Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Monday 25 August 2008

Mengingati Dua Mandat Besar PAS

Abu Firdaus Thu Aug 21, 08 12:25:50 pm MYT

Muktamar PAS di Ipoh baru-baru ini sememangnya bersejarah. Lebih-lebih lagi ia diadakan sejurus sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang juga bersejarah bagi negara ini.

Di bawah slogan 'PAS untuk semua', maka kehadirannya di Perak Darul Ridzuan menyerlahkan bahawa PAS adalah untuk semua rakyat Malaysia, bukan saja untuk orang Melayu dan Islam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, merentasi kaum, agama dan fahaman politik.

Justeru, PAS bukan berasal semata-mata daripada Biro Agama Umno dan ditubuhkan pada awalnya oleh pendokong Dato Onn Jaafar dalam parti itu. PAS merupakan lanjutan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggul, Perak. Maknanya parti pertama Islam adalah di Perak. Parti pimpinan Abu Bakar Bakir itu turut dianggotai Asri Muda.

Hizbul Muslimin menyertai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Burhanuddin Al-Hilmy.

PUTERA pula bersama dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) dalam melancarkan Perlembagaan Rakyat, yang berbeza daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dokongan Umno pada 1947.

Perlembagaan Rakyat, PUTERA-AMCJA dan Hizbul Muslimin terbubar dengan tangkapan besar-besaran pihak British ke atas parti-parti kiri menjelang Darurat.

Maka vakum politik ketika itu diisi Umno. Tetapi syarat kemerdekaan ialah parti untuk semua kaum, dan bukannya untuk orang Melayu saja. Itulah juga saranan Dato Onn. Biro Agama Umno mendokong Dato Onn. Begitulah sifat terbuka biro itu. Tetapi kebanyakan pemimpin Umno menolak.

Dato' Onn keluar parti dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang kemudian digantikan Parti Negara. Biro Agama Umno juga keluar parti walaupun pemimpinnya menyertai parti Dato' Onn.

Maka Biro Agama Umno menjadi Persatuan Islam Setanah Melayu (PAS). Kekosongan kepimpinannya diisi Burhanuddin Al-Hilmy, seorang anak Perak. Penyertaannya ke dalam PAS diikuti pendokong Hizbul Muslimin yang menganggap PAS penggantinya.

Ahmad Boestamam, seorang anak Perak juga mengasaskan Parti Rakyat Malaya (PRM) yang ianggap sebagai lanjutan PKMM. Semasa penubuhannya pada 1950, Burhanudin yang telah menerima pelawaan PAS untuk menjadi ketuanya turut berucap. Mereka mengisytiharkan kesetiakawanan antara PAS dan PRM.

Dalam pilihan raya pra-merdeka, PAS, PRM dan Dato' Onn adalah sekutu. PRM bergabung dengan Parti Buruh Malaya (LPM) untuk mewujudkan Barisan Sosialis (SF). v Menjelang pilihan raya 1969. LPM dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kedua-duanya parti pelbagai kaum.

Syed Hussein Al-Attas adalah antara pengasas PGRM sementara DAP mempunyai beberapa tokoh Melayu di Perak.

Apabila BN ditubuhkan, PGRM dan PAS turut menyertainya. PGRM pecah di mana salah seorang pemimpin utamanya, Tan Chee Khoon keluar parti dan menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Ahmad Boestamam menyertai parti berlambangkan mata hari itu.

Sementara PAS di bawah pimpinan Asri juga pecah. Tokohnya di Perak, Hashim Gera yang terkenal sebagai pemantun di Dewan Rakyat keluar parti dan menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) berlambangkan pokok kelapa sawit.

Ketika PAS berada dalam BN, antara perubahan yang berlaku ialah perubahan palang merah menjadi bulan sabit merah, azan di radio dan penubuhan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Salah seorang anggota majlis yayasan itu ialah Nik Aziz Nik Mat.

Kini Yadim diketuai Nakhaie Ahmad, bekas pemimpin PAS.

Selasa PAS dalam BN, kesedaran Islam mula meningkat di kalangan pelajar anak muda. Mereka enggan menyertai PAS kerana ia berada dalam BN. Mereka lebih gemar menyertai ABIM pimpinan Anwar Ibrahim.

Hanya setelah PAS keluar BN, barulah aktivis Islam senang menyertai ABIM termasuklah timbalan Anwar iaitu Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pengganti PAS dalam BN ialah Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa).

Untuk sekian lamanya Permatang Pauh adalah kawasan PAS yang mana sukar bagi Umnomenembusinya hinggalah Anwar yang menjadi calonnya pada 1982.

Anwar baru-baru ini berkata usahanya untuk mengalahkan calon PAS itu adalah pilihan raya paling sukar baginya, lebih sukar daripada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

Kegagalan PAS dalam pilihan raya itu membawa kepada tersingkirnya Asri daripada parti itu. Beliau kemudian menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) yang menjadi anggota BN bersama Berjasa. Asri kemudian menyertai Umno dalam usahanya untuk membubarkan HAMIM.

Bagaimanapun, HAMIM akhirnya keluar BN dan menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama dengan PAS dan Berjasa.

Apabila Anwar disingkirkan daripada UMNO, penyokongnya termasuk ABIM menubuhkan Parti Keadilan Nasional (keADILan). Bersama PAS, PRM dan DAP, ia menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya 1999. Kerana Cina menolak PAS, DAP mengalami kekalahan di banyak tempat dan ia keluar daripada BA.

Pergolakan dalam keADILan mendorong ABIM untuk merenggangkan hubungan dengannya. Atas usaha Anwar, keADILan dan PRM digabungkan untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

BA yang dianggotai PAS dan KeADILan menyertai pilihan raya 8 Mac lalu dengan kerjasama DAP.

Penyokong pembangkang menyebutnya Barisan Rakyat tetapi dinafikan Lim Kit Siang yang tidak mahu dikaitkan dengan PAS.

Tetapi hakikatnya kemenangan 8 Mac adalah sokongan rakyat kepada gabungan serta kerjasdama PAS-KeADILan-DAP bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Juga PRM yang dihidupkan semula di kalangan anggotanya yang enggan menyertai PKR. Hanya setelah menang Anwar mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat.

Justeru, pilihan raya kecil Permatang Pauh ini merupakan pertandingan pertama bagi calon Pakatan. Anwar bukan saja calon KeADILan tetapi adalah calon semua anggota pakatan termasuk PAS.

Walaupun PAS secara rasmi tidak menangguhkan sokongan Anwar sebagai Perdana Menteri tetapi ia tetap berada dalam Pakatan. Dengan Umno, PAS bermuzakarah. Dengan KeADILan dan DAP, PAS berpakat.

Kemenangan Anwar di Permatang Pauh bergantung pada PAS. Tetapi kemenangan PAS di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor bukan saja bergantung pada Anwar dan KeADILan tetapi juga DAP. Kemenangan PAS pada 8 Mac lalu berdasarkan pada dua mandat.

Satu mandat dari orang Cina dan India yang percaya bahawa PAS adalah untuk semua, dan bukan saja untuk orang Melayu dan Islam.

Sementara mandat kedua datangnya daripada orang Melayu yang selama ini mengundi BN, yang percaya kepentingan Melayu akan lebih terjamin oleh PAS dengan pentadbiran yang telus dan bersih.

PAS mewarisi Hizbul Muslimin dan Dato' Onn sementara KeADILan mewarisi PKMM dan PRM. Pakatan mewarisi perjuangan Abu Bakar Bakir, Burhanuddin Al-Hilmy, Ahmad Boestamam dan juga Onn Jaafar. - mr _


No comments:

Post a Comment