Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday, 8 February 2011

Muhasabah “Kebangkitan Rakyat” Dari Medan Tahrir, Mesir Ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ?

Assalamu’alaikum WarahmatuLlahi Wabarakaatuh
Salam Sejahtera.

1. Realitinya apa yang tercetus di Mesir lewat bulan Januari 2011 yang lepas adalah suatu fenomena biasa yang akan dialami oleh mana-mana negara yang rakyatnya sudak cuak dan muak dengan sikap dan dasar Kerajaan Pemerintah (di bawah pentadbiran Regim Hosni Mubarak) yang berterusan menghimpit, memperjudikan dan membonekakan hidup rakyat untuk kepentingan kelompok kecil individu-individu mereka yang berkuasa.

2. Kita mesti menginsafi bahawa yang sedang berlaku di Medan Tahrir itu adalah suatu “Kebangkitan Rakyat”, tuntutan agar Regim Hosni Mubarak berundur secara hormat daripada tampuk kuasa dan kemudian memberikan laluan kepada rakyat Mesir untuk memilih kepimpinan yang baru melalui proses dan lunas-lunas demokrasi.

3. Maknanya mengembalikan kuasa memilih pemimpin kepada rakyat Mesir seluruhnya melalui satu proses pilihan raya yang bersih dan adil. Ia bukan suatu peperangan saudara atau peperangan negara tersebut dengan negara luar. Mubarak yang kini berusia 82 tahun itu sendiri akhirnya mengakui bahawa beliau memang “terfikir” untuk berundur,dan sudah tiba masanya untuk berundur. Bahkan terdapat anggota kabinet kerajaannya termasuk anaknya sendiri sudahpun meletakkan jawatan sebagai menghormati tuntutan serta referendum rakyat yang telah dimanifestasikan daripada solidariti ratusan ribu hatta hampir jutaan rakyat Mesir yang berhimpun menyatakan gesaan dan tuntutan mereka khususnya di Medan Tahrir.

4. Oleh yang demikian, pada hemat saya ; sikap kita, sikap para pemimpin kita, sikap para pengamal media massa kita, sikap pihak-pihak yang berkuasa hatta sikap rakyat Malaysia seluruhnya mestilah bertanggungjawab sama ada dalam melihat, menilai, mendapatkan maklumat yang tepat khususnya situasi sebenar yang berlaku di Mesir dan memahaminya agar kita tidak bertindak “lebih sudu daripada kuah, lebih berita sensasi daripada fenomena realiti”. Yang akhirnya melorong kita kepada pelbagai tindakan yang seolah-olah Mesir sedang berada di ambang peperangan, ibarat Krisis Iraq di Teluk suatu masa dahulu atau Krisis peperangan di bumi Palestin sehingga semberono melegitimasikan tindakan membawa keluar para pelajar Malaysia di Mesir ; sedangkan ironinya pada saat dan ketika ini juga ramai daripada kalangan kita sendiri yang ingin pergi ke Palestin untuk membantu saudara-saudara kita di sana!

5. Bahkan ironinya tumpuan perhimpunan Kebangkitan Rakyat Mesir itu lebih tertumpu di Medan Tahrir, umpama Kebangkitan Rakyat Malaysia suatu ketika yang lalu dalam Himpunan BERSIH 2007/2008 yang hanya menjurus di beberapa lokasi utama sahaja di Ibu Kota Kuala Lumpur. Situasi selamat, kekal selamat sehinggalah ada pihak lain yang membuat provokasi termasuklah daripada pihak berkuasa dan pihak keselamatan Polis. Itulah juga yang telah berlaku di Medan Tahrir pada masa-masa tertentu, seandainya wujud anasir luar (pihak-pihak luar daripada peserta-peserta himpunan) yang kemudiannya bertindak melakukan provokasi dengan niat memburukkan imej dan pandangan luar terhadap himpunan atau kebangkitan rakyat tersebut. Malangnya, hakikatnya inilah yang telah berjaya dipotretkan oleh UMNO BN dalam konteks Kebangkitan Rakyat Mesir yang menolak pentadbiran Regim Hosni Mubarak. Sebab itu sehingga kini Najib gagal menyatakan pendirian Malaysia terhadap kedudukan Hosni Mubarak yang sedang berhadapan dengan penolakan terbuka jutaan rakyat Mesir.

6. Saya sama sekali tidak salahkan ibu bapa dan para pelajar yang terbabit dalam isu Ops Piramid ini. Itu fitrah ibu bapa yang senantiasa mengutamakan keselamatan anak-anak. Tindakan mereka juga mungkin disebabkan faktor-faktor awal tadi yang melorong kepada keputusan-keputusan sebegitu. Walaupun kita percaya, terdapat banyak cara yang lebih efektif yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Malaysia sebenarnya untuk membantu para pelajar selain daripada mengambil tindakan membawa mereka pulang begitu sahaja. Seterusnya ada baiknya bermuhasabah betapa barangkali “kita” agak memandang remeh dengan “Jihad menuntut ilmu” apatah lagi di buni para anbia. Sedangkan kebanyakan pelajar tersebut bakal berhadapan dengan peperiksaan-peperiksaan yang penting. Manakala pihak Universiti tempat mereka belajar pula tidak pun menangguhkan kelas ataupun peperiksaan-peperiksaan terbabit.

7. Berita Buletin TV3 sendiri misalnya lebih berbentuk menakut-nakutkan para penonton dengan berulangkali melaporkan cerita/ berita wartawan mereka ditahan, diancam dan seumpamanya berbanding keupayaan dan kejayaan mereka mendapatkan cerita atau peristiwa sebenar di Medan Tahrir!

8. Hemat saya, itu satu bentuk usaha “to instill fear” (menanam perasaan takut) kepada para penonton dan rakyat khususnya ibu-bapa dan orang-orang tua kita di kampung yang sangat bergantung kepada paparan berita secara konvensional iaitu melalui siaran TV, Radio dan Media Massa proksi Kerajaan BN, yang barangkali takut semangat dan aura Kebangkitan Rakyat Mesir ini akan terpancar ke seluruh dunia termasuklah di Malaysia!.

9. Lebih memualkan bila laporan menakut-nakutkan oleh media kurang bertanggungjawab ini kemudian diikuti pula dengan ingatan bersilih ganti daripada pemimpin-pemimpin dan aktivis-aktivis UMNO BN perihal betapa aman dan selamatnya Malaysia di bawah pentadbiran BN. Kemudian ingatan betapa pentingnya “keamanan di bawah BN” ini dipertahankan! Bukankah ini jelas dilorongkan kepada kepentingan politik sempit BN ? Walau berulangkali Najib katakan “Tidak”,siapa kalangan kita yang akan percaya? Kalau percaya juga maknanya kita membiarkan diri kita ditipu BN lagi yang mengikut Najib akan bersedia mempertahankan Putrajaya walau ke titisan darah yang terakhir!

10. Darah siapa ? Adakah darah rakyat yang menolak kebobrokan Regim UMNO Barisan Nasional juga kini telah dijanjikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak untuk ditumpahkan demi memastikan kelangsungan kuasa UMNO Barisan Nasional (UBN) ?


11. Kesimpulannya : dunia seluruhnya kini berada di ambang Kebangkitan Rakyat yang sudah tidak percaya dengan pelbagai sistem dan ideologi dunia yang ada. Hakikatnya, manusia yang diterjemahkan melalui tuntutan rakyat dan masyarakat marhaen mahu kembali kepada fitrah. Fitrah kehidupan insan yang diciptakan Tuhan; yang menjamin kehidupan yang selamat, rahmat dan penuh barokah. Fitrah kepimpinan Khilafah yang bersifat warak dan taqwa kepada Tuhannya; yang menjamin keadilan, kebertanggungjawaban dan keselamatan dunia akhirat. Andai fitrah ini berterusan gagal disantuni, maka kita akan terus berhadapan dengan pelbagai krisis yang lebih rencam.


Salute,
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah
Dewan Muslimat PAS Pusat

8 Februari 2011, Kuala Lumpur

2 comments:

  1. Ayoh! saudara-saudaraku bangunlah...bangun, kita tegakkan perjuangan PAS seperti dahulu! Saya masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini setelah Nik Aziz menjadi penentu, dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....! juga jauh dihati saya.
    Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...! kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
    Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah negara Islam yang berdaulat!

    ReplyDelete
  2. Siapakah yang menjadi 'survivor' dalam kemelut ini?

    Penguasaan persaingan antara benua yang masih berfokuskan dasar-dasar luar Amerika dan keperluan khidmat keewangan usaha dagangan Eropa dibaik pulihkan?

    Afrika misalnya dengan Asia?

    Kita mencari teladan demokrasi yang diagendakan oleh Amerika di kalangan negara anggota Komanwel yang berada di dunia muslim.

    Ukhtie,
    Isu keamanan tidak boleh dijayakan oleh pihak kerajaan BN sahaja tanpa pengisian dari penglibatan kerajaan Pakatan Rakyat.
    Negara kita mempunyai pembangkang yang kuat dan telah berjaya membina sebuah kerajaan. Amat kecewa perkara ini dipandang sebelah mata sahaja oleh kebanyakkan rakyat tanah air natijah dari tidak memahami keperluan memahami siasah. Kerajaan BN mempunyai alasan bagaimana politik menjadikan rakyat lesu manakala ekonomi menjadikan kroni sedia berlari dengan langkah beribu.


    Wajar juga dilihat bagaimanakah diperkaitkan nilai-nilai etika (tidak hanya akhlak/moral tetapi iman) dihubungkan dengan peradaban tamadun Timur itu sendiri tatkala pendominasian kebebasan budaya tidak terlihat arah halanya.


    Tidak wajar diabaikan telah berapa lamakah gagal diwujudkan masyarakat muslim yang bebas menentukan cara hidup berimannya di tengah persaingan media penyiaran yang berulang-ulang berjaya mengaut keuntungan.

    Kesan pelobian dalam pilihanraya Mellinium ini nanti tatkala kekal dengan sifat yang tidak dibaik pulih lunas proses sistemnya ia upaya menjadi cemar yang menjadi sumbang kepada peradaban moden ini.

    ReplyDelete