Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday 21 July 2009

Temu Bual Bersama Wartawan Buletin Rakyat


BR: Apa pendapat saudari tentang kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau. Adakah rakyat menilai kepada ketokohan calon atau sememangnya menolak Barisan Nasional (BN)?

AAA: Pertama, saya nak sebut sememangnya kedua-dua calon Pakatan Rakyat baik dari PAS mahupun keADILan (PKR) merupakan generasi transformasi iaitu generasi muda mewakili parti masing-masing. Bukan setakat itu, kedua-duanya juga mewakili kelompok professional-teknokrat yang memahami kemelut dan getir politik Malaysia, bahkan ancamannya kepada masyarakat pada masa akan datang seandainya kita (yakni rakyat) tidak berani serta upaya memperjuangkan suara dan juga hak-haknya.

Kedua, kedua-dua calon PR ini telahpun dianggap sebagai simbol keberanian dan hero rakyat (kebaikan menentang kejahatan) memandangkan kedua-duanya bertanding di konstituensi yang mana demokrasi itu dipercayai sudahpun “dibunuh secara kejam” oleh kelompok tertentu yang secara kolektifnya melibatkan 3 peringkat utama pemerintahan sesebuah negara iaitu kalangan Legislatif, Eksekutif dan Judiciary itu sendiri.


Inilah padahnya jika rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemerintahan, sistem dan dasar-dasar yang ada. Sejarah politik dunia telahpun membuktikan betapa kebangkitan rakyat yang muncul daripada ketidakpuasan hati dan kehilangan kepercayaan terhadap pemerintah lazimnya utuh,ampuh,segar dan sukar untuk dibendung. Loceng amaran awal sudahpun dibunyikan rakyat ketika gelombang kuning – BERSIH mewarnai wajah ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur. Kelompok “Konglomerat Kuasa” kena sedar dan akur dengan hakikat ini.

Di Bukit Gantang misalnya, rakyat melihat suatu jenayah besar iaitu rampasan kuasa yang terangan-terangan mencabuli keluhuran Perlembagaan Negara dan mengenepikan “mandat politik sebenar” rakyat kepada Pakatan Rakyat di Perak. Manakala di Bukit Selambau pula umum tahu betapa berlakunya jenayah politik ancam dan ugut – gengsterisme politik yang seolah-olah mendapat lindungan pihak-pihak tertentu sehinggakan bersiri laporan polis dan akuan bersumpah oleh bekas Exco Kedah yang juga bekas ADUN Bukit Selambau itu pun masih belum upaya membantu pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan yang pro-aktif serta efektif ke atas mereka yang terlibat. Lebih malang bila ia dijadikan hanya ibarat angin lalu oleh kebanyakan pihak yang bersemayam di tampuk kuasa!

Obviously, rakyat sedar dan mahu menjatuhkan “hukuman melalui peti undi” memandangkan penguasa dzalim sudah tidak menunai tanggungjawab mereka secara adil dan berintegriti. Bahkan apa yang berlaku di kedua-dua tempat itu sebenarnya “mengusik ammarah dan kesabaran rakyat” yang suatu masa dahulu pernah diancam dengan ungkapan “Pantang Dicabar” oleh bekas orang nombor satu Negara.

Nah, bertitik tolak daripada situ juga rakyat secara kolektif bangkit menzahirkan “kepantangan dicabar rakyat” terhadap cabaran pemerintah yang selama lebih 50 tahun melakukan pelbagai tindakan dan keputusan yang membelakangi kepentingan serta kesejahteraan hidup rakyat. Memang sah, RAKYAT MENOLAK REGIM BARISAN NASIONAL.

BR: Perdana Menteri baru, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sudah mengemukakan antara gagasan pentadbirannya iaitu; Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan. Adakah gagasan tersebut mampu menyakinkan rakyat agar menyokong BN?

AAA: Sejujurnya, gagasan itu sememangnya sangat bagus. Persoalannya adakah pemimpin-pemimpin UMNO/BN ini sudah terlalu lemah, lalai dan lembab sehinggakan gagasan yang sewajarnya mewarnai perjalanan politik Malaysia dalam fasa 50 tahun pertama itu hanya mampu diutarakan pada masa kini?

Ketinggalan kah mereka untuk memahami keperluannya? Di satu sudut di dalam diri saya sebagai generasi muda negara , sedikit ada rasa gembira dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya DS Najib sedar akan keperluan ini. Yeah, better late than never. Barangkali ramai juga seperti saya memujuk rasa dengan ungkapan pasrah itu.

Walau bagaimanapun, saya juga percaya betapa gagasan itu nantinya akan hanya menjadi satu gagasan slogan yang hambar dan hampas. Saya katakan begitu antaranya kerana UMNO/ BN merupakan “Konglomerat Kuasa” yang terkenal dengan pelbagai slogan kosong, slogan yang membawa maksud di sebaliknya dan tidak punya keberanian untuk benar-benar menjadi khadam rakyat sepertimana qudwah dalam seerah (sejarah) para Nabi dan Rasul serta para sahabat; yang memimpin Negara dan ummah dengan sifat amanah, qana’ah dan taqwa.

Saya melihat DS Najib sendiri belum punya keberanian untuk mengemukakan kepada rakyat suatu contoh pemerintahan yang mahu diikutinya sepertimana keberanian yang ada pada saudara kita, Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Saudara Lim Guan Eng yang konsistan dan meyakinkan bahawa beliau mahu menjadikan diri dan pemerintahannya seperti Khalifah Umar Abdul Aziz! Nah, di situ sahaja kesungguhan mereka tewas.

Bagaimana mungkin rakyat boleh dimomokkan dengan gagasan ”Satu Malaysia” yang diutarakan oleh pemimpin sebuah parti (UMNO) dan juga komponen parti (BN) yang sudah sebati dan jati dengan semangat perkauman sempit masing-masing? Dan dalam beberapa insiden kebelakangan ini, merekalah juara yang membangkitkan perasaan tidak selesa pelbagai kaum!

Bagaimana mungkin rakyat boleh digula-gulakan dengan gagasan ”Rakyat Didahulukan” sedangkan tidak ada satu rombakan dasar yang penting yang benar-benar membuktikan bahawa Rakyat telah, sedang dan akan terus didahulukan? Sekadar membuat pengumuman membebaskan 13 orang tahanan ISA dan menarik balik penggantungan Harakah dan Suara keADILan misalnya apakah itu yang dimaksudkan dengan rakyat didahulukan?

Kenapa tidak berani umum sesuatu yang lebih besar dan meyakinkan rakyat bahawa sejujurnya Kerajaan DS Najib mendahulukan rakyat? Kenapa tidak kembalikan dasar pemberian biasiswa kepada para pelajar dan mahasiswa, hapuskan PPSMI, hentikan cadangan penswastaan terhadap perkhidmatan perubatan dan kesihatan, hapuskan terus Akta-Akta Rimba dan Drakonian. Mansuhkan ISA dan bebaskan para tahanan atau hadapkan mereka ke mahkamah terbuka untuk diadili dan seumpamanya? Kenapa tidak buat?

Beberapa hal yang saya sebutkan tadi itu sudah ada pandangan umum rakyat dan tidak memerlukan kepada penubuhan sebuah Suruhanjaya atau seumpamanya. Hanya menantikan keberanian seorang Perdana Menteri untuk kepentingan rakyat yang mahu didahulukannya!

Rakyat insyaAllah tidak mudah lupa jika sekiranya pun Melayu UMNO, Cina MCA dan India MIC itu mudah lupa!

Dalam hal yang berkaitan ”Prestasi Diutamakan” itu...rakyat akan beri peluang, dan bukan sahaja DS Najib akan menilai setiap tempoh 6 bulan prestasi setiap anggota Kabinet Malaysia dan kementerian yang ada tetapi rakyat akan sepanjang masa menilai prestasi mereka, bahkan juga menilai prestasi PM iaitu DS Najib itu sendiri!

Saya masih ingat darihal penilaian prestasi ini, Tun Abdullah pun ketika menjadi PM telah melaksanakannya. Satu buku pencapaian Kabinet Malaysia pada zamannya pernah dilancarkan kepada umum menjelang PRU-12 yang lepas. Jadi saya percaya ia bukan benda baharu.

DS Najib boleh menilai tetapi yang paling tepat penilai dan penilaiannya adalah rakyat yang merupakan ”pelanggan” kepada segala perkhidmatan yang akan diberikan oleh anggota kabinet dan kementerian mereka masing-masing.

BR: Majoriti rakyat di negara ini mahukan sebuah kerajaan yang adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama juga parti. Adakah kerana kegagalan melaksanakan apa yang dimahukan oleh majoriti rakyat membuatkan parti UMNO atau BN ditolak dalam pilihan raya?

AAA: Hampir 19 tahun saya mengamati perjalanan politik Malaysia secara konsistan, dari Sabah sampailah ke ”Tanah Besar Malaya” ini. Saya yakin dan percaya rakyat umumnya sudah terlalu amat bosan dengan budaya politik UMNO/ BN yang bersifat unprofessional, angkuh dan sombong, pilih buluh, berorientasikan kuasa, elitisme, kronisme, nepotisme, pecah dan perintah, sarat dengan rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa, politik ugut dan ancam, membelakangi rakyat, membonsaikan semangat dan daya fikir generasi muda, tahan ikut suka dan tahan tanpa bicara, penderaan rakyat dan pelbagai corak, cara dan gaya pemerintahan kuku besi mengikut acuan UMNO/ BN.

Bagi saya, 50 tahun lebih pemerintahan UMNO/ BN merupakan suatu tempoh yang terlalu panjang bahkan lebih daripada cukup untuk rakyat memberi peluang kepada UMNO/BN bagi membuktikan kemampuan, kesungguhan serta dedikasih mereka dalam memacu pembangunan negara agar berimbang daripada semua sudut dan bidang.

Malangnya, sepanjang tempoh tersebut jugalah UMNO/ BN berterusan tidak sedar diri bahkan menyalahgunakan mandat politik yang telah diberikan oleh rakyat di seluruh negara.

Sehingga ke hari ini, ahli-ahli UMNO/BN diberi layanan baik dalam semua segi seperti bantuan buku-buku teks kepada para pelajar misalnya. Bantuan pelbagai bentuk pinjaman juga mudah hanya kepada ahli-ahli UMNO dan BN. Kakitangan kerajaan diugut dan disekat dengan Aku-Janji. Media arus perdana dikuasai. Lebih-lebih lagi pada masa Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil. Media sama ada cetak ataupun elektronik membuat liputan secara berat sebelah, bahkan cenderung membuat laporan yang tidak tepat hatta menimbulkan kebencian rakyat terhadap UMNO/BN dan semua rakan persengkongkolan mereka.

Hakikatnya tindak tanduk UMNO/BN dari semasa ke semasa menimbulkan kebencian rakyat. Setiap ”tindakan jahat” UMNO/BN ibarat menjirus air dan menghidupsuburkan kebencian dan rasa muak rakyat terhadap mereka.

Saudari, rakyat mendambakan pemerintahan yang bersih, adil, amanah dan fatanah. Meletakkan kepentingan rakyat mendahului kepentingan peribadi. Rakyat mahukan ”good governance”. Pemimpin negara yang hidup sederhana bukannya mengumpul kekayaan negara untuk dia dan kaum kerabatnya hidup mewah dan bergaya.

Rakyat mahukan pemerintah yang bersedia mendengar luahan hati dan rintihan rasa susah mereka. Rakyat mahukan pemerintah yang mampu mengurustadbir kekayaan negara dan mengagihkannya secara saksama kepada semua.

Rakyat mahu hidup dalam keadaan serta rasa selamat bukannya ketakutan akibat masalah jenayah yang semakin parah dan bertambah. Rakyat mahu hidup Selamat, Aman & Makmur yang sebenarnya bukannya hanya dengan Slogan & Manifesto BN yang lazimnya tidak menggambarkan apa yang sebenarnya. Rakyat ternanti-nanti sebuah kerajaan yang menjadi pembela hidup rakyat bukannya yang menjadi perampas tanah dan rumah mereka.

BR: Apa agaknya yang dimahukan oleh pengundi golongan muda terutamanya?

AAA: Ini soalan yang sangat bagus dan kegemaran saya. Siapa pun yang menjadi pemimpin atau pemerintah harus bermuhasabah dan mencari jawapan kepada persoalan ini. Seperkara yang pemimpin negara serta pemimpin mana-mana parti politik yang ada pada hari ini mesti sedar dan akur betapa generasi muda kini adalah generasi yang rata-ratanya berpendidikan tinggi, jika tidak pun terdedah kepada ilmu dan kemajuan melalui kaedah teknologi ICT.

Generasi transformasi yang sangat responsif terhadap persekitaran mereka. Generasi langit terbuka dan dunia tanpa sempadan. Generasi yang senantiasa siap untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat di hujung jari mereka. Generasi profesional, intelektual dan teknokrat yang berfikiran ligat ke hadapan. Generasi yang mahu melihat ”hasil dan kesan” bukannya sekadar mendengar cakap-cakap kosong, semangat berdegar-degar atau pun arahan-arahan yang mudah dipersoalkan.

Generasi yang ”wise, wisdom and freedom”, bukannya kelompok yang boleh dikawal dan dipaksa agar ”angguk-angguk,geleng-geleng, tunduk-tunduk, ikut telunjuk”! Kelompok dan suasana itu sudah berlalu. Ini mana-mana pemimpin ataupun individu yang mahu menjadi pemimpin kena sedar,insaf dan akur.

Mereka ini lah kebanyakannya yang akan menguasai daftar pemilih dan seterusnya menjadi faktor penentu kepada pembentukan kerajaan pada masa hadapan.

Apa yang mereka mahu? Mereka mahu diberi layanan, perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya oleh kerajaan, sebagai generasi muda negara yang bakal meneruskan perjuangan pembangunan negara ini.

Mereka mahu suara dan idea mereka dihargai dan diberi ruang. Mereka juga seperti rakyat yang lain yang mendambakan sebuah ”good governance” yang dapat diberikan kepercayaan untuk menentukan masa depan generasi akan datang, bukannya sebuah pemerintahan yang hanya mampu untuk meninggalkan hutang berbilion-bilion kepada rakyat dan para pewaris negara.

Mereka mahu sebuah pemerintahan yang dapat memastikan peluang pekerjaan yang baik dan terjamin buat mereka membina kehidupan, bukannya sebuah kerajaan yang hanya bisa memberi pinjaman bahkan menjadikan mereka berhutang keliling pinggang meskipun masih menuntut di menara gading!

Mereka mahu kerajaan yang bertanggungjawab yang memastikan keselamatan diri dan keluarga mereka terjamin, bukannya sebuah kerajaan yang lemah yang hanya mampu membentangkan kepada kita peningkatan statistik jenayah dari semasa ke semasa. Pendek kata mereka mahu masa depan mereka dan keluarga mereka terjamin daripada semua aspek khususnya ekonomi dan sosial.

Kebanyakan mereka ini sememangnya bukanlah minat sangat untuk melibatkan diri dalam bidang politik tetapi mereka sudah sedar bahawa kepimpinan politik ini memberi implikasi kepada kehidupan mereka sekeluarga. Kesedaran itu lah yang membawa kepada kebangkitan mereka dalam arus perdana politik negara.

BR: Perlukah kerajaan menyekat kebebasan akhbar? Umum mengetahui, kalau kebebasan yang tiada keterbatasannya akan menggugat keamanan dan kestabilan negara. Apa pandangan saudari dalam hal ini?

AAA: Menyekat kebebasan akhbar tanpa sebarang alasan yang kukuh dan adil itu sendiri pada prinsipnya bertentangan dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan khususnya pada Bahagian 2 Perkara 10, kebebasan hak asasi dan kebebasan bersuara – menyatakan pendapat dan pendirian.

Kita tidak nafikan bahawa sejarah sekatan terhadap media ini sebenarnya telah dilaksanakan sejak zaman penjajah British lagi bagi memastikan survival penjajahan mereka. Namun, selepas merdeka, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia telah meneruskan semua akta yang dibentuk semasa era penjajahan British, juga untuk memastikan survival pemerintahan mereka! Termasuklah dengan penggubalan Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan pada tahun 1984 yang sehingga ke hari ini mendapat kritikan ramai pejuangan kebebasan media.

Justeru, sejak awal kita dapat lihat betapa pihak yang berkuasa akan cenderung menggunakan pendekatan yang sama guna untuk survival kuasa yang mereka ada tetapi ia akan disebut dan dinamakan sebagai “demi untuk keamanan dan kestabilan negara atau keselamatan negara”! Nah, ini manipulasi bahasa secara wewenangan oleh pihak yang berkepentingan.

Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 misalnya memperuntukkan beberapa perkara yang tidak masuk akal apatah lagi dalam era milineum, dunia tanpa sempadan ini. Bekas Menteri Dalam Negeri iaitu DS Syed Hamid Albar sendiri sebelum “kehilangan jawatannya” selepas rombakan kabinet baru-baru ini akhirnya akur menyetujui betapa akta ini patut dimansuhkan. Ini pengakuan beliau seperti yang tersiar dalam Utusan Malaysia bertarikh 7 April 2009. Nah, ini satu kemenangan terhadap pandangan umum rakyat.

Memang, apa jua kebebasan itu mesti ada hadnya. Hadnya itu pula tidak wajar hanya mengikut pandangan atau definsi seorang Menteri seperti yang berlaku dan diperuntukkan dalam Akta yang ada sekarang. Menteri boleh menggantung, menyekat dan menyambung atau menghentikan mana-mana permit penerbitan sesebuah akhbar sesuka hati atas nama mengikut budi bicaranya! Iya, “ruang kuasa” ini kapan sahaja akan disalahgunakan oleh Menteri dan pihak berkuasa seperti yang sering berlaku ke atas akhbar-akhbar alternatif contohnya Harakah dan Suara KeADILan.

Justeru, kerajaan secara adil dan bertanggungjawab mesti segera mengemukakan satu garis pandu yang jelas terhadap permasalahan ini. Mencakupi pendifinisian semula maksud serta kriteria kebebasan dan juga faktor-faktor yang bisa membawa kepada sekatan ke atasnya. Jika boleh, sebelum ianya dikuatkuasakan biarlah dibentang kepada umum untuk diperdebatkan guna untuk kita akhirnya upaya merumuskan satu dasar dan pendekatan yang jauh lebih berimbang dan saksama.

BR: Benarkah PAS sebuah parti yang suka mencemuh dan menfitnah pemimpin UMNO dan BN. Kalau tidak apa alasannya?

AAA: Dasar PAS adalah Islam seperti yang terkandung di dalam Fasal 3, Perlembagaan PAS (Pindaan 2001). Pada prinsipnya PAS tidak pernah mengajar atau mentarbiyah ahli-ahlinya tentang kaedah mencemuh apatah lagi menfitnah. Justeru, kalau ada yang beranggapan bahawa PAS merupakan sebuah parti yang suka mencemuh dan memfitnah pemimpin UMNO dan BN maka saya percaya itu adalah pandangan yang terpesong dan persepsi yang tidak tepat.

Jika ada pun penceramah atau pemimpin PAS yang berceramah dengan pelbagai pendekatan gaya bahasa, intonasi suara dan lenggok badan tertentu maka barangkali itu adalah sebahagian seni yang mereka ada untuk memberi kesan penyampaian kepada rakyat. Itu saja. Dan saya sealiran dengan Cikgu saya Prof. Emiritus Dato’ Shahnon Ahmad yang berpendapat bahawa “bahasa itu biar boleh dirasa” bukan setakat difahami sahaja. Agar impak maksima dapat dirasakan oleh pihak yang mendengar ucapan kita atau membaca tulisan kita.

Adapun, darihal yang dikatakan memfitnah itu, saya percaya PAS terbuka kepada sebarang perdebatan seandainya pandangan umum kita dan rakyat yang bertitik tolak daripada beberapa fakta yang tidak meragukan seperti contoh dalam hal salahguna kuasa, penyelewengan dan seumpamanya itu dikatakan sebagai tidak benar dan fitnah ke atas pemimpin UMNO dan BN. Kita terbuka, hatta kita cabar mana-mana pemimpin UMNO dan BN yang merasakan dirinya difitnah oleh PAS dan rakyat untuk mengemukakan saman atau memfailkan dakwaannya di mahkamah terbuka. Biar kita lihat, fitnah atau betul.

Isu yang berkaitan dengan pembunuhan kejam Altantuya misalnya yang ada dikaitkan dengan DS Najib , jika tidak benar maka DS Najib wajib membersihkan imejnya apatah lagi DSN sekarang ini sebagai PM Malaysia.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri misalnya pernah difitnah oleh media antarabangsa yang mengaitkan Tuan Guru sebagai salah seorang pemimpin utama Rangkaian Al Qaedah suatu ketika dahulu. AlhamduliLlah, atas prinsip berani kerana benar maka Tuan Guru mengambil tindakan mahkamah dan menyaman wartawan dan surat khabar terbabit. Akhirnya Tuan Guru menang dan mendapat ganti rugi pampasan lantaran maruahnya yang tercalar.

Nah, kita mahu dan sangat mengharapkan ini juga dibuat oleh DS Najib . Jika sebenarnya hal tersebut terbukti tidak benar dan sengaja diadakan oleh dalang-dalang tertentu, saya yakin dan percaya anggota PAS ini juga berani membuat teguran hatta kepada pemimpin tertinggi PAS itu sendiri.

BR: Nampaknya UMNO dan BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menawan empat negeri termasuk Wilayah Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang. Apakah persediaan PAS untuk mempertahankan negeri-negeri ini dan merampas negeri-negeri ditadbir oleh BN?

AAA: Memang UMNO/BN bersungguh-sungguh dan pada pengamatan saya UMNO/BN akan sanggup menggunakan apa jua cara untuk memastikan mereka kekal berkuasa. Meskipun ianya suatu tindakan yang salah bahkan mencabuli Keluhuran Perlembagaan [seperti contohnya insiden yang berlaku terhadap Kerajaan PR di Perak], melanggar hak asasi manusia, mencabuli adab dan tatasusila keTimuran, berat sebelah, penipuan, hasutan perkauman dan segala seumpamanya.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa kita tidak semudahnya mempotretkan UMNO/BN sehodoh itu dalam minda dan akal budi kita, namun itulah warna dan wajah sebenar mereka. Impak pandangan rakyat terhadap UMNO/ BN lantaran sikap dan tindak tanduk mereka sendiri. Termasuklah kebiadaban mereka “mengundurkan” Presiden mereka iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan cara yang bagi saya sangat memalukan dan memilukan.

Kegagalan mereka dalam PRU-12 dianggap sebagai kegagalan Pak Lah! Inilah bukti sikap “denial” UMNO/BN terhadap penolakan rakyat ke atas mereka yang sebenarnya merupakan satu penolakan yang bersifat kolektif terhadap UMNO/BN dan bukannya terhadap Pak Lah semata-mata.

Hemat saya, Pak Lah itu penyelamat UMNO selepas kekalahan teruk mereka dalam PRU-10. Faktor Pak Lah lah yang berjaya mengangkat semula maruah UMNO/BN dalam PRU-11. Namun, dek kerana UMNO/BN sememangnya sudah terlalu rosak dan sukar dipulihkan akibat virus politik wang yang menjalar pada setiap urat dan saraf pertubuhan mereka maka berlaku lah apa yang kita lihat dalam keputusan PRU-12 ; penolakan kolektif rakyat di Semenanjung Malaysia!

UMNO/ BN hilang 5 negeri + 1 adalah kerana kebangkitan kuasa rakyat. Nah, atas keinsafan itu maka sememangnya kita PAS sudah bersiap sedia bukan sahaja untuk mempertahankan “negeri-negeri yang sudah dikembalikan kepada kuasa rakyat”, bahkan juga “menyelamatkan” negeri-negeri yang masih berada di dalam cengkaman Regim Barisan Nasional yang mahu berubah bukan sejujurnya untuk rakyat tetapi berubah kerana takut rebah dan hilang kuasa!

BR: Bila agaknya pemimpin UMNO dan PAS boleh duduk berbincang dalam isu-isu melibatkan kepentingan agama, pendidikan dan ekonomi umat Islam sendiri?

AAA: Pertama, duduk berbincang itu tidak semestinya hanya di antara UMNO dan PAS sahaja atau dalam konteks agenda Melayu dan Islam semata-mata atau di lokasi yang mencerminkan premis masing-masing.

Pada hemat saya, PAS dan UMNO sebenarnya sudah lama punya ruang dan peluang bagi perbincangan itu. Tetapi kegagalan untuk mengurus ruang dan peluang itu secara lebih professional, jiwa besar dan berfikiran terbuka…itulah masalahnya. Contoh, apa peranan dan fungsi Dewan Legislatif yang mulia, baik Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara? Bukan kah di situ semua Perwakilan Rakyat berhimpun untuk berbincang, berbahas, berdebat dan bertukar-tukar fikiran secara lebih bertanggungjawab bahkan menyentuh pelbagai aspek yang luas demi untuk kepentingan ummah dan negara.

Kedua, sudah sampai masanya Ahli-Ahli Yang Berhormat baik di peringkat DUN mahupun Parlimen bersikap lebih waras dan wajar dalam menghadapi perbezaan pendapat baik BN mahupun Pakatan Rakyat. Manakala Kerajaan BN yang ada pula juga mesti bersikap terbuka dengan pandangan dan kritikan yang benar dan membina sekalipun ianya datang daripada Ahli Yang Berhormat Pakatan Rakyat.

Ini tidak, kadang kala kita lihat jelas terang lagi bersuluh ada benarnya pandangan Pakatan Rakyat itu, tetapi kerana ia datang daripada YB Pakatan Rakyat maka semua salah belaka. Usul yang baik untuk kepentingan rakyat dan ummah pun lazimnya akan diketepikan hanya kerana tidak mahu memberi kredit atau political mileage kepada pembangkang. Seperti contoh Usul berkaitan pengembalian royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu oleh Kerajaan Persekutuan ditentang oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat BN hanya kerana usul tersebut dibawa oleh Ketua Pemuda PAS, YB. Salahudin Ayub!

Ketiga, UMNO/BN kena menunjukkan kematangan dan keikhlasan mereka dalam membuktikan perjuangan membela Melayu dan Islam. Keadilan mesti diberikan kepada pemerintahan Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat khususnya Kelantan misalnya yang sudah hampir 20 tahun dinafikan hak untuk mendapat geran perkapita yang menjadi antara tanggungjawab utama Kerajaan Persekutuan terhadap mana-mana Kerajaan Negeri dalam Malaysia tanpa mengira ianya di bawah pemerintahan parti mana.

Berulang kali YAB. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin Kelantan yang lain merayu, mengadu dan mengharap keadilan daripada Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai cara, tetapi tidak diambil endah.

Jika UMNO/ BN barangkali mahu tahu apakah antara formula agar darjah kebencian rakyat terhadap mereka berkurangan maka semua hal tersebut mesti diambil serius oleh Perdana Menteri Malaysia yang Ke-6 ini.

BR: Kini pengundi bukan Melayu boleh menerima kepimpinan PAS. Apa sebenarnya yang dimahukan oleh pengundi bukan Melayu ini mengikut pandangan saudari?

AAA: Pengundi bukan Melayu khususnya saudara-saudara kita daripada keturunan India majoritinya sangat jelas tidak berpuas hati dengan prestasi yang kaum mereka capai semenjak kemerdekaan negara. Mereka rasa terabai dan dipandang sebagai kelas bawahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ketidakpuasan hati mereka ini jika dilihat daripada beberapa sudut ada wajarnya dan ini mesti ditangani secara hikmah dan fatanah (bijaksana) oleh pihak pemerintah. Malangnya, kerajaan BN tidak upaya memainkan peranan itu.

Bertambah malang bila mana MIC yang sepatutnya memainkan peranan membantu dan mewakili kepentingan dan suara mereka dilihat gagal menjalankan tanggungjawabnya. Mereka juga percaya bahawa kepimpinan MIC sudah tidak ambil peduli akan nasib masyarakat miskin keturunan India bahkan lebih suka berpolitik sesama sendiri.

Nah, seperti saya kata kan sebelum ini bahawa rakyat secara kolektif tanpa mengira kaum, agama dan ideologi awal politik mereka sudah tidak tahan dan bosan. Mereka percaya pemimpin sekian lama bersilih ganti dan hadir dengan membawa janji dan legasi masing-masing. Namun, selagi amalan rasuah, salahguna kuasa, salah urustadbir kekayaan negara ini dijadikan amalan para pemimpin dan parti yang memerintah tanpa sedikitpun rasa takut serta bersalah, maka selagi itulah masalah yang ada akan terus berkesinambungan tanpa henti dan tanpa destinasi.

Manusia lazimnya bila sudah terlalu tertekan dan buntu, dia akan kembali ”mencari Tuhan”. Itu fitrah manusia dan fitrah seorang hamba walau apa pun agama dan kepercayaannya.

Dalam suasana itu pula,umum tahu akan kewujudan sebuah Kerajaan Negeri di bawah Kepimpinan Ulama’ di Kelantan. Berbondong-bondong mereka ke sana dan mengadakan lawatan. Kestabilan, kemakmuran dan “good governance” yang ada di sana di bawah kepimpinan seorang manusia yang berhati mulia, tawadhuk dan hidup serba sederhana itu sebenarnya menyentuh lubuk nurani rakyat. Seolah-olah segala impian mereka terhadap corak dan gaya pemerintah idaman mereka ada di Kelantan. Rakan-rakan daripada keturunan India dan Cina tidak putus-putus melawat dan menziarahi Tok Guru kita di Kelantan.

Apa lagi bila mereka diberitahu tentang kesyumulan, keindahan, keadilan dan kecantikan Islam yang melayan ummat manusia hatta makhluk-makhluk lain ciptaan Allah dengan penuh hormat dan cermat.

Semua yang saya katakan ini antara kesannya dapat kita lihat sehingga kepada salah seorang Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Perak yang juga pemimpin DAP iaitu YB. En. Nga Kor Ming kini mampu menggunakan ayat al quran di dalam siri penerangannya kepada rakyat.

Ini sesungguhnya merupakan satu perkembangan baru yang mewarnai lanskap politik Malaysia. Mereka tahu bahawa PAS merupakan sebuah parti yang kuat dan para pemimpin serta anggotanya merupakan individu yang berpendirian teguh hatta punya prinsip yang padu. PAS tidak disilaukan dengan kekayaan dunia. PAS tidak akan mengkhianati kepercayaan dan sokongan rakyat. PAS tidak akan memberi layanan dan perkhidmatan yang berat sebelah. PAS tidak akan mabuk kuasa kerana takutkan kemurkaan Allah. PAS akan melayan semua secara adil dan saksama. PAS membawa mesej bahawa ummat manusia itu hakikatnya bersaudara. PAS adalah untuk semua.

BR: Apa pandangan saudari tindakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai semula UMNO pernah didakwa beliau parti menjijikkan kerana rasuah?

AAA: Bagi saya inilah kesilapan terbesar Tun Dr. Mahathir sepanjang hidupnya. Tapi hanya mereka yang jujur pada diri sendiri akan sedar bahawa dia sudah melakukan kesilapan. Saya berusaha untuk tidak mengkritik tindakannya ini kerana lazimnya orang yang dikritik itu akan cuba mempertahankan diri dan mengumpul seberapa banyak alasan untuk melegitimasikan perbuatannya. Tapi, iyalah… PAS ini sebuah organisasi “Siasatud Dakwah”, kita berpolitik mengikut cara mukmin berpolitik yang setia pada agamanya di samping menghormati kehendak-kehendak hukum serta menyediakan pelajaran-pelajaran kepada ummah.

Kita mahukan bahkan kita mendoakan agar mana-mana ummat Islam yang tersasar atau terkhilaf khususnya mereka yang berada di tampuk kuasa agar kembali menemukan hidayah Allah seterusnya kembali ke pangkal jalan. Sekalipun dia pernah dinobatkan rakyat sebagai Maha Firaun atau seumapamanya.

Ketika Tun Dr. Mahathir meninggalkan UMNO, sememangnya ia satu kejutan kepada kita semua. Sepanjang tempoh itu pula Tun juga sudah mula bercakap macam rakyat bercakap. Kita tahu bahawa beliau tidak puas hati terhadap keberanian Tun Abdullah untuk membelakangi keputusan dan dasar-dasar awalnya. Bertitik tolak daripada situ, beliau mencari apa sahaja yang boleh memperlihatkan Tun Abdullah sebagai lemah dan tidak wibawa. Tun Dr. Mahathir antaranya yang secara terbuka mengkritik amalan politik wang di dalam pemilihan UMNO. Sedangkan beliau adalah antara pengasas kepada rasuah politik di dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil Negara!

Di saat akhir beliau memegang tampuk sebagai Presiden UMNO, kita masih ingat beliau pernah menangis kerana Melayu belum berubah. Beliau juga mengkritik budaya dan amalan “tongkat” . Persoalannya, siapa yang mencorak ini semua dan menjadikan suasana politik Malaysia penuh dengan kebusukan kalau bukan pemerintahan Tun Dr Mahathir? Khairi dan yang lain-lain ni cuma mengikut suri dan teladan pemimpin-pemimpin mereka.

k Harapan Pakatan Rakyat mungkin tidak kecapaian untuk membentuk kerajaan pusat lantaran tidak mendapat sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak. Apa pendapat?

Saya yakin dan percaya bahawa PAS dan Pakatan Rakyat masih punya ruang dan potensi untuk meningkatkan sokongan rakyat dari Semenanjung Malaysia dalam PRU yang akan datang dan seterusnya membentuk Kerajaan di peringkat Pusat. Sabah dan Sarawak umumnya dalam suasana biasa bukanlah faktor penentu pembentukan sesebuah Kerajaan Pusat. Bahkan Sabah misalnya pernah dikuasai oleh pembangkang.

Tetapi dalam konteks UMNO/ BN pada hari ini, Sabah dan Sarawak realitinya sudahpun menjadi faktor penentu kepada survival UMNO dan BN. Justeru, saya mengulangi penegasan saya kepada sahabat-sahabat dan teman-teman kepimpinan dalam PAS dan Pakatan Rakyat bahawa kegagalan PAS dan Pakatan Rakyat dalam memberikan perhatian, tumpuan serta ambil berat kepada rakyat dan negeri-negeri di Borneo Utara ini menyebabkan perjuangan untuk membentuk Kerajaan Pusat itu terbantut dan tertangguh.

Berdasarkan pengamatan saya, dalam tempoh yang terdekat faktor ini akan terus kekal memihak kepada UMNO/BN seandainya tidak diadakan suatu usaha terancang, bersepadu dan bertanggungjawab dalam menguruskan agenda penerangan kepada rakyat.

Isunya, bukan sahaja memastikan kita menurunkan calon semasa PRU atau PRK , tetapi juga memastikan calon-calon itu merupakan aktivis dan tokoh yang sudahpun teruji kekuatan, kemampuan, kesetiaan dan komitmennya mewakili suara hati pengundi dan memimpin perjuangan rakyat.

Pendekatan “service oriented”, berbakti dan turun terus kepada rakyat secara konsistan merupakan kaedah yang sangat perlu dilazimkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat yang ada di kedua-dua negeri ini.

BR: Dr Mahathir menganggap pentadbiran Mohd Najib lebih baik daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Apa pandangan saudari dalam soal ini?

AAA: Persoalannya di sini kalau Tun Dr. M percaya bahawa DS Najib lebih baik kenapa serah jawatan PM kepada Tun AAB sebelum ni? Apa beza pandangan Tun yang menganggap perlantikan Abdullah tepat pada ketika itu berbanding pandangannya sekarang bahawa DS Najib adalah lebih baik? Bagaimana rakyat boleh percaya pembohongan kedua ini dalam hal yang sama dan sangat penting berhubung jawatan seorang PM?

Kedua, apakah kriteria “lebih baik” yang digunakan oleh Tun Dr. M, sedangkan DS Najib baru dan tak sampai pun sebulan menjawat jawatan PM? Adakah kerana DS Najib mengikut arahannya dalam membentuk kabinet baru Malaysia yang juga menempatkan anaknya Mukhriz di dalam kabinet di satu kementerian yang begitu penting iaitu MITI?

Semua ini hanyalah “main wayang” yang mana rakyat sudah boleh membaca perjalanan, klimaks dan kesudahan jalan ceritanya. Yang kekal menjadi mangsa dalam percaturan politik golongan elit ini adalah rakyat.

Sehingga kini pun DS Najib masih gagal membuktikan pencapaiannya menghadapi kemelut ekonomi politik dunia meskipun menjawat jawatan Menteri Kewangan sejak awal lagi! Warga terus-terusan kehilangan mata pencarian.

BR: Khairy Jamaluddin pernah disabitkan dengan politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO menang dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Bagaimana saudari melihat perkara ini dan kesannya kepada golongan muda?

AAA: Seperti yang saya katakan di awal penjelasan saya berkaitan amalan politik wang di dalam UMNO/BN, Khairy Jamaluddin dan beberapa yang lain hanya mengikuti suri teladan yang telah ditinggal oleh kepimpinan terdahulu UMNO khususnya era Tun Dr. Mahathir.

Satu-satunya kesilapan Khairy ialah bahawasanya dia disabitkan dengan kesalahan politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO. Itupun barangkali kerana tindak tanduk agen-agennya yang tertangkap kerana maklumlah mereka itu muda lagi, belum cekap dan tidak punya pengalaman luas dalam mengamalkan politik wang untuk mendaki dan survival karier politik masing-masing. Berbeza dengan mereka yang sudah lama dan cekap dalam melaksanakannya.

Kepimpinan UMNO selepas Tun Abdul Razak sebenarnya bukan sahaja telah merosak dan menghancurkan Parti UMNO sendiri bahkan juga sudahpun menjahanamkan negara. Majoriti pengundi khususnya di kawasan luar Bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak misalnya terus hidup susah berpunca daripada penerimaan mereka terhadap amalan politik wang yang berleluasa pada masa Pilihan Raya Umum. RM50 misalnya untuk mereka kekal mengundi BN meskipun calon tersebut tidak menjalankan tugas, namun dek kerana kemiskinan mereka sanggup buat apa sahaja. Mereka lupa yang mereka bakal menderita lagi selepas itu dan akan hanya dikunjungi semula dengan RM50 selepas empat atau lima tahun kemudian.

Inilah kesannya kepada bangsa dan Negara. Rakyat diperbodoh-bodohkan. Generasi muda masa depan mereka tidak ketentuan gara-gara pemimpin politik dan kerajaan yang korup. Rasuah dan politik wang sebenarnya Musuh No.1 negara, masalah dadah pun tidak pernah selesai bahkan semakin menjadi-jadi kerana adanya rasuah!

Oleh sebab itu, pengamal rasuah dan politik wang sewajarnya juga dinobatkan sebagai Musuh No. 1 negara, setiap sokongan bakal membawa padah kepada generasi muda.

BR: Apa pendapat saudari apabila jawatan Perdana Menteri mula diwarisi oleh anak-anak bangsawan mantan PM sebelum ini. Ramai berkeyakinan selepas Mohd Najib jawatan tersebut akan dipusakai oleh Datuk Seri Hishammuddin?

AAA: Itu bukti penyakit elitisme dan nepotisme di dalam UMNO/ BN yang akan segar sampai bila-bila sehinggalah kita berjaya mentalkinkannya pada PRU-13 yang akan datang! Najib dan Hishamuddin sebenarnya sama-sama tidak layak untuk mempusakai apa yang tidak pernah menjadi milik mereka. Mereka hanya menumpang nama dan nostalgia lama ayahanda mereka. Malangnya, selagi UMNO masih ada maka kita tahu UMNO sudah tidak punya figure kepimpinan lain. Justeru itulah mereka akan menggunakan apa yang pernah disanjung dan dihargai rakyat sebelum ini meskipun perjuangan anak pemimpin itu tidaklah semulus dan sebersih perjuangan ayahandanya.

BR: Adakah Dr Mahathir membantu memberikan kekuatan UMNO dan Mohd Najib?

AAA: Seperkara yang perlu semua pihak sedar bahawa masa untuk Tun Dr. Mahathir sudah berlalu. Kemasukan Tun kembali kepada UMNO barangkali dilihat sebagai usaha menamatkan perpecahan yang berlaku di dalam UMNO. Tetapi, saya juga melihat bahawa kembalinya Tun kepada UMNO sebenarnya mengundang perpecahan yang baru bahkan lebih malang perpecahan itu berlaku di peringkat generasi muda mereka.

Tun Dr Mahathir merupakan karektor politik yang dominan. Justeru, kapan sahaja PM yang baru ini akan terus menjadi boneka meskipun DSN berusaha menampakkan “kemerdekaannya” kepada kita. Sehingga saat ini sahaja kita sudah melihat pengaruh Tun yang kuat itu dalam pembentukan Kabinet Baru Malaysia. Bahkan ketidaksediaan DS Hishamuddin sebelum ini untuk memansuhkan Pengajaran Dan Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga sesungguhnya menampakkan ”ketakutan” dua beranak ini kepada kemarahan Tun Dr. M yang menjadi pelopor kepada dasar PPSMI itu.

Nah, bagi saya jika ini dibiarkan terus berlaku, kita sebenarnya hanya mengulang semula tayangan pemerintahan negara era Mahathirisme. Itu sahaja, dan kita rakyat tidak akan mengizinkannya untuk berlaku. Dengan erti kata lain, keberadaan Tun di sisi DSN hanya mengundang kebangkitan rakyat yang jauh lebih besar. Tunggulah...

BR: Pandangan saudari tentang kabinet baru Mohd Najib?

AAA: Pertama, DSN telah menghina perjuangan dan kebangkitan rakyat bila menamakan kabinet baru itu sebagai Kabinet Rakyat. Tindakan beliau itu sudahpun dilihat rakyat dengan penuh sinis. DSN seharusnya berhati-hati dan belajar memahami apa yang rakyat tidak suka. Jangan buat apa yang rakyat tidak suka!

Kedua, saya menamakan kabinet baru itu sebagai Kabinet Perpecahan, Kabinet Rebah, Kabinet Kroni dan Kabinet Recycle.

Tindakan membawa masuk beberapa ”figure” yang sudahpun ditolak rakyat dengan sendirinya mengesahkan bahawa kabinet itu bukanlah Kabinet Rakyat seperti yang digembar gemburkan UMNO/BN.

DSN ternyata masih gagal membaca kehendak sebenar rakyat. Rakyat umumnya hilang kepercayaan terhadap DSN dan UMNO/BN. Beberapa isu yang menghantui rakyat berkaitan imej dan kredibiliti DSN masih belum terjawab.

Saya sebagai seorang generasi muda wanita sangat berasa ralat. DSN mesti membersihkan dirinya daripada beberapa skandal besar termasuklah penyelewengan berbilion ringgit wang negara ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. Juga isu yang berkaitan dengan pembunuhan kejam seorang Pelancong Asing yang juga boleh disifatkan sebagai Tetamu Negara yang sehingga kini pandangan dan persoalan umum rakyat masih belum terjawab sekalipun dua orang anggota UTK itu disabitkan pertuduhan membunuh Altantuya. Motif pembunuhan belum terjawab. Penggunaan senjata terkawal Kementerian Pertahanan iaitu Bom C4 belum terjawab, dan bermacam-macam lagi.

Bagaimana mungkin rakyat dapat bersikap adil dalam membuat justifikasi terhadap DSN seandainya beliau sendiri tidak bersikap adil terhadap dirinya? Bersihkan imej.

BR: Ramai pemimpin UMNO merasa bimbang dengan matlamat kesamarataan yang diperjuangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim? Seolah-olah beliau mahu menyamakan hak orang Melayu dengan bangsa-bangsa lain di negara ini?

AAA: Terus terang saya sendiri tidak mendapat penjelasan terhadap perjuangan dan matlamat kesamarataan yang dibawa oleh DSAI melalui PKR. Justeru, tidak wajar untuk saya mengulasnya. Untuk itu barangkali cabaran kepada DSAI dan PKR ialah agar mereka membentangkan kepada kita semua dengan cara yang paling mudah untuk kita semua faham dan jelas apakah standard piawaian kesamarataan itu mengikut perjuangan PKR.

Bagi kita PAS, ianya mudah sahaja. Kita ada Al Qur’an dan As Sunnah. Kita ada suri teladan daripada seerah para Rasul, Nabi dan para sahabat terdahulu yang juga berhadapan dengan pelbagai cabaran perbezaan bangsa, suku, kaum agama dan segalanya. Bila sahaja kita berhadapan dengan sebarang kemusykilan, pertembungan dan perbezaan pendapat, cukup dengan kita kembali kepada semua itu dengan kelebihan fatanah yang ada pada diri masing-masing. Bahkan ia lebih selamat daripada mengikut panduan nafsu dan akal kita semata-mata.

Islam ini rahmat kepada seluruh alam. Islam ini yang menciptakannya adalah yang menciptakan kita semua iaitu Allah. Dia menciptakan kita daripada pelbagai suku, kaum dan bangsa agar saling kenal mengenal. Justeru, tidak akan berlaku dzalim Islam ini kepada sesiapapun.

BR: Kita perhatikan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sering dilihat bertentangan pandangan dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat. Sebagai contoh dalam menentukan calon wakil rakyat pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Komen.

AAA: Pertama, itu namanya berbeza pendapat dan ianya sama sekali tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip kepimpinan dan politik Islam. RasuluLlah SAW dan para sahabat pun ada masanya berbeza pendapat tetapi diuruskan perbezaan itu dengan adab dan hikmah. Bahkan, adakalanya perbezaan ini membawa rahmat kepada ummah.

Kedua, barangkali ramai tidak memahami struktur organisasi dalam parti PAS yang sememangnya berbeza dengan struktur organisasi parti-parti yang lain. Mursyidul ‘Am merupakan “spiritual leader” kepada PAS yang akan memberi pandangan serta keputusan-keputusan di peringkat dasar. Beliau akan juga dibantu oleh Majlis Syura Ulama’ PAS yang terdiri daripada alim ulama’ PAS daripada pelbagai bidang.

Manakala Presiden pula merupakan pemimpin parti khususnya di peringkat penetapan strategi dan pelaksanaan. Beliau pula akan dibantu oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sebenarnya dalam penentuan calon-calon ia akan mengambil kira pandangan semua peringkat, dari kawasan ke negeri dan kemudiannya ke pusat. Demikian juga pandangan daripada pihak-pihak lain akan diambil kira. Adapun pandangan Mursyidul Am itu dalam hal ini yang tidak melibatkan dasar maka akan bergantung pula kepada sokongan di peringkat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Ini kerana ianya lebih kepada strategi dan pelaksanaan. Seandainya pandangan Mursyidul Am itu yang terbaik, maka tetap pandangan itu juga akan diambil kira.

Inilah bukti betapa demokrasi di dalam PAS sangat subur dan ia digerakkan secara sokongan kolektif semua peringkat dan individu yang terlibat.

BR: Pada pendapat saudari kenapa dan mengapa PAS sehingga sekarang gagal menarik keyakinan dan kepercayaan orang Melayu untuk menyokong parti itu?

AAA: Iya, ini memang merupakan suatu yang menjadi tumpuan serta kajian utama saya dan beberapa orang sahabat khususnya yang berada di dalam Lajnah Penerangan & Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat.

Kita menyedari akan hal ini dan tentulah kita juga sedang berusaha memastikan bahawa semua jentera penerangan dan dakwah Dewan Muslimat PAS khususnya agar juga menyedari akan perkara ini. Itu yang paling utama ; tahu, sedar, faham dan akur kemudian mencari formula bagaimana memperbaiki keadaan itu.

Umumnya berdasarkan kepada pengamatan dan analisa awal kita ialah bahawa orang Melayu yang masih tegar menyokong UMNO/BN itu kebanyakannya daripada penduduk luar bandar yang terdiri daripada kelompok rakyat berpendapatan rendah, hidup susah dan kurang terdedah. Golongan yang hanya menjadikan TV, Radio dan Media Cetak yang dikuasai BN sebagai sumber maklumat dan pengetahuan mereka. Faktor inilah yang sebenarnya membolehkan UMNO/BN untuk mengekalkan kuasanya khususnya di Sabah dan Sarawak.

Pengundi Melayu yang menjadi penyokong tegar UMNO/BN ini juga kebanyakannya para pengundi daripada saluran 1 dan sebahagian daripada saluran 2. Nah, apa jua tindakan kita untuk menangani hal ini mesti dibuat dengan cara yang cukup hikmah dan fatanah. Barangkali ada ruang untuk mereka ini berubah. Barangkali juga mereka sudah selesa dengan sikap dan pendirian mereka. Itu terpulang nantinya kepada komitmen, dedikasih dan kreativiti aktivis kita untuk ”menguruskan” mereka.

Walaubagaimanapun, kekuatan PAS adalah pada generasi muda dan ini tentunya merupakan suatu petanda yang cukup bagus.

Apapun, saya masih berpendirian bahawa bukanlah tujuan asal kita yakni PAS sebagai Gerakan Islam untuk mencari orang-orang yang hanya memberikan kita satu suara atau satu undi dalam Pilihan raya . Tetapi tujuan asal kita ialah untuk mendapatkan orang-orang yang sanggup memberikan diri dan hartanya pada jalan ALlah . Kita mahu orang-orang yang bersabar, orang-orang yang berkorban, orang-orang yang kukuh pendirian, orang-orang yang sanggup memikul beban dakwah dan ber’amal . Orang-orang yang menghargai tanggungjawab dan mempunyai sifat amanah .

Kita mencari peminat-peminat akhirat bukannya peminat-peminat kuasa dan pangkat keduniaan sepertimana yang berlaku dalam parti-parti politik berfahaman secular yang lain . Kita mahu orang-orang yang menunaikan amanah hukum Islam dengan sifat wara' dan kezuhudannya . Bukannya mereka yang diubah-ubah oleh kerusi Pilihan raya hingga mereka lupa apa yang pernah mereka laungkan dulu dengan pelbagai slogan dan penuh semangat .

Matlamat utama PAS ialah mengajak manusia kepada memahami Islam bukannya memahami PAS. Kita yakin dan percaya, mereka yang memahami Islam dan meyakini Islam itu akhirnya nanti akan memahami dan menjadi pendokong yang kuat kepada PAS, insyaAllah. Sebab itu, gerakerja PAS ini tidak akan terhenti hanya kerana bila kita menang atau memerintah. Sebab kemenangan itu hanyalah jalan untuk kita menunaikan pertanggungjawaban dakwah yang jauh lebih besar.

1 comment: