Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Monday 25 August 2008

Implikasi Luas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh


Posted on Monday, August 25 @ 21:27:07 MYT

by reformis Oleh A Kadir Jasin


DALAM masa tidak sampai 12 jam pemilih kawasan Parlimen Permatang Pauh akan keluar mengundi bagi menentukan bukan sahaja kesudahan politik Anwar Ibrahim tetapi masa depan politik negara.

Sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri itu menang atau tidak, implikasi pilihan raya kecil ini adalah luas dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke penyudahnya.

Jangkaan umum menjurus kepada kemenangan Anwar. Yang menjadi persoalan hanyalah sama ada ia kemenangan besar atau tipis. Menang tetap menang.

Yang sudah pasti adalah kempen pilihan raya kecil itu bukan sahaja sengit tetapi mengandungi unsur-unsur sensasi yang nyata banyak melanggar etika, adab dan tatasusila – daripada tuduhan liwat kepada pembunuhan, pengkhianatan, politik wang dan penyalahgunaan kuasa.

Tetapi salah satu kesan jangka panjang yang memerlukan masa untuk diselidik dan difahami adalah tindakan beberapa watak terbabit menggunakan sumpah untuk membela diri.

Apakah sumpah atas nama Allah atau sumpah di masjid ini boleh dilakukan sewenang-wenangnya dan dijadikan amalan politik harian?

Yang pertama bersumpah dengan nama Allah dan merujuk kepada balasan laknat adalah Saiful Bukhari Azlan yang mengaku dia telah diliwat oleh Anwar.

Dia bersumpah di hadapan imam dan pegawai Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 15 Ogos, sehari sebelum penamaan calon Permatang Pauh.

Walaupun sumpah Saiful Bukari itu didakwa tidak kena mengena dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh, namun menurut laporan media massa arus perdana dan alternatif ia menjadi bahan kempen yang hangat bagi Barisan Nasional.

Tindakan Saiful Bukhari dicontohi oleh Timbalan Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak apabila beliau bersumpah, juga dengan nama Allah, di sebuah masjid di Permatang Pauh.

Mohd Najib bersumpah dia tidak tindak pernah berjumpa dan tidak kenal dengan mangsa pembunuhan sensasi Altantuya Shaariibuu. Penasihat politik Mohd Najib, Abdul Razak Abdullah Baginda dan dua anggota polis sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh wanita Mongolia itu.

Apa pun muslihat dan kesan mutakhir sumpah-sumpah ini ke atas keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh dan kepada orang yang bersumpah, satu perkara yang dikhuatiri adalah implikasinya terhadap Islam.

Apakah kesan sumpah-sumpah ini terhadap orang Islam keseluruhannya dan terhadap pandangan orang bukan Islam kepada Islam?

Sumpah-sumpah ini boleh mencetuskan persoalan dan pertikaian yang berkemungkinan akan mencemar dan memburukkan lagi imej Islam di negara kita.

Misalnya, apakah reaksi mahkamah sivil terhadap sumpah seperti ini? Adakah sumpah di masjid dengan menggunakan nama Allah atau Al-Quran boleh diterima sebagai bukti?

Dalam keghairahan orang politik dan pihak-pihak yang bersekongkol dengan mereka menggunakan kaedah sumpah ini untuk membela diri, mereka wajib sedar bahawa tindak-tanduk mereka boleh menjejaskan akidah umat Islam dan mendedahkan agama Islam kepada sendaan orang bukan Islam.

Adalah sangat merugikan Islam apabila pihak-pihak yang membelakangkan Islam di dalam tindakan rasmi dan peribadi mereka tiba-tiba bersumpah atas nama Allah dan Kitab Suci apabila tersepit.

Di satu sudut lain pula, perbuatan bersumpah dengan nama Allah dan Al-Quran ini boleh diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang mahu hukum hudud diperkenalkan sebagai undang-undang sejagat bagi memperkukuhkan tuntutan mereka.

sumber: detikdaily.net


No comments:

Post a Comment