Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Monday 25 August 2008

Pengaruh Nadiah - Nadene Dalam Lanskap Politik Malaysia

Abdullah dikenali sebagai orang yang mudah dipengaruhi kaum keluarga terdekatnya. Oleh itu, peluang terbuka untuk calon-calon yang bercita-cita tinggi sebagai penasihat tidak rasmi PM melalui kedudukan mereka sebagai suami kepada Nadiah dan Nadene!

Oleh Ahmad Lutfi Othman

JUMLAH ahli PAS hampir mencecah sejuta orang. Tiada lagi kawasan di Semenanjung yang boleh dianggap asing untuk PAS. Baik semasa merangkul kerusi yang banyak di Parlimen pada 1999 ataupun sekadar mempunyai kerusi tunggal pada 1986, ia tetap dianggap pesaing terdekat Umno. Membicarakan politik Malaysia tanpa menyentuh faktor PAS, terasa kejanggalannya.

Justeru, jika muktamar tahunan PAS mendapat perhatian istimewa media mahupun pemerhati politik, dan rakyat seluruhnya, apatah lagi ketika proses pemilihan kepemimpinan sepertimana awal Jun lalu, ia fenomena biasa. Sekiranya media membuat ulasan dan tafsiran, dari perspektif apa sekalipun, termasuk yang menampakkan kejahilan mereka memahami pergolakan dalam PAS, bagi saya, "kita tak perlu ribut-ribut" . Usah melatah mendengar komentar.

Apabila pihak luar memberi tumpuan kepada perkembangan PAS, dan kemudian membuat ulasan tersendiri, tidak terkecuali memberi label dan tanggapan negatif, itu tandanya PAS masih hidup bersama denyut jantung masyarakat. Sebuah parti yang "membesar" seperti PAS tidak wajar gundah-gulana dengan apa jua tanggapan orang, walaupun pandangan itu sering tersasar daripada kebenaran.

Bukankah politik banyak ditentukan oleh persepsi? Secara jujur, apa sebenarnya persepsi majoriti masyarakat terhadap PAS? Tentu masih terkumpul segala pandangan serong yang diwarisi sejak berzaman lamanya. Benar, sebahagian persepsi itu berciri negatif dan nampak seperti mudah ditolak. Namun ia sukar ditanggalkan, walaupun pelbagai usaha dibuat untuk memadamkan imej buruk yang usang itu. Langkah terbaik menjernihkannya ialah berpencak di tengah gelanggang, menawarkan khidmat dan akhirnya persepsi buruk itu lekang sendiri.

Selepas reformasi 1998, PAS tiba-tiba didekati. Realiti penyingkiran Anwar Ibrahim membantu PAS meluaskan wilayah pengaruhnya. Bermula dengan amarah rakyat terhadap kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad, PAS sebagai parti alternatif kepada Umno semakin terserlah. Pemimpinnya mula dikenali, dasar parti dikaji. Ramai mahu menyapa PAS dan memberikan harapan tinggi buatnya.

Biarpun pilihan raya 2004 menyaksikan majoriti orang Melayu kembali menyokong Umno, suasananya tidak serupa sebelum pilihan raya 1999. PAS menyusut tetapi tidak merudum. Keahliannya kian rencam. Memang kita mahukan kesatuan dalam berfikir dan bertindak, namun ia tidak semudah itu. Sikap terbuka dan berlapang dada semakin dituntut. Mudah untuk menyisihkan yang berbeza pendapat tetapi parti yang sedang membesar perlu keanjalan.

PAS tidak perlu risau dengan label negatif kepadanya seperti juga ia tidak perlu gentar dengan pelbagai analisis media tentang corak kepimpinannya. Menutup pintu kepada tanggapan pihak luar hanya menjadikan PAS membatu di tahap lama, sedangkan ia perlu tangkas dan bingkas memburu kemenangan. Kelompok sokongan tradisi mesti dipertahankan, manakala golongan penentu atas pagar hanya tertarik jika ada agenda besar yang merakyat sifatnya bersama PAS.

Sebagai ahli atau pemimpin kepada parti besar seperti PAS, maka aktivisnya juga harus berjiwa besar.

II

Banyak sekali ulasan tentang pernikahan Perdana Menteri dengan Jeanne Abdullah, 53. Saya tidak begitu berminat dengan kritikan ramai terhadap isteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, terutama yang tidak berpuas hati bagaimana pelopor Islam Hadhari boleh memilih teman hidup yang tidak bertudung.

"Selepas kematian Allahyarham Endon, 20 Oktober 2005, Pak Lah ada pilihan untuk memilih calon isterinya yang bertudung ataupun tidak, tapi beliau nampaknya ada citarasa tersendiri," kata seorang kawan lama. Saya juga diberitahu ada pegawai JPM yang melarang media mengaitkan Jeanne, bekas isteri kepada adik Endon, sebagai janda.

Bagi saya, apa pun tafsiran rakyat terhadap pilihan Abdullah itu, sekalung tahniah buatnya. Teringat saya usikan seorang blogger, "semoga kekal bahagia dan tak pegang bahu orang lain lagi". Beliau mungkin merujuk gambar Abdullah bersama artis Hong Kong, Michelle Yeoh.

Apa pun, saya lebih tertarik dengan dua putri Jeanne, Nadiah dan Nadene, yakni anak tiri Abdullah. Rasanya ramai Pemuda Umno yang mengintai peluang untuk menjadi menantu (tiri) Abdullah, bagi menafikan hak mutlak Khairy Jamaluddin yang kini berperanan hebat sebagai menantu lelaki tunggal PM.

Abdullah dikenali sebagai orang yang mudah dipengaruhi kaum keluarga terdekatnya. Oleh itu, peluang terbuka untuk calon-calon yang bercita-cita tinggi sebagai penasihat tidak rasmi PM melalui kedudukan mereka sebagai suami kepada Nadiah dan Nadene!

No comments:

Post a Comment