Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Monday 14 July 2008

Kenyataan Media


BERHUBUNG PENDIRIAN PRESIDEN PAS
BAGI MEMANTAPKAN KEDUDUKAN PAS DALAM PAKATAN RAKYAT


Dewan Muslimat mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada YB. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di atas pendirian tegas beliau berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat.

Dewan Muslimat menyifatkan pendirian tersebut ( seperti yang dilaporkan menerusi wawancara penuh yang tersiar dalam Harakah keluaran 16-31 Julai 2008 ) sesungguhnya merupakan suatu yang sudah lama ditunggu-tunggu oleh Muslimat PAS khususnya selepas kejayaan Barisan Alternatif mengambil alih 4 kerajaan negeri dan seterusnya mempertahankan Kerajaan PAS di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 empat bulan yang lepas.

Dewan Muslimat menyokong penuh dan berdiri teguh di belakang YB. Datuk Seri Tuan Guru Presiden dan seterusnya menyeru kepada semua khususnya para Muslimat dan amnya pendokong dan penyokong PAS di seluruh negara agar memahami dan menghormati pendirian tegas Presiden itu.

Dewan Muslimat meyakini bahawa Presiden sudah pun membuat pemerhatian yang terperinci serta mengambilkira semua faktor dan perkara sebelum mengeluarkan pendirian tersebut kepada khalayak rakyat.

Dewan Muslimat juga menyedari bahawa segala pendirian yang dikeluarkan oleh Presiden sebagai tidak bertentangan dengan hasrat dan perjuangan PAS selama ini. Hatta, pendirian itu juga jelas tidak bertentangan dengan syariat Islam dan kaedah-kaedah usul fiqh yang merentas dasar dan prinsip perjuangan PAS.

Bahkan pendirian tersebut seharusnya dilihat sebagai hakikat kebenaran dan kesucian perjuangan Islam itu sendiri yang bertitik tolak daripada kewajiban menyampaikan dakwah dan risalah Islam kepada seluruh ummat manusia tanpa mengira batasan kaum,agama, ideologi politik hatta latar belakang sosial seseorang itu.

Justeru, Dewan Muslimat menyelar percubaan dangkal dan nakal pihak-pihak tertentu yang cuba memfitnah PAS dan kepimpinan PAS bahawa kononnya mahu bergabung dengan UMNO demi kepentingan peribadi dan kuasa.

Dewan Muslimat juga menyokong penuh pendirian Presiden bahawa bangsa Melayu dan agama Islam harus terus menjadi teras utama kepada politik negara ini bagi menjamin kestabilan dan keutuhan negara. Walau bagaimanapun, agenda perpaduan nasional, kerajaan beramanah, adil, bersih dan berkebajikan kepada seluruh rakyat akan terus menjadi fokas utama perjuangan PAS bersama rakan-rakan gabungan di dalam Kerajaan Pakatan Rakyat.

Dewan Muslimat menginsafi bahawa tujuan perjuangan PAS sepertimana yang terkandung di dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS (Pindaan 2001) akan terus diberi keutamaan. Pada masa yang sama, penerimaan kaum-kaum lain terhadap perjuangan dan keadilan Islam yang dibawa oleh PAS akan terus diberikan perhatian bertepatan dengan slogan ”PAS For All”. Hakikat ini wajar difahami dan dihormati oleh keADILan dan juga DAP.

Sehubungan dengan itu juga, semua pihak disaran menyedari hakikat bahawa kehadiran PAS dalam persada dan percaturan politik tanah air bukanlah ”melukut di tepi gantang” sifatnya. ”Ada” atau ”Tiadanya” jentera PAS sesungguhnya MEMBERI KESAN kepada kejayaan keADILan mahupun DAP.

Penguasaan PAS terhadap kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu sejumlah 83 kerusi berbanding DAP 73 kerusi dan keADILan 40 kerusi wajar diberikan perhatian serius. Justeru, tidak bermakna apabila PAS hanya mempunyai kerusi Parlimen sejumlah 22, keADILan 31 dan DAP 28 maka PAS sewenang-wenangnya diletakkan seolah-olah parti yang tercorot di dalam mengambilkira apa jua KEPUTUSAN ataupun KEDUDUKANNYA di dalam politik Pakatan Rakyat.

Bahkan, Dewan Muslimat ingin menegaskan betapa PAS sudah terlalu banyak berkorban khususnya kepada keADILan di dalam pembahagian kerusi semasa PRU-12 yang lepas. Bukan setakat itu, PAS sudahpun menunaikan tanggungjawabnya membantu keADILan dan juga DAP sepanjang PRU-12 yang lepas dengan menggerakkan seluruh jenteranya untuk membantu kemenangan mereka dalam pilihan raya itu.

Mengambil kira semua realiti itu, Dewan Muslimat berpendapat adalah wajar Presiden PAS secara tegas dan fokus : kembali mengingatkan rakan-rakan gabungan yang lain agar mereka tidak terlupa kekuatan sebenar yang ada pada PAS. Justeru, prinsip dan dasar perjuangan PAS juga seharusnya dihormati dan ummat Islam dalam negara ini mesti diberikan ruang dan kebebasan untuk mempraktikkan Islam yang sebenarnya secara menyeluruh. Bukannya Islam dalam pemahaman UMNO dan bukan juga Islam dalam pemahaman sempit beberapa pihak yang lain.

Dewan Muslimat sangat prihatin dan memegang erat kata-kata yang pernah diungkap oleh bekas Presiden PAS, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd. Noor yang menegaskan bahawa : ”Islam mestilah diterima sepenuhnya dan Islam mestilah ditegakkan sepenuhnya. Bukan hak kita untuk membahagi-bahagikan Islam, bukan hak kita untuk mengurangkan Islam. Bagi kita Islam adalah Islam yang sepenuhnya. Bukan Islam campur nasionalisma, bukan Islam campur sosialisma, sebaliknya bukan Islam yang tolak pemerintahan, bukan Islam yang tolak politik, bukan Islam yang tolak negara. Islam yang kita (PAS) perjuangkan ialah Islam penuh yang diturunkan Allah Azza Wajalla.”

Akhirnya, Dewan Muslimat mendoakan agar Presiden, Timbalan Presiden dan seluruh kepimpinan PAS di peringkat Pusat bersama-sama dengan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS di peringkat negeri agar diberi kekuatan, kesabaran dan hidayah daripada sisi Allah untuk terus memimpin perjuangan ini. Di samping terus mengadakan perbincangan yang lebih serius, terarah dan efektif bagi memperkukuhkan kerjasama di antara parti untuk kepentingan negara dan rakyat seluruhnya.


Hormat Daripada,
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat

14 Julai 2008, Kuala Lumpur

2 comments:

  1. kenyataan yang sangat memberangsangkan... hopefully, dapat disiarkan dalam media cetak... 'way to go, sis!'

    ReplyDelete
  2. Satu renungan.........

    Kenapa apabila DSAI (PKR) berunding atau bermuzakarah @ bermuqabalah dengan salah satu komponen dalam BN, tidak riuh rendah.

    Tetapi apabila PAS mengadakan rundingan atau bermuzakarah @ bermuqabalah dengan salah satu komponen dalam BN, timbul isu???

    Saya masih yakin dan percaya kepada kepimpinan ulamak. Sebab ikhlas dan jujurnya adalah untuk Islam.

    ReplyDelete