN ialah bila mana individu seperti ini diterima pula masuk ke dalam BN semata-mata bagi membolehkan BN membuat rampasan kuasa tanpa mandat yang sah daripada para pengundi di negeri Perak. Terlebih malang bila mana di belakang semua kejadian ini adalah orang yang disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia yang sudahpun terpalit dengan pelbagai skandal serta masih belum dibersihkan!

DMPP berpendapat betapa konflik terbaru politik Perak ini merupakan satu lagi ulangan sejarah hitam dalam demokrasi negara bilamana sebuah kerajaan sah yang diangkat melalui proses Pilihan Raya Umum Ke-12 akhirnya dijatuhkan secara tidak bermaruah dan ala gengster oleh Regim BN yang konsistan untuk tidak dapat menerima penolakan rakyat serta kekalahan mereka dalam mana-mana Pilihan Raya di negara ini.

Pengalaman sejarah politik tanahair yang lepas telah pernah membawa warga kita menyaksikan jatuhnya beberapa kerajaan negeri yang dipilih secara sah seperti Terengganu [1961], Kelantan [1978] dan Sabah [1994] gara-gara ketamakan kuasa Regim Perikatan yang kini juga dikenali sebagai Regim Barisan Nasional. BN diakui sangat pakar darihal menggunakan strategi suapan kebendaan, pujuk, rayu dan andainya itu semua tidak berjaya maka BN tanpa segan silu akan menggunakan pula strategi ugut dan ancam bagi memastikan survival politik mereka! BN selamanya mendakap falsafah politik Machiaveli – Niat Menghalalkan Cara!

DMPP menginsafi bahawa BN bilamana berjaya mengekalkan kuasanya akan sering berlagak sebagai seorang abang baik yang menasihati adik-adiknya yang kalah bahkan meminta mereka untuk bersatu hati kononnya bagi membangunkan negara juga negeri. Ironinya, watak BN akan drastik berubah bilamana ia tewas. BN akan lupa akan nasihatnya sendiri dan akan berterusan menimbulkan huru hara serta kekacauan sehinggalah mereka menemukan apa yang mereka dambakan sepertimana yang berlaku dalam krisis perlembagaan terkini di Perak. Hakikatnya BN lah pencetus huru hara dan porak peranda dalam politik negara setelah secara rakus selama lebih 50 tahun memporak perandakan ekonomi dan kekayaan negara.

DMPP juga ingin menegaskan bahawa PAS dan PR tidak pernah kemaruk kuasa. PAS selama lebih 50 tahun di persada politik tanahair sangat konsistan untuk memelihara perpaduan bahkan kestabilan negara. PAS khususnya dan PR amnya sudah melalui siri pengalaman kalah dan menang dalam PRU secara matang. Bahkan kita bersedia untuk melepaskan pemerintahan PR di Perak atau di mana-mana sahaja seandainya itu yang diinginkan oleh warga pengundi bagi mana-mana negeri kerana kita berpegang kepada prinsip kebenaran, keadilan dan keikhlasan pemimpin dan rakyat yang dipimpin.

Justeru itu, DMPP menyokong penuh keputusan Menteri Besar Perak, YAB. Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin yang membuat pendirian bagi menasihati Tuanku Sultan agar membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak. Keberanian itu wajar dihormati secara bijaksana oleh semua pihak yang berkuasa dan wajar pula disambut secara ”anak jantan” oleh kepimpinan BN.

Nasihat MB Perak kepada Tuanku Sultan bagi membubarkan DUN Perak adalah wajar bagi membolehkan rakyat diberi ruang dan peluang seadilnya bagi membuktikan pihak mana yang mereka mahu pilih untuk memimpin kerajaan negeri. Rakyat bagi Negeri Perak tidak sewajarnya dipaksa menerima sebuah kerajaan baru yang dibentuk dengan membelakangi prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

DMPP sangat menyedari betapa telah berlaku satu ”rampasan kuasa” di negeri Perak dan mahu agar semua institusi perundangan serta keadilan dalam negara ini mengambil pendirian yang jelas berpaksikan kepada prinsip berani kerana benar.

Sikap beberapa pihak berkuasa yang seolah membutakan mata terhadap realiti sebenar permasalahan yang timbul di Perak sangat dipersoalkan. Tindakan SPR yang ternyata mendahului dan mengambil tugas mahkamah ternyata menjadi punca utama kepada kemelut yang diciptakan atas kepentingan pihak tertentu dan para pedagang yang bersuakakan kuasa.

Amat malang bagi pihak-pihak tertentu yang selama ini bercakap soal moral, penghormatan terhadap mandat rakyat, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang serta pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan judiciary tetapi kemudian akhirnya tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah membelakangi semua prinsip tersebut ketika mana membuat satu-satu keputusan yang sangat penting.

Sesungguhnya, perkembangan terbaru ini dipercayai akan menambah kemusnahan ke atas kepercayaan umum terhadap integriti semua pihak dan institusi yang terlibat dalam insiden ”rampasan kuasa” yang hakikatnya bukan menjadi budaya rakyat negara kita. Ketika ini kita seolah-olah disogokkan oleh BN dan konco-konconya dengan satu ajaran sesat dan budaya politik liar dalam subjek politik tanah air iaitu ”rampasan kuasa” dan tentunya ia bakal memberi implikasi yang sangat buruk juga ”signal” serta ”didikan yang sangat tidak baik kepada rakyat khususnya generasi muda.

Nah, kalau insiden yang sama berlaku sekurang-kurangnya 15 tahun yang lepas iaitu di Sabah barangkali agak jauh untuk difahami dan diingati oleh kita khususnya generasi muda, maka apa yang dilakukan sekali lagi oleh BN pada hari ini percayalah akan menjadi panduan yang sangat berharga dan bukti sejarah paling terkini untuk rakyat seutuhnya mengusung janji bagi mentalkinkan UMNO-BN secara tuntas dalam ammarah, kemaraan serta kebangkitan kuasa rakyat yang lebih besar pada PRU-13 yang akan datang!

DMPP juga menyelar tindakan media elektronik dan cetak yang berterusan tanpa insaf membuat laporan serta ulasan yang songsang serta berat sebelah terhadap apa yang sebenarnya berlaku di Perak. Untuk kesekian kalinya, media terus mengamalkan budaya berita dan lapor yang sangat tidak profesional bahkan gagal membentuk bahkan merosakkan budaya pemikiran intelek masyarakat Malaysia. Pengiktirafan media elektronik dan cetak yang melaporkan bahawa ADUN Pangkor sebagai Menteri Besar Perak (yang baru) meskipun belum sah mengangkat sumpah bahkan Menteri Besar Perak yang sememangnya telah wujud masih sah kedudukannya dilihat sangat keterlaluan dan tidak beretika.

DMPP juga mencabar Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien Onn yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang wewenangan merumuskan kepada media sepertimana yang tersiar dalam Utusan Malaysia bertarikh 6 Februari bahawa kononnya rakyat sudah semakin sedar dan menolak PR, agar berani berhadapan dalam Pilihan Raya Kecil DUN Perak sepertimana yang diminta oleh MB Perak, Datuk Seri Ir Mohd. Nizar yang juga merupakan harapan majoriti rakyat di Perak khususnya dan Malaysia amnya. Mari kita sama-sama menjunjung ungkapan keramat : “Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah!”

DMPP sangat berdukacita terhadap segala kecelaruan yang berlaku dan mendesak agar demokrasi di negeri Perak dipulihkan segera dengan memberi laluan kepada Pilihan Raya bagi keseluruhan kerusi DUN Perak.

Bukan menjadi budaya dan sikap kita PAS untuk menafikan institusi Raja. Justeru DMPP menjunjung kasih ke bawah Duli As Sultan Perak sebagai idola rakyat yang mendambakan keadilan dan sebagai ikon kita rakyat Malaysia; DMPP merafak sembah, merendah hina agar institusi mulia ini meneliti kembali realiti sebenar kemahuan rakyat di bawah. DMPP menegaskan bahawa semua itu akan nantinya terjawab secara jujur menerusi pemilihan di peti undi.

Akhirnya, DMPP menyeru seluruh rakyat jelata agar tidak terjebak dengan emosi perkauman sempit dan melulu dalam menghadapi krisis ini. Kita akan hadapinya dengan penuh kewarasan dan sungguhlah benar Jihad Yang paling Besar Adalah Berkata Benar Di Hadapan Pemimpin Yang Dzalim. Kembalikan Kuasa Rakyat! Allahu Akbar!



Hormat Daripada,
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT



AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan

6 Februari 2009, Perlis .

Wednesday, 21 January 2009

Lensa Kita Bersaudara

Gimik Pelancaran Kempen Kita Bersaudara Di Sambutan Tahun Baharu
“Hijrah Dirai, Masehi Dinanti – Kita Bersaudara” Di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan Pada 31 Disember 2008 Disempurnakan Oleh YAB. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Percikan Bunga Api Menjelang 1 Januari 2009
Juga Sebagai Mengiringi Pelancaran Kempen Kita Bersaudara


Kunjung Hormat Sekretariat Kita Bersaudara
Ke Pejabat YAB. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sebelum Meneruskan Program Rahsia 3C - Kita Bersaudara

Aiman Athirah Selaku Ketua Penerangan & Pengarah Bersama Kempen Kita Bersaudara Sedang Memberikan Briefing Kepada YAB. Tuan Guru Berhubung Kempen Kita Bersaudara. Seterusnya Mendapatkan Nasihat, Pandangan & Tunjuk Ajar Daripada Tok Guru. Turut kelihatan ialah YB. Dr. Siti Mariah Mahmud, AJK PAS Pusat.


Tuan Guru Memberikan Nasihat & Harapannya Agar Penggerak PAS Di Semua Peringkat Berusaha Memperbanyak Serta Mempelbagaikan Program Bersama Masyarakat Bagi Menerangkan Mereka Tentang Kecantikan Islam.
Bersama Memanjatkan Do’a Ke Hadrat Allah Agar Diberikan Kekuatan & Pertolongan Daripada SisiNya Dalam Menggerakkan Usaha Penerangan Dan Dakwah Di Kalangan Masyarakat . ( Pimpinan DMPP yang juga hadir dalam sepanjang program di Kelantan ini ialah : YB. Hjh. Siti Zailah Mhd. Yusoff, YB. Dr. Siti Mariah Mahmud, YB. Dr. Halimah Ali Abdullah [Pengarah Bersama], YB. Puan Wan Ubaidah Omar,YB. Senator Mumtazd. Nawi, Puan Hjh. Rosiah Salleh, Puan Hjh. Kintan Man, Sdri. Sti Hajar Mohd. Ghazali serta Ahli Jawatankuasa LPD & LPN DMPP ).

Rombongan Sekretariat Kita Bersaudara Bergambar Kenang-Kenangan Dengan YAB. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz & Isteri.
Sekretariat Sedang Sibuk Memunggahkan Hadiah-Hadiah Yang Akan Diberikan Kepada Para Peserta Untuk Program Rahsia 3C – Kita Bersaudara, KB Mall, Kelantan, 1 Januari 2009 .

Hadiah Dibawa Masuk Ke Dalam KB Mall

Kempen Kita Bersaudara terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia. Selepas dilancarkan oleh YAB. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Sambutan Tahun Baru ”Hijrah Dirai Masehi Dinanti..Kita Bersaudara” pada 31 Disember 2008 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan, Kempen ini meneruskan lagi acara sulungnya bertempat di sebuah pusat beli belah iaitu KB Mall dengan program Rahsia 3C...Kita Bersaudara pada 1 Januari 2009 yang lepas.

Sasaran program Rahsia 3C...Kita Bersaudara ini adalah para pengunjung pusat membeli belah KB Mall khususnya generasi muda dengan menampilkan pendekatan berhibur sambil menguji minda.

Kepetahan gandingan dua pengacara yang juga aktivis PAS iaitu Sdr. Azman Mat Daham dan Sdri. Huda telah berjaya menarik perhatian para pengunjung yang turut disajikan dengan pelbagai acara termasuklah soalan-soalan yang menguji pengetahuan am serta mengasah IQ serta EQ para peserta.


Rahsia 3C- Kita Bersaudara

Tarik Perhatian Para Pengunjung Pusat Membeli Belah KB Mall



Sejumlah 100 set hadiah telah diberikan kepada para peserta yang mengambil bahagian termasuklah kanak-kanak yang berusia kurang lebih 10 tahun. Majlis juga diserikan lagi dengan kemunculan seorang pengacara TV dan penyanyi remaja iaitu Hafiz Hamidun, bekas anggota sebuah kumpulan nasyid tanah air iaitu UNIC.






Selari dengan situasi semasa yang menuntut kepekaan semua pihak, Sekretariat Kempen Kita Bersaudara juga telah melebarkan solidaritinya dengan menerima pelawaan untuk turut serta dalam beberapa program berkaitan Isu Selamatkan Gaza (Palestin).

Turut Serta Menjayakan Himpunan Aman “Rise For Gaza”,
Di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor Pada 10 Januari 2009





Sedang Memasang Bendera Palestin Bersama Dengan Seorang Pelajar Palestin Yang Menuntut Di Malaysia.


Ini termasuklah program Himpunan Aman ”Rise Fo Gaza” yang dianjurkan oleh sebuah badan NGO, Aman Palestine pada 10 Januari 2009 bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor. Jualan amal bahan-bahan Kempen Kita Bersaudara juga telah dibuat dan hasilnya sedang dikumpulkan untuk membantu Misi Kemanusiaan Palestin.




Dua Orang Petugas Sedang Sibuk Membuat Jualan Amal Bahan-Bahan Kempen Kita Bersaudara Bersempena Himpunan Aman “Rise For Gaza”, Di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor Pada 10 Januari 2009. Hasil Jualan Disumbangkan Untuk Tabung Kemanusiaan Palestin.


Solidariti Save Gaza, Tzippi Livni & Isreal – GO TO HELL!!!



Kempen Kita Bersaudara juga telah mengiringi penghantaran Memorandum Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kepada PM pada 5 Januari 2009 yang menuntut agar satu sidang tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan isu keganasan Israel di Gaza, Palestin. Sambutan baik juga jelas diberikan oleh semua ahli YB. kepada kemunculan Kempen Kita Bersaudara ini.




Mood Kita Bersaudara juga telah mengiringi gerakerja bagi membantu memenangkan calon PAS (Pakatan) dalam PRK P.036 Kuala Terengganu. Sekretariat Kempen Kita Bersaudara telah membekalkan lebih 500 set bahan-bahan Kempen Kita Bersaudara untuk digunakan serta dipakai oleh para Pimpinan dan petugas khususnya DAP dan keADILan.

Turut tidak ketinggalan ialah Kelab Penyokong PAS yang juga hadir dengan semangat ”Nam Sagodarghel” (WE ARE BROTHERS) dan ”Makkal Sakthinya” (PEOPLE’S POWER) turut membantu merayu undi khususnya pada hari pembuangan undi, 17 Januari 2009.


Tuesday, 6 January 2009

Jom! Sertai Kami Dalam Wakaf Telekung, Al Qur'an & Sajadah. WE ARE BROTHERS!


Salamun 'alaik.
Para pembaca adalah dipelawa untuk bersama kami menjayakan Program Wakaf Telekung, Al Qur'an & Sajadah bersempena Kempen Kita Bersaudara anjuran bersama Lajnah Penerangan & Dakwah Dan Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Muslimat PAS Pusat yang berlangsung dari 31 Disember 2008 sehingga 30 Mei 2009.

Setiap Kupon Wakaf adalah bernilai RM 50.00 (Lima Puluh Ringgit Malaysia Sahaja) untuk kegunaan pembelian Set Wakaf [Telekung, Al Qur'an & Sajadah (Termasuk Packing) ].

Wakaf Tuan/ Puan/ Sdr/ Sdri ini akan disampaikan kepada penduduk miskin dan saudara-saudara kita (saudara baru) di seluruh negara termasuk di Sabah & Sarawak melalui Program Outreach XPDC Dakwah yang juga diadakan bersempena Kempen Kita Bersaudara.
"We Are Brothers"
ISLAM:
Kontemporari & Praktikal

Maklumat Lanjut, Sila Hubungi :

016-926 4830/ 016-916 3683/ 016-915 2172


Monday, 5 January 2009

Tzipi Livni Israel.. jelmaan Golda Meir kedua?


Ali Bukhari Amir Fri Jan 02, 09 10:35:24 pm MYT (artikel daripada harakahdaily.net)

Dalam satu ucapannya, pemimpin Parti Kadima dan Menteri Luar Negeri Israel Tzipi Livni telah menunjukkan pendiriannya berhubung kegiatan keganasan pihak Hamas.

"Sesiapa saja yang memberi sokongan atau perlindungan kepada Hamas, sekarang harus membayar harganya," kata beliau.

Tzipi Livni kerap dilihat sebagai bayangan Golda Meir (1898-1978), Perdana Menteri Israel, seorang wanita besi yang bertanggungjawab dalam beberapa siri pembunuhan golonan elit Arab sekitar 1970-an.

Mereka yang menonton filem Munich (2006) pasti dapat melihat watak Golda Meir, PM Israel Ke-4 (1969-1974) ini, yang bermodalkan hati keringnya, mengarahkan seorang ahli Mossad untuk membunuh ahli-ahli September Hitam, anggota PFLP yang terlibat dengan pembunuhan ahli sukan Israel di Munich ketika Olimpik berlangsung pada 1972.

Ketegasan Golda Meir itu membuahkan hasil. BBC menggelarnya sebagai 'Wanita Besi', satu jolokan dalam politik Israel sebelum istilah itu ternobat buat Margaret Thatcher. Dan hal ini menyebabkan beliau dilihat sebagai tokoh wanita termasyhur di Israel.

Barangkali, Tzipi Livni lebih dahsyat! Sesiapa pun mungkin tidak menjangkakan bahawa di sebalik raut wajahnya yang termasuk dalam wanita yang ada rupa paras bergaya, sosok itu ternyata memiliki jalur keturunan yang gelap dalam pengusiran warga Palestin.

Empat tahun bergelumang dengan Mossad dan jawatan yang didudukinya itu pernah juga dijawat oleh Ariel Sharon, maka Livni tidak boleh menolak lagi bahawa hubungan beliau dengan Mossad amat erat.

Sesiapa yang ingin mengetahui betapa bahaya serta biadapnya Mossad, silakan menonton filem You Don't Mess With The Zohan, lakonan Adam Sandler yang memberikan wajah gelap dan dampak buruk ke atas Arab dan Palestin.

Kalaulah BBC menggelar Golda Meir sebagai 'wanita besi', maka Forbes menempatkan Livni di tempat ke-52, wanita 'paling berkuasa' di seluruh dunia. Maka, kenyataan Livni dalam ucapannya kini amat bercanggah dengan apa yang dibuatnya sebelum ini.

Dolak-dalik Livni kian ketara?Selama ini dunia mengenalnya sebagai tokoh yang berperanan dalam berbagai rundingan perdamaian antara Israel dan Palestin walaupun rundingan itu tidak ke mana-mana. Livni tergolong dalam watak yang menyetujui usul penarikan Israel dari wilayah Tebing Barat, sebelum ini. Sekarang, bunga-bunga sengketa mula berkembang.

Adakah wanita ini akan mula beraksi bagaikan Golda Meir?

Dolak-dalik perkataannya sukar diintai kebenarannya. Dalam forum ekonomi dunia di Davos, Israel dan Palestin sama-sama berjanji mahu berdamai.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas pun ketika itu mendengar pidato Menteri Luar Negeri Israel Tzipi Livni lalu berjabat tangan dengannya ekoran ucapan perdamaian itu. Dalam pidato kedua-duanya, ada suara sepakat untuk tidak berkompromi dengan para pengganas dan walau sulit bagaimana sekali pun, proses damai itu, pasti tercapai juga akhirnya.

Demikian antara isi dan ikatan perjanjian lidah antara mereka. Di mana-mana pun, serata dunia mengutuk pencabulan perjanjian itu. Di kebanyakan negara, bantahan pun merebak bagaikan barah yang tak terbendung.

Menurut laporan akhbar, dalam tempoh enam hari, serangan Israel itu telah masuk hari ke enam dan tragedi berdarah itu telah mengorbankan 410 penduduk awam Palestin dan mengakibatkan 1,900 yang lain cedera.

Apakah alasan Tzipi Livni ke atas keganasan Hamas ini boleh diterima?

"Kami kutuk alasan Israel bagi menghalalkan serangan. Serangan atas alasan membunuh aktivis Hamas adalah alasan yang tak masuk akal memandangkan serangan itu dilakukan secara terang-terangan ke atas kawasan Bandar, perumahan para penduduk awam," kata Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Peranan OIC dan pertubuhan IslamDalam tempoh genting, pertubuhan pelajar itu turut menggesa badan-badan antarabangsa bersikap tegas dalam usaha mendesak regim zionis menghentikan serangan.

"Atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan Islam, sudah tiba masanya PBB, OIC, dan EU bersuara lantang dan mengenakan sekatan politik dan ekonomi terhadap Israel.

"Serangan Israel ini adalah bibit permulaan kepada peperangan besar-besaran dan kita tak menolak kemungkinan siri peperangan antara Arab, Israel sekitar 1973 meletus kembali," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM turut menyelar kedegilan Mesir pimpinan Hosni Mubarak yang membuka sempadan Gaza melalui pintu lintasan Rafah.

"Keengganan beliau telah membantu kepungan wilayah Gaza oleh Israel memandangkan penduduk awam Gaza tak dapat melarikan diri ke sempadan Mesir untuk mencari tempat perlindungan," ujarnya.

Petunjuk awal daripada baginda Rasulullah s.a.w memberi gambaran isyarat terhadap kita bahawa akan tiba masanya nanti, Muslimin seluruh dunia akan mengepung wilayah Israel sehinggakan, yang menyelamatkan mereka hanyalah pohonan Gharqad.

Ternyata.. semangat kebangsaan Arab belum dapat mengeluarkan rakyat di bumi Palestin daripada jalur-jalur penjajahan Israel.

Hanya fahaman kemanusiaan yang luhur dan kaum Islam yang bebas dari batasan, jalur kebangsaan saja yang mungkin boleh bertindak!

10:26 p.m, 2 Januari
Sekolah Pemikiran Pendang

Thursday, 25 December 2008

Harga Minyak Cecah Paras Terendah Baru


NEW YORK 25 Dis. - Harga minyak mentah dunia telah jatuh ke paras terendah baru sejak empat tahun dalam dagangan tidak menentu menjelang Krismas berikutan ekonomi dunia yang suram, kata para penganalisis.

Minyak berkualiti tinggi bagi penghantaran Februari jatuh AS$3.63 (RM12.63) untuk ditutup pada paras AS$35.35 (RM123. 01) setong di New York Mercantile Exchange, kejatuhan harga buat kali kesembilan berturut-turut.

Di London, harga minyak mentah Brent North Sea untuk penghantaran Februari jatuh AS$3.75 (RM13.05) ditutup pada paras AS$36.61 (RM127.40) setong, paras terendah sejak Julai 2004.

Penganalisis berkata, kejatuhan tersebut dipacu oleh kebimbangan kemelesetan global yang menjejaskan permintaan tenaga.

''Data ekonomi kekal lemah,'' John Kilduff dari MF Global. Laporan terbaru daripada Amerika Syarikat (AS) mengesahkan keadaan itu.

Dalam penurunanya yang pertama kali dalam tempoh empat bulan, pendapatan persendirian menguncup 0.2 peratus pada bulan November , sekali gus mengejutkan penganalisis yang menjangkakan tiada perubahan berlaku.

Perbelanjaan penggunaan menyusut 0.6 peratus sebulan sebelum Krismas, kejatuhan kali kelima berturut-turut, menurut Jabatan Perdagangan negara itu.

Jabatan Buruh berkata dalam laporan berbeza, pengangguran mingguan AS, meningkat sebanyak 30,000 beberapa minggu lalu kepada 586,000 menunjukkan kelemahan dalam status pekerjaan AS.

Jumlah tersebut adalah lebih tinggi daripada jangkaan sebanyak 558,000 oleh pakar ekonomi swasta kerana jumlah pengangguran merupakan penanda aras terbaik bagi hala tuju ekonomi.

Kilduff berkata, harga pasaran minyak terus jatuh dalam aktiviti ekonomi.

''Pasaran tenaga dilihat tidak memberi kesan terhadap usaha rangsangan dalam pasaran lain dan kemuraman harga tidak mencerminkan realiti harga keluaran.

''Jelas sekali kita belum mencecah paras terakhir,'' katanya.

Penurunan minyak mentah sehingga 3.1 juta tong dalam inventori AS kebiasaannya akan meningkatkan harga.

Minyak mentah New York bagi hantaran Januari jatuh ke paras AS$32.40 (RM112. 75) pada Jumaat lalu iaitu paras terendah sejak 9 Februari 2004 apabila pelabur berebut menjual pelaburan sebelum kontrak tamat tempoh.

Penganalisis berkata, data terbaru AS menunjukkan ekonomi terbesar dunia itu kekal dalam kemelut kemelesetan dan akan terus memberi tekanan kepada harga minyak mentah dunia dalam masa terdekat.

Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang mengeluarkan 40 peratus jumlah keseluruhan minyak mentah dunia, telah bersetuju mengurangkan pengeluaran sebanyak 2.2 juta tong sehari untuk meningkatkan harga pasaran.

Tetapi harga terus jatuh, harga minyak mentah telah merudum sehingga 78 peratus sejak mencecah rekod tertinggi melebihi AS$147 (RM511.26) setong Julai lalu, berikutan krisis ekonomi telah mengurangkan permintaan tenaga.

- AFP

Wednesday, 24 December 2008

Kempen Kita Bersaudara

Majlis Pelancaran
Kempen Kita Bersaudara
3 Muharram 1430 H/ 31 Disember 2008 (Rabu), 9.00 Malam
Stadium Muhamed IV, Kota Bharu, Kelantan.
Oleh :
YAB. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
"ISLAM: Kontemporari & Praktikal"

Majlis Pelancaran Himpunan Aman Rakyat MANSUH ISA, 29 Disember 2008