Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Wednesday 30 July 2008

Peruntukan Pilihan Raya Polis Hanya RM75 Juta, Bukan RM98 Juta Didakwa MCPF

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima RM98 juta sebagai peruntukan pilihan raya?

"Tidak," demikian tegas Pengarah Jabatan Logistik, Pesuruhjaya Datuk Mashuri Zainal ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Kata beliau, PDRM hanya diperuntukkan RM75 juta, bukannya RM98 juta yang dilaporkan oleh media memetik seorang exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Robert Phang Miow semalam.

Mashuri berkata, daripada RM75 juta yang diterima sebagai peruntukan pengurusan pasukan polis ketika pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu, sebanyak RM68 juta telah dibelanjakan dan masih terdapat baki kira-kira RM7 juta.

"PDRM tidak terima RM98 juta dan tiada penyelewengan dalam peruntukan yang disediakan," kata beliau.

Hari ini pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menemui Jabatan Logistik untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai isu berkenaan.

"Kami sudah pun menjelaskan isu ini," kata beliau sambil menambah, beberapa anggota polis yang didapati bertindak melanggar peraturan dalam penggunaan peruntukan itu telah pun dipindahkan sebelum ini.

Oleh itu, kata beliau tidak timbul isu penyelewengan dan penyalahgunaan wang berkenaan.
Hari ini BPR menerima dokumen-dokumen berhubung pembelian peralatan berkenaan daripada seorang exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Robert Phang Miow Sin.Semalam, Phang berkata, beliau pada 23 Julai lepas menerima lima salinan dokumen berhubung salah guna kuasa oleh Jabatan Logistik PDRM yang melibatkan kontrak RM98 juta, yang dilakukan semasa pilihan raya umum ke-12 membabitkan enam pegawai berpangkat dari ASP hingga CP.

Dokumen itu tidak menyatakan nama pengirimnya dan antara yang dikaitkan dengan salah guna kuasa adalah merujuk kepada pembelian pelbagai keperluan polis seperti kenderaan, pakaian seragam, anjing, dan sebagainya.Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semalam berkata satu jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu dan sekurang-kurangnya 12 pegawai dan anggota sudah diarah bertukar.

Mashuri menjelaskan, peruntukan yang diterima itu tidak digunakan kesemuanya di peringkat pusat.

Sebaliknya menurut beliau, wang berkenaan diagihkan dalam bentuk waran kepada pasukan polis di seluruh negara iaitu kepada 15 kontinjen dan lima briged.

Mengenai pecahan dan jenis perbelanjaan, beliau berkata, RM30 juta digunakan untuk perbelanjaan perjalanan dan sara hidup,, RM418,045 (pengangkutan barang-barang), RM3.36 juta (perhubungan dan utiliti), RM2.75 juta (sewaan), RM1.8 juta (bahan-bahan makan dan minuman), RM16 juta (bekalan bahan mentah dan bahan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kecil), RM8 juta (bekalan dan bahan-bahan lain), RM5 juta (penyelenggaraan dan pembaikan kecil dibeli) dan RM8 (perkhidmatan iktisas dan perkhidmatan lain dibeli dan hospitaliti).
Dalam pada itu Bernama melaporkan, segala dokumen berkaitan pembelian pelbagai peralatan tertentu oleh PDRM sejak awal tahun ini sedang diteliti oleh pegawai-pegawai BPR, kata Timbalan Ketua Pengarah BPR Datuk Abu Kassim Mohamed.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji dokumen-dokumen yang berkaitan untuk melihat sekiranya terdapat sebarang unsurunsur rasuah dalam urusan pembelian peralatan tersebut."BPR sedang kaji dokumen itu, jika ada elemen yang dilihat boleh diambil tindakan, kami akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat BPR di sini, hari ini.Abu Kassim berkata siasatan akan diteruskan jika wujud asas yang kuat berhubung dakwaan itu.

No comments:

Post a Comment