Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Sunday 24 August 2008

Alahai Hari Wanita Kebangsaan

Hari Wanita Kebangsaan bagi negara kita yang jatuh pada tarikh 25 Ogos pada setiap tahun sebenarnya telah mula diperkenalkan oleh Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim yang merupakan bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO.

Beliau yang juga merupakan Wanita Pertama Malaysia yang dilantik menjadi Menteri Kabinet Malaysia (20 Mei 1969 – 28 Februari 1973 ) telah memulakan perayaan Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 1962 dan ianya berlanjutan sehinggalah ke hari ini.

Apa pun, HAKIKATNYA perayaan Hari Wanita Kebangsaan ini kelihatannya seolah tidak menyeluruh. Meskipun ianya diraikan saban tahun, namun jelasnya ia sekadar berupa sebuah sambutan yang sepi lagi hambar.

Beberapa faktor penyebab kepada kehambaran sambutannya barangkali ialah seperti berikut :

1.Tarikh 25 Ogos ini merupakan tarikh yang berpihak kepada sejarah perjuangan Pergerakan Kaum Ibu UMNO semata-mata dan dilihat tidak mewakili sejarah perjuangan wanita keseluruhannya ;

2.Wanita di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial, sejarah bangsa, kaum dan ideologi politik SEJUJURNYA TIDAK DAPAT MENJIWAI akan tarikh 25 Ogos ini kerana sejarah perjuangan wanita bagi negara ini hakikatnya bukan semata-mata berkisar daripada Sejarah Perjuangan Wanita UMNO ATAU sejarah politik kepartaian yang sempit ;

3.Lebih malang ialah bilamana Perjuangan Politik UMNO kini khususnya selepas 50 tahun pertama Kemerdekaan Malaysia lebih sinonim dilihat oleh rakyat sebagai KEGAGALAN MENGURUS TADBIR NEGARA,RASUAH, SALAH GUNA KUASA, PENINGKATAN JENAYAH, ANCAMAN KESELAMATAN TERHADAP WANITA DAN KANAK-KANAK, PEMBUNUHAN DAN PELBAGAI PENYAKIT SOSIAL YANG PARAH .


Justeru, selagi negara ini menyambut Hari Wanita Kebangsaan pada tarikh 25 Ogos, dan rakyat khususnya kaum wanita seluruhnya seolah DIPAKSA MENERIMA SEMEGAHNYA tarikh sambutan ini (yakni tidak meraikannya dengan gembira), maka selagi itulah sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang sudahpun diraikan lebih 40 tahun ini akan hanya disambut oleh kelompok wanita tertentu sahaja dalam negara ini.

Ia tidak akan mampu menggembleng seluruh kekuatan dan kesedaran wanita. Gunalah apa sahaja tema yang kononnya untuk mengangkat martabat dan memacu enjin kehebatan wanita, percayalah ianya tidak akan terpacu seutuhnya.

Saranan kami…

1.Agar Kerajaan lebih bertanggungjawab dalam memilih dan menetapkan tarikh yang lebih relevan untuk Sambutan Hari Wanita Kebangsaan dan Hari-Hari Peristiwa yang lain tanpa sikap bias ;

2.Tarikh baru tersebut mesti dimasukkan ke dalam Kalendar Rasmi Negara dan disambut secara menyeluruh di seluruh negara ;

3.Sambutan MESTI melibatkan semua masyarakat wanita tanpa mengira ideologi politik masing-masing ; dan

4.Agar semua wanita di Malaysia yang meyakini KEGAGALAN UMNO/BN dan mendambakan sebuah “Malaysia Baru” sepakat menolak tarikh sambutan 25 Ogos ini.


Rumusan kami…

Peranan dan fungsi kaum wanita dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sememangnya tidak dapat dinafikan.

Peranan dan fungsi cergas wanita ini telahpun bermula sejak sejarah awal Tanah Melayu, hatta ketika negara kita berada dalam cengkaman penjajah, era perjuangan menuntut kemerdekaan, era membangunkan ekonomi negara dan sehinggalah sekarang dalam zaman teknokrat, langit terbuka dan dunia tanpa sempadan.

Berdasarkan perangkaan tahun 2006, jumlah penduduk Malaysia ialah seramai 26.64 juta dan 13.08 juta (iaitu 49.1%) daripadanya merupakan kaum wanita.

Guna Tenaga Wanita Malaysia 2006 jelas membuktikan betapa 45.8% daripada populasi wanita itu merupakan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung iaitu bekerja di pelbagai sektor pekerjaan. Selebihnya pula merupakan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara secara tidak langsung sama ada masih belajar, melanjutkan pelajaran, suri rumah sepenuh masa (68.6%) dan lain-lain.

Kaum wanita tanpa mengira ideologi politik yang sempit mesti terus diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan. Usaha pemerkasaan dan pemberdayaan wanita mesti dibuat secara menyeluruh ; di Kota dan di Desa, berkerjaya atau tidak, yang kaya mahupun yang miskin, yang kuat mahupun yang lemah, yang tua mahupun yang muda – semuanya mesti diangkat martabat kehidupan mereka.

Kerajaan yang menghargai pengorbanan wanita semestinyalah bersikap mampu dan mahu memastikan wujudnya dunia dan persekitaran yang selamat untuk kaum wanita!

IRONINYA dalam negara kita pada hari ini, keselamatan dan keamanan untuk kaum wanita sudah semakin diperjudikan oleh pihak pemerintah. Statistik rogol sahaja meningkat sehingga 9 mangsa wanita setiap hari! Statistik Kehilangan kanak-kanak 3-4 orang sehari!

Inikah hadiah UMNO/BN kepada kaum wanita Malaysia selepas 50 tahun memerintah negara?

HAKIKATNYA kita kaum Wanita mahukan satu perubahan dalam negara kita. Perubahan yang menjamin keselamatan kita, anak-anak kita dan ahli keluarga serta anggota masyarakat kita. Tidak ada ertinya menyambut Hari Wanita Kebangsaan setiap tahun jika segala titik bengit ini tidak mampu diperbetulkan oleh kerajaan.

Sesungguhnya, Kita tidak mahu menerima madu di tangan kanan dan pada masa yang sama diberikan racun pada tangan kiri!



Salute,

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat
25 Ogos 2008

1 comment:

  1. Salam...

    Hakikatnya, kerajaan perlu mengambil tindakan, bukan sahaja berkaitan sambutan ariwanita, tetapi juga yang menyentuh sambutan2 lain seperti hari bapa, hari ibu serta hari guru contohnya...

    salute,

    Raj Akbar Sabu

    ReplyDelete