Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Tuesday, 10 June 2008

Arab Saudi Panggil Mesyuarat Bincang Isu Harga Minyak 22 Jun Ini

11/06/2008 1:03pm

PARIS 11 Jun – Arab Saudi akan menjadi tuan rumah mesyuarat pengeluar dan pengguna minyak yang akan diadakan pada 22 Jun ini.
“Ia akan diadakan di Jeddah pada 22 Jun,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC), Abdalla El-Badri, sambil menambah, negara pengguna, Agensi Tenaga Antarabangsa dan ketua-ketua bank pelaburan seperti Morgan Stanley dan Goldman Sachs turut dijemput.
Mesyuarat yang diminta oleh Arab Saudi pada hari Isnin lalu itu akan turut dihadiri oleh Amerika Syarikat. – AFP
Sumber : Utusan Online 11 Jun 2008

Perbandingan Harga Minyak Dunia


Jom Tunjukkan Solidariti Kita Kepada Dua Anggota Sekretariat BERSIH Yang Dipanggil Memberi Keterangan Pada 12 Jun 2008, Khamis, Jam 10.00 Pagi

Saya menerima mesej hari ini pada jam 11.14 pagi daripada seorang kawan, Medaline Chang yang merupakan Sekretariat BERSIH iaitu Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih Dan Adil. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau dan Sdr. Faisal Mustaffa (yang juga Sekretariat BERSIH) telah menerima panggilan telefon daripada Ibu Pejabat Polis Bahagian Jenayah Perdagangan kerana mereka disaman untuk memberi keterangan. Dipercayai ianya berkaitan dengan Himpunan Aman Seratus Ribu Rakyat yang dianjurkan BERSIH pada 10 November 2007 yang lepas.



Sebagai tanda solidariti dan sokongan kita kepada mereka berdua, saya ingin menyeru kepada teman-teman aktivis, reformis dan rakyat Malaysia yang prihatin agar hadir beramai-ramai di pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bahagian Jenayah Perdagangan, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur (Belakang Bank Negara Malaysia) pada 12 Jun 2008, Khamis, Jam 10.00 pagi.


Luangkanlah masa bersama kami meneruskan perjuangan bagi menuntut satu pilihan raya yang bersih dan adil. Hidup perjuangan rakyat! Allahu Akbar!!

Monday, 9 June 2008

Vigil 7 Jun 2008 Kem Tahanan Kamunting : Himpunan Terbesar Gabungan Membantah I.S.A


Seperti yang telah dirancang oleh kami akhirnya pada malam 7 Jun 2008, berkumpullah para aktivis dan reformis di bumi Kamunting. Ada yang berarak sejauh 4 kilometer. Saya dan kumpulan pula berarak lebih kurang 1 kilometer. Semuanya menuju ke satu arah yang sama iaitu hadapan pintu penjara di Kem Tahanan Kamunting. Ternyata percubaan pihak polis untuk menyekat kehadiran para peserta di setiap jalan masuk Kamunting tetap tidak berjaya menahan lebih seribu orang peserta daripada bolos dan akhirnya berarak sambil memegang lilin masing-masing sebagai simbol perjuangan membawa cahaya kepada kehidupan yang gelita lantaran ketidakadilan pihak penguasa.




Dalam meredah kegelapan malam bertemankan cahaya lilin, saya terserempak dengan Komrad Arul, Letchimi dan rakan-rakan NGO-JERIT yang lain. Sememangnyalah, dalam setiap pertemuan kami di jalan-jalan raya bagi memperjuangkan kebajikan rakyat kami akan kelihatan sangat gembira bila mengetahui kehadiran antara satu sama lain. Pada malam itu, saya terkesan dengan kata-kata Arul : "Athirah dan kawan-kawannya dah sampai maka kita sudah lengkap." Saya hanya mampu tersenyum sambil cuba menyelami maksud mendalam Arul yang sangat saya hormati lantaran ketekunan dan iltizamnya membantu rakyat tertindas tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik masing-masing.



Dalam perjalanan menghampiri Kem Kamunting saya seterusnya bertembung dengan kumpulan dari Dewan Muslimat PAS Negeri Perak yang dipimpin oleh Naib ketua DMPN Perak, Puan Amizan Baharuddin dan juga Mantan Ketua DMPN Perak iaitu Ustazah Naqibah No'ma (atau lebih mesra dipanggil Mak Su Naqibah) , anak kepada ulama tersohor PAS iaitu Almarhum Ustaz Abu Bakr Al Bakir. Tak tergambar kegembiraan di hati saya melihat betapa semangat solidariti yang ditunjukkan para Muslimat PAS kepada Himpunan tersebut. Kelihatan mereka begitu gah sekali. Masih terbayang bilamana Mak Su mengangkat tangan kanannya sambil menggenggam jari dengan melaungkan takbir yang mulia.


Bagi saya himpunan pada malam itu sangat berjaya walaupun saya difahamkan masih ramai juga peserta yang tak dapat sampai akibat sekatan pihak berkuasa polis. Bahkan saya turut difahamkan itu adalah perhimpunan paling besar yang pernah berlaku bagi membantah akta rimba - drakonian I.S.A.

Dan ternyata luahan rasa dua orang isteri kepada mangsa tahanan ISA pada malam itu menggamit empati dan simpati kami. Ada yang mengalirkan air mata. Tidak kurang yang mengecam pihak berkuasa dzalim Regim Abdullah Ahmad Badawi.



Sehinggakan malam yang gerimis - renyai itu tidak langsung mematahkan semangat para peserta himpunan. Laungan demi laungan, slogan demi slogan berkumandang. Sehinggalah pihak polis mengarahkan pihak kami berhenti berucap dan seterusnya mengarahkan agar bersurai. Kerana yakin mesej kami telah sampai kepada rakyat di bumi Kamunting, Taiping Perak dan juga pihak penguasa dzalim, dan kerana mematuhi undang-undang kami secara tertibnya bersurai sambil menyanyikan lagu rakyat berkaitan kedzaliman Pak Lah, kroni dan konco-konconya.



Apa pun, perjuangan membantah ISA tidak akan terhenti di situ dan percayalah kita bakal ketemu lagi.Syabas kepada para aktivis dan reformis. Saya sudah membilang. Saya sudah mengenang wajah-wajah kalian. Justeru, saya cukup percaya kebangkitan rakyat Malaysia akan terus subur dan luhur. Hidup perjuangan rakyat! Allahu Akbar!





Thursday, 5 June 2008

HIMPUNAN AMAN SERATUS RIBU RAKYAT MEMPROTES KENAIKAN HARGA MINYAK, 12 JULAI 2008, SABTU, 3 PETANG, KLCC

Selepas Ketua Pemerintah (baca”Penjajah”) Regim Barisan Nasional mengumumkan kenaikan DRASTIK harga bahan bakar pada 4 Jun 2008, saya dan beberapa orang penggerak/ aktivis PROTES telah menerima bertalu-talu panggilan telefon dan mesej dari seluruh negara yang menyatakan ketidakpuasan hati dan kemarahan mereka ke atas tindakan tidak berperikemanusiaan Kerajaan Tiga Beranak itu.

Seingat saya kesibukan panggilan telefon dan sms itu berlaku sehingga jam 1.45 pagi. Aktivis yang juga penulis, Amin Iskandar tidak terkecuali meminta agar pertemuan segera PROTES diadakan. Rakan lokap saya ketika ditahan 3 hari dua malam di Penjara Pudu gara-gara Himpunan Aman PROTES yang dijadual diadakan pada 26 Januari 2008, iaitu Sdri. Narsheeta juga menghubungi saya meminta agar PROTES bertindak.

Justeru, selepas perbincangan ringkas bersama YB. Dr Mohd. Hatta dan Komrad Arul, PROTES telah segera menetapkan Mesyuarat Tergemparnya pada 5 Jun 2008, Khamis, jam 11.00 pagi bertempat di Ibu pejabat PAS yang kemudiannya disusuli dengan Sidang Media PROTES Berhubung kenaikan Drastik Harga Bahan Bakar.

Kehadiran wakil-wakil NGO’s dan parti-parti politik pada hari itu meyakinkan saya bahawa isu ini sangat mendapat tempat di hati dan minda rakyat tanpa mengira kaum dan ideologi politik kepartaian. Kita protes bukan kerana ideologi politik kita berbeza dengan pemerintah. Tapi kita PROTES kerana prihatin dan mengasihani rakyat yang sudahpun derita dengan kenaikan RM0.30 pada 28 Februari 2006 yang lepas.

Beberapa Pendirian PROTES ...

1. Kenaikan drastik ini sangat membebankan rakyat dan menjejaskan masa depan negara.
2. Kenaikan drastik ini dibuat ketikamana kerajaan tidak pun bersedia melaksanakan polisi-polisi yang membantu rakyat terlebih dahulu seperti pelaksanaan Dasar Gaji Minima misalnya bagi menyediakan rakyat berdepan dengan kenaikan tersebut.
3. Kerajaan membodoh-bodohkan rakyat dengan penggunaan pelbagai angka yang sangat boleh dipersoalkan. PROTES mahu ianya dibahaskan di Parlimen.
4. Perbandingan harga bahan bakar di Malaysia dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura dan Thailand adalah tidak wajar kerana mereka bukan negara pengeluar minyak seperti Malaysia. Perbandingan mesti dibuat dengan negara-negara pengeluar minyak. Relatif dan realitinya, harga minyak di Malaysia adalah sangat tinggi.
5. Rebat yang dijanjikan kepada rakyat iaitu RM 625.00 kepada pengguna kereta 2000 cc ke bawah dan RM 150.00 kepada pengguna motor 250 cc ke bawah adalah bertujuan ”menggula-gulakan” rakyat. Ianya adalah umpan pemerintah sepertimana RM 50.00 untuk seorang pengundi agar mengundi BN dalam pilihan raya.
6. Kerajaan lebih prihatin dengan kemarahan rakyat asing yang tidak dibenarkan membeli minyak di sempadan Malaysia (sekarang sudah ditarik balik selepas kenaikan harga bahan bakar) berbanding kemarahan rakyat yang terpaksa menanggung bencana daripada sikap kerajaan yang ibarat ”kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan”!
7. PROTES komited menuntut harga minyak diturunkan kepada yang asal sebelum naik pada 4 Jun 2008.
8. PROTES akan meminta Kerajaan Pakatan Rakyat komited dengan manifesto PRU12nya iaitu menurunkan harga bahan bakar ke harga asal sebelum dinaikkan RM 0.30 sen pada 28 Februari 2006 yang lepas.
9. Alasan penjimatan RM 13.7 bilion selepas kenaikan baru-baru ini dan kononnya untuk diagihkan kepada tujuan-tujuan lain juga sangat boleh dipersoalkan. Pengalaman kita daripada janji kenaikan RM0.30 yang lepas yang kononnya untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam adalah indah khabar daripada rupa. Kesan penjimatan RM 4.4 bilion pada kenaikan 28 Februari 2006 masih tidak dapat dirasa apatah lagi dilihat oleh rakyat!
10. Minyak kita jadi macam pelampung ekonomi negara. Bila air naik, pelampung akan naik. Justeru bila harga minyak naik, keuntungan kita juga naik. Keuntungan itu (Petronas) kita mahu disalur dan dikongsi faedahnya dengan rakyat! Rakyat Malaysia lebih suka berkongsi keuntungan Petronas daripada melihat berbilion-bilion ringgit dibazirkan dengan projek mega mewah atau penyalahgunaan kuasa yang pastinya tidak memberi kebaikan kepada rakyat.
11. PROTES melihat jika ”kegilaan” pemerintah ini tidak dibendung, rakyat akan sekali lagi berhadapan dengan kenaikan harga minyak pada bulan Ogos 2008 bagi melengkapkan nawaitu (niat) kerajaan untuk menghapuskan terus subsidi minyak kepada rakyat!

Berikut pula merupakan beberapa keputusan penting yang disepakati oleh PROTES dalam usaha menghadapi dan menangani tindakan tidak bertanggungjawab ini....

1. Rakyat mesti disedarkan untuk mengambil inisiatif bersama bagi mengadakan Protes Rakyat/ Protes Massa di seluruh negara mulai 5 Jun 2008 bagi membuktikan kepada pemerintah bahawa kenaikan itu sangat membebankan. (Sila e-mailkan atau sms kan maklumat program kepada Sekretariat PROTES di alamat : protes2008@gmail.com atau 016-926 4830 bagi tujuan rekod dan penghebahan sekiranya perlu).

2. PROTES akan menganjurkan satu Himpunan Aman Seratus Ribu Rakyat MemPROTES Kenaikan Harga Minyak pada 12 Julai 2008, Sabtu, Jam 3.00 Petang bertempat di KLCC. (Buktikan rakyat penentu masa depan pemerintah)

3. Untuk persiapan itu, ROAD SHOW PROTES akan diadakan di seluruh negara bermula dengan Majlis Pelancarannya di Seremban, Negeri Sembilan pada 14 Jun 2008, jam 2.00 petang. (Maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa).

4. Lima minggu PROTES beri tempoh harga minyak diturunkan semula ke paras asal....

Harapan PROTES…..

Kita hanya mahukan sebuah negara yang Selamat, Aman dan Makmur dalam erti kata SEBENAR. Ianya hanya boleh direalisasikan oleh Kerajaan yang Beramanah, Adil, Bersih dan Berkebajikan! Hidup perjuangan rakyat! Allahu Akbar!

*maklumat lanjut juga layari http://www.protes2008.blogspot.com/

SOLIDARITI MUSLIMAT PAS KEPADA MANGSA-MANGSA ISA

Semasa dalam perjalanan ke pejabat pagi ini saya menerima panggilan daripada seorang sahabat yang senantiasa cekal,tabah, sabar, berani dan tak kenal erti putus asa mahupun penat lelah; Puan Norlaila Othman (Salah seorang isteri mangsa tahanan ISA paling lama). Namun pagi tadi agak berbeza. Suaranya kedengaran sedih. Beliau mahukan kepastian sama ada saya sendiri akan berada di Kem Tahanan Kamunting esok malam, 7 Jun 2008...
Selasa, 3 Jun 2008 yang baru lepas sebenarnya saya telah berbincang dengan beliau berkaitan hal yang sama. Sejurus selepas perbincangan itu saya telah meminta pihak Sekretariat DMPP untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan acara pada malam 7 Jun 2008 itu. Saya pasti malam itu bakal melakar sejarah dalam perjuangan menuntut hak asasi manusia ke atas mangsa-mangsa tahanan tanpa bicara, I.S.A!

Saya sendiri juga telah menghantar mesej kepada sahabat-sahabat sejawatan saya di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Saya mohon agar Muslimat PAS dapat digerakkan bagi menunjukkan semangat solidariti kepada ahli keluarga mangsa, hatta para tahanan ISA sendiri. Saya percaya acara 8 malam, 7 Jun 2008 esok nanti bukanlah acara sampingan kita yang bersatu dalam Gabungan Membantah ISA (GMI). Ianya adalah acara besar yang menuntut penglibatan semua warga manusia yang prihatin.

Justeru, tenang saya katakan kepada beliau... Esok petang, 7 Jun 2008 saya sudah punya satu program yang ditekadbulatkan. Iaitu bersama teman-teman aktivis dan reformis untuk menyalakan lilin pengharapan di hadapan Kem Tahanan Kamunting (KEMTA), Perak. Itu komitmen saya dan sahabat-sahabat Muslimat PAS. Beliau menjerit kegembiraan. Saya dapat membayangkan riak wajahnya. Kegembiraan beliau itu membuatkan air mata saya bergenang di kelopak mata..

Justeru saudara, Ayuh! Bersama-sama kami menuju ke satu arah..Kem Tahanan Kamunting... Meskipun langkah perjuangan kita cuba dihambat oleh pihak pemerintah (baca "penjajah") dengan kenaikan menggila harga minyak, jangan sesekali berpaling daripada membantu saudara-saudara kita yang dikurung tanpa bicara. Akta rimba ini akan terus menjalari kehidupan moderate kita selagi dibiarkan terus bermaharaja lela...

Saya akan membilang dan mengenang wajah-wajah yang akan saya temui malam esok....



Monday, 2 June 2008

Enam Hari Yang "Diam"

Enam hari saya diuji dengan hilangnya nikmat kesihatan. (Sebenarnya setelah sakit selama lebih 3 bulan). Untuk terus “diam” berada di dalam rumah bagi tempoh tersebut sememangnyalah bukan suatu tempoh yang singkat kepada orang seperti saya. Dalam tempoh itu, saya hanya melihat dunia luar dari kaca televisyen, dengan menonton semua rancangan berita dan membaca beberapa bahan semasa.

AlhamduliLlah saya juga masih boleh melayari laman-laman internet menerusi telefon bimbit. Dan hampir kesemua isu-isu semasa termasuklah yang hangat dibahaskan di parlimen, mampu terus saya ikuti, walau barangkali dengan kemampuan fokus yang berbeza lantaran upaya kesihatan yang berbeza.

Seorang sahabat yang juga saya anggap sebagai kakak iaitu Hajjah Atiah Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor secara tidak sengaja mengetahui keadaan saya. Begitu juga sahabat saya yang juga bekas Ameerah saya ketika berada di kampus, DR. Ida Idayu. Kedua-duanya menghantar doa yang semulusnya. Saya tahu ramai sahabat yang mukhlis juga turut mendoakan…. Mudah-mudahan doa yang semulusnya dikembalikan Allah kepada mereka…

Helaian hari yang panjang itu menyebabkan saya tekad untuk Isnin kelmarin,kembali memasuki pejabat walau bagaimanapun keadaan saya. AlhamduliLlah. Kelmarin dan hari ini saya berada di sini,di bilik pejabat saya untuk meneruskan kerja-kerja yang “menggeletek”, menunggu sentuhan saya.

Justeru, saya faham blog yang baru muncul ini sudah agak kering…tiada semaian air daripada bait kata-kata dan perkataan. Juga kehilangan ulasan. Bagi sahabat-sahabat, teman-teman dan kawan-kawan yang menjadikan blog ini sebagai salah satu blog yang akan dibuka pada setiap hari,percayalah pena perjuangan itu tidak terhenti dalam tempoh 6 hari yang uzlah. Cuma,nantikan sahaja. Jemari ini masih bertatih menghimpun segala kekuatan untuk memastikan saudara dan saudari semua boleh membaca ulasan dan pandangan saya….kerana hakikatnya baju kurung sekolah itu TIDAK PANAS walau YB. Lembah Pantai berpandangan begitu. Dan cadangan PKPIM TIDAK SIMPLISTIK DAN TIDAK KURANG EFEFKTIF walau Wanita JIM merumuskan begitu… kita akan bicara…..