Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Friday, 29 August 2008

Pendapat Timbalan Pengarah seksyen Ekonomi Makro, UPE, JPM


Usah Hanya Mengeluh Inflasi Melonjak 8.5%

Oleh MUHAMAD ABD. RAHAMAN

KADAR inflasi pada bulan Julai 2008 melonjak kepada 8.5 peratus, iaitu 0.8 mata peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan ini merupakan kesan penuh daripada penstrukturan semula minyak petrol dan diesel pada awal Jun 2008 di samping penyelarasan harga beras di seluruh negara.

Walaupun kadar ini masih rendah berbanding paras tertinggi 23.9 peratus pada Mac 1974 semasa krisis minyak pertama dan 10.8 peratus pada April 1981, berpunca krisis harga komoditi, namun inflasi 8.5 peratus ini melepasi paras 6.3 peratus pada Jun 1998, sewaktu krisis kewangan 1997/98.

Sungguhpun begitu, berbanding dengan beberapa negara, sebenarnya kadar inflasi di Malaysia masih terkawal seperti di dalam jadual.

Kira-kira 45 peningkatan inflasi disumbangkan oleh indeks pengangkutan yang meningkat 22.7 peratus, dan 43 peratus disumbang oleh indeks makanan dan minuman bukan alkohol yang meningkat 11.2 peratus.
Kenaikan harga petrol dan diesel antara 39 peratus hingga 63 peratus merupakan penyumbang utama kepada peningkatan indeks pengangkutan. Walaupun indeks harga makanan dan minuman bukan alkohol secara keseluruhan meningkat 11.2 peratus, terdapat beberapa barangan makanan yang meningkat melebihi 40 peratus.

Pada 22 Ogos 2008, berikutan kejatuhan harga minyak dunia, kerajaan menurunkan harga runcit minyak petrol 15 sen kepada RM2.55 seliter bagi RON97, 22 sen kepada RM2.40 seliter bagi RON92 dan 8 sen kepada RM2.50 seliter bagi diesel.

Langkah ini melegakan rakyat. Tanpa penurunan harga minyak, inflasi dijangka kekal kira-kira 8.5 peratus pada Ogos 2008. Memandangkan penurunan harga minyak hanya melibatkan lapan hari sahaja pada Ogos, maka kadar inflasi dijangka berkurangan 0.2 mata peratus kepada 8.3 peratus.

Namun, kesan sepenuhnya adalah pada September 2008 dengan jangkaan inflasi sekitar 7.0 peratus. Untuk mengembalikan kadar inflasi bawah tiga peratus masih sukar kerana ia mengambil masa sekurang-kurangnya sehingga pertengahan 2009.

Namun, kejatuhan harga minyak akan menjadi lebih bermakna jika pengusaha dan peniaga menurunkan harga barangan dan perkhidmatan lain. Dalam hubungan ini, mereka harus lebih bertanggungjawab dan adil kepada pengguna.

Apa pun keadaan, peningkatan inflasi yang tinggi akan memberi kesan negatif dan amat membebankan kepada pengguna, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan miskin. Inflasi bermakna nilai wang merosot, kuasa beli terhakis, wang yang banyak diperlukan untuk memiliki barangan yang sedikit dan akhirnya kehidupan menjadi lebih tertekan.

Namun, yang menjadi persoalan adakah kita hanya mengeluh melihat harga barang terus naik tetapi tidak berbuat apa-apa atau hanya menyalahkan kerajaan?

Cukupkah sekadar memikirkan berapa banyak wang yang perlu dibelanjakan setiap hari? Cukupkah ia untuk menampung kehidupan sehari-harian?

Sebenarnya sebagai pengguna yang bijak, kita mempunyai banyak pilihan. Sama ada memilih untuk membeli barang mengikut keperluan, beralih kepada barang pengganti yang hampir sama dari segi kegunaan tetapi lebih murah, ataupun membuat pengorbanan tertentu demi mendapatkan keperluan yang lebih utama.

Umpamanya, kita boleh beralih daripada membeli daging segar kepada daging import yang lebih murah atau menggantikan ikan tenggiri kepada ikan yang lebih murah seperti ikan cencaru, keli dan talapia. Mungkin juga kita boleh menukar kepada makanan yang lebih sihat seperti sayur-sayuran atau ulam-ulaman.

Apabila ingin membeli sesuatu barang, kita sepatutnya membuat perbandingan harga sebelum membeli. Perbandingan ini boleh dibuat dengan merujuk kepada akhbar, Internet atau bertanya kepada sahabat handai.

Selain itu, memupuk hobi, bertanam untuk kegunaan sendiri sebagai menyahut program Bumi Hijau, kreatif dalam meningkatkan pendapatan dan membuat pembelian langsung daripada petani atau membeli secara pukal jika boleh menjimatkan.

Bulan Ramadan bakal tiba beberapa hari lagi. Yang anehnya ada orang berbelanja lebih di bulan Ramadan daripada bulan lain. Jadikan Ramadan tahun ini untuk kita mula mengubah sikap, gaya hidup serta tidak boros dan membazir dalam perbelanjaan.

Budaya menyambut raya sepanjang Syawal bolehlah difikir-fikirkan. Kalau mengikut ajaran Islam yang sebenar, Aidilfitri hanya pada 1 Syawal sahaja dan mulai 2 Syawal kita disunatkan puasa enam.

Akhir sekali, pengguna perlu mengambil sikap memilih dalam membuat perbelanjaan, berhemat dan berjimat cermat. Oleh yang demikian, bertindaklah dengan bijak kerana kuasa memilih dan kuasa pengguna ada di tangan anda.

No comments:

Post a Comment