(Dikemas kini, pukul 1606)
PERMATANG PAUH: Penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menahan lima buah bas pada pukul 3 petang tadi yang dipercayai membawa penyokong Barisan Nasional.
Tiga buah bas kini sedang berada di Balai Polis Seberang Perai Utara manakala dua buah lagi ditahan di Mengkuang Titi.
Difahamkan, polis akan membuat sidang media pada pukul 6 petang ini.
Sementara itu, hampir 67 peratus pengundi telah pun keluar mengundi dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh hari ini - pilihan raya kecil yang dianggap sebagai 'ibu segala pilihan raya kecil dengan kawalan polis yang cukup ketat termasuk rondaan helikopter dan di sebalik kesesakan teruk.
Proses pengundian bermula pukul 8 pagi ini dengan lebih 58,000 pemilih terus beratur panjang di pekarangan pusat-pusat pengundian di seluruh Permatang Pauh manakala setengah pengundi masih bertarung dengan kesesakan paling teruk.
Pusat pengundian akan ditutup dalam dua jam lagi.
Difahamkan kesesakan di sesetengah tempat kesesakan menjangkaui jarak sehingga lima kilometer, menyebabkan sebahagian besar yang keluar mengundi sejak pukul 10 pagi 'meluangkan' masa mereka di atas jalan-jalan raya sementara menanti giliran.
mStar Online difahamkan lebih 51 peratus telah keluar mengundi sehingga pukul 1 tengah hari tadi dan angka itu mencecah 60 peratus setakat pukul 2 petang tadi.
"Sehingga pukul 3 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati 67 peratus sudah mengundi, dan saya yakin angka ini akan terus meningkat walaupun berlaku kesesakan teruk," kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online.
Beliau turut meninjau perkembangan proses pengundian sejak pagi tadi.
Selain meletakkan anggota polis di kesemua lokasi strategik polis juga membuat rondaan udara sejak pagi tadi.
Terdahulu menurut Wan Ahmad, di sesetengah saluran mengundi, peratusan keluar mengundi telah melebihi 50 peratus dalam tempoh tiga jam pertama selepas pusat pengundian dibuka.
Perkara itu turut diakui oleh Amin Iskandar, Pengarah Eksekutif Institut Integriti Pilihan Raya Kebangsaa, sebuah badan pemerhati pilihan raya negara ini.
Tambah kata Wan Ahmad, pada keseluruhannya proses pengundian berjalan dengan lancar.
"Polis memaklumkan tiada kejadian-kejadian tidak diingini berlaku. Difahamkan kesesakan hari ini dilihat sebagai paling teruk dialami dalam bahagian Permatang Puah, banyak orang luar turut hadir (ahli parti dan penyokong)," katanya.
Bagaimanapun, kereta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibaling dengan botol air ketika meninjau proses pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Jaya, Semilang di Seberang Jaya di sini.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Najib baru sahaja memasuki kereta selepas berjumpa dengan para penyokong Barisan Nasional (BN).
Kemudian Najib memberitahu wartawan, bilangan anggota polis di kawasan penjumlahan undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun malam ini akan dipertingkatkan.
Tinjauan mStar Online mendapati kesesakan teruk terus dialami di kawasan Permatang Pauh khususnya kawasan berhampiran pusat mengundi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah ketika ditemui di rumahnya pagi tadi berkata, peratusan arah aliran keluar mengundi sebeklah pagi ini lebih menggalakkan berbanding dengan situasi 8 Mac lalu.
"Ramai yang keluar mengundi. Saya gembira dengan sokongan diberikan dan yakin boleh menang," katanya.
Pengundi Permatang Pauh telah dinasihatkan supaya keluar mengundi lebih awal ketika cuti umum diisytiharkan di seluruh Pulau Pinang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun gelanggang untuk mendapatkan semula kerusi itu atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat berkata: "Berdasarkan keadaan semasa, saya optimis, Insya-Allah.
"Pun begitu kepada Tuhan kita sandarkan harapan. Harapan ini bukan untuk Anwar Ibrahim semata-mata, tetapi untuk rakyat dan masa depan negara," kata Anwar dalam blognya tengah hari ini.
Kempen 10 hari berakir yang berakhir malam tadi memperlihatkan perjalanan kempen yang tenang tetapi agak panas dengan pelbagai tuduhan, kecaman dan kritikan.
Lebih 10 isu nasional dan puluhan masalah tempatan diletakkan oleh calon-calon yang bertanding sejak 16 Ogos lalu.
Permatang Pauh mempunyai 58,459 pemilih berdaftar - 69.49 peratus Melayu, Cina 24.56 peratus, India 5.79 peratus dan lain-lain 0.13 peratus.
Kira-kira 15 peratus pemilih merupakan mereka yang tinggal di luar Permatang Pauh.
Pengundian akan ditutup 5 petang manakala keputusan dijangka diketahui sebelum 10 malam ini, kata Wan Ahmad.
Sebanyak 110 saluran di 28 pusat mengundi disediakan untuk tujuan pengundian.
Seramai 490 anggota polis sudah membuang undi secara pos di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada Sabtu lalu.
Semua kertas undi yang telah dikira di saluran-saluran mengundi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini sebelum keputusan diumumkan. Ia juga merupakan tempat penamaan calon hari itu.
Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Arif Shah yang mewakili BN dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.
Arif Shah merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Seberang Jaya.
Walaupun terdapat pertarungan tiga penjuru tetapi persaingan sengit adalah melibatkan Anwar dan Arif Shah - yang pernah menduduki platform politik yang sama satu dekad yang lalu.
Arif Shah telah mengundi di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya II pada pukul 8 pagi. Beliau memasuki pusat pengundian pukul 8 pagi bersama isteri dan anaknya dan keluar 15 minit kemudian.
Anwar membuang undi di Sekolah Rendah Seri Penanti pada pukul 9.48 pagi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail iaitu bekas penyandang kerusi itu dari 1999 hingga 31 Julai lalu.
Dalam pada itu, Hanafi walaupun bertanding di sini tetapi tidak mengundi kerana beliau merupakan pengundi kawasan Tanah Merah, Kelantan.
Pilihan raya kecil diadakan ekoran keputusan Dr. Wan Azizah, yang menang dengan majoriti 13,388 undi selepas memperoleh 30,338 undi menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail yang memperoleh 16,950 undi mengosongkan kerusi itu.
Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 yang dimenanginya atas tiket BN, mahu mendapatkan semula kerusi itu menerusi PKR yang merupakan anggota komponen Pakatan Rakyat.
Ketiga-tiga calon yang bertanding memberitahu semalam bahawa pihaknya yakin akan memperoleh kemenangan walaupun berhadapan dengan cabaran dan halangan.
Bagi Anwar, selain mahu mempertahankan kubu kuat PKR di kawasan itu, pilihan raya kecil tersebut juga merupakan titik permulaan untuk menubuhkan 'kerajaan baru' bersama gabungan parti pembangkang Pakatan Rakyat.
"Ke Putrajaya Bermula di Permatang Pauh" - ini moto kempen Anwar dengan bertemakan "Merdekakan Rakyat".
Arif, bekas Ketua Pemuda Umno ketika Anwar menjadi Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh meletakkan moto "Di Sini Untuk Permatang Pauh".
Semalam beliau berkata, sokongan menunjukkan arah aliran peningkatan dan peluang untuk menang.
Begitu juga Hanafi atau turut dikenali sebagai "Haji Pi" yang menganggap pemilih Permatang Pauh sudah mula menerima kehadiran beliau.
Pilihan raya kecil ini membuka tirai pengundian dengan SPR terpaksa menyiasat dakwaan PKR mengenai kehilangan sebanyak 944 nama pengundi daripada daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, SPR akan menyiasat mengenai dakwaan itu daripada bahagian maklumat komputernya sebelum membuat sebarang ulasan mengenai perkara itu.
Kamaruzaman berkata, pilihan raya kecil Permatang Pauh esok akan mengguna pakai Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan pada 19 Julai dan dikemaskini pada 31 Julai lalu.
Kamaruzaman berkata, bagi warganegara yang berumur 21 tahun ke atas yang baru memohon didaftarkan sebagai pemilih pada 1 April lepas tidak boleh mengundi kerana nama mereka belum disenaraikan dalam daftar pemilih itu.Dalam pada itu, polis memberikan jaminan pilihan raya kecil adakan dengan lancar dan tenang.
Jaminan itu diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam, dengan berkata, jumlah anggota polis yang ditugaskan pada pilihan raya kecil itu adalah mencukupi untuk mengawal sebarang keadaan sepanjang pengundian berlangsung.
"Kami sudah membuat persiapan rapi bagi pilihan raya kecil ini dan anggota kami akan memantau keadaan 24 jam."Pengundi tidak perlu bimbang semasa mengundi. Semuanya terkawal. Hanya patuhi peraturan dan semuanya akan berjalan dengan lancar," katanya kepada Bernama.
No comments:
Post a Comment