Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Template and Design Editing By:
@ Serikandisufi Design @

Powered by Blogger

Thursday 28 August 2008

Husam Nafi Halang Rundingan PAS-UMNO

Abdul Rahim Sabri Aug 28, 08 2:39pm

Dikemaskini

Datuk Husam Musa menafikan beliau menyusun barisan pemimpin atasan parti, yang digelar "kumpulan Erdogan", untuk menghalang rundingan PAS-Umno kerana tidak pernah tahu-menahu tentang pertemuan itu."

(Pertemuan) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (20 Julai lepas), saya langsung tidak tahu walaupun saya naib presiden PAS.

"Jadi macam mana saya hendak mengatur supaya perjumpaan mereka gagal sedangkan saya tidak diberitahu walaupun saya naib presiden PAS," kata pemimpin kanan itu.

"Dalam mesyuarat pun, tidak pernah dimaklumkan adanya perjumpaan pemimpin PAS dengan pemimpin Umno. Jadi, tidak timbul masalah saya hendak ganggu perjumpaan tersebut."


Husam, yang juga exco kerajaan Kelantan, diminta mengulas dakwaan sebuah blog Anti Husam yang menyebut beliau penggerak utama sekumpulan pemimpin PAS menggagalkan rundingan yang disokong oleh presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disertai langsung oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Dipercayai dibina oleh orang dalam parti itu sendiri menjelang muktamar PAS ke-54 baru-baru ini, blog itu mendakwa "tugas terpenting buat Husam ialah untuk mempengaruhi Mursyidul Am supaya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pertemuan di antara PAS dan Umno."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Husam juga berkata gembar-gembur bahawa beliau dijanjikan jawatan timbalan perdana menteri hanyalah "satu rekaan daripada orang-orang yang mempunyai agenda mereka sendiri" dan ia "tidak perlu dilayan."

Tiada perbincangan di Dubai

Anti Husam mendakwa naib presiden PAS itu ditawarkan jawatan tersebut oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan mereka di Dubai, Jun lepas.

"Saya mempunyai aturcara peribadi saya sendiri, tidak ada kena-mengena dengan lawatan Anwar. Saya tidak tahu beliau (Anwar) berada di sana (Emiriyah Arab Bersatu)," katanya.

Tambahnya, beliau secara kebetulan bertemu penasihat PKR dalam satu majlis yang dirancang untuknya oleh sekumpulan warga Malaysia di negara Teluk itu. Menurutnya, penganjur turut mengundang Anwar ke majlis apabila mereka mengetahui kehadiran tokoh politik di sana.

"Saya berucap terlebih dahulu, dan beliau (Anwar) sampai semasa saya sedang berucap. Kemudian selepas habis ucapan, kami pulang ke hotel masing-masing. Keesokan pagi, saya berlepas ke Syria," jelasnya, sambil menambah beliau ke sana hanya separuh hari.

"Jadi tidak ada masa untuk kami berbincang. Tiada perbincangan sama sekali."

Naib presiden PAS itu juga menjelas tulisan dalam blog Anti Husam adalah satu cubaan untuk merosakkan imejnya.

"Dan biasanya character assassination (serangan peribadi) yang dilakukan apabila seseorang itu dianggap mempunyai satu-satu kedudukan yang tertentu," jelas Husam.

Cabar penulis blog tampil

Exco perancangan ekonomi dan kewangan Kelantan itu mencabar penulis blog itu tampil memperkenalkan dirinya jika dakwaan itu benar.

"Kalaulah dia tulis itu satu kebenaran, bukan satu serangan peribadi ataupun fitnah, dia kena berani tampil memperkenalkan dirinya."Kalau serangan dia buat bertopeng seperti ini, awal-awal lagi menunjukkan apa yang mereka tulis itu bukan satu kebenaran.

Kalau benar, mesti dia berani tampilkan dirinya," jelas Husam lagi.

Selain Husam, setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli turut menjadi mangsa serangannya. Terbaru, sasarannya dihadapkan kepada timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad.

Dr Hatta enggan mengulas serangan blog itu sewaktu dihubungi Malaysiakini semalam, sementara Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam menjawab di blog peribadinya 24 Ogos lalu (http://www.khalidsamad-shahalam.blogspot.com/).

Selain tokoh-tokoh PAS ini, menurut Anti Husam, "kumpulan Erdogan" turut disertai ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad serta Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Berhubung kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, Husam hari ini menjelaskan akan komited dengan keputusan parti untuk tetap bersama gabungan pembangkang seperti ditegaskan dalam muktamar di Ipoh, pertengahan bulan ini.

"Jadi saya hadir dalam majlis-majlis Pakatan Rakyat itu adalah satu tindakan, pelaksanaan ke atas apa yang telah diputuskan oleh parti dalam muktamar PAS tersebut.

"Jadi saya hairan bagaimana penulis blog ini, tidak menghayati keputusan parti, tetapi bercakap seolah-olah mempertahankan kepentingan parti," katanya.

Tambahnya, beliau pernah menjelaskan di blognya bahawa pendedahan presiden Umno tentang pertemuannya dengan pemimpin atasan PAS satu agenda untuk memecahbelahkan hubungan antara PAS dan Pakatan Rakyat.

Ia juga bertujuan merosakkan hubungan PAS dengan penyokong bukan Islamnya yang mula berjinak dengan parti itu dan hubungan sesama ahli parti, tambah Husam.

"Jadi penulis blog ini, pada pendapat saya, satu daripada agenda Umno untuk memecahbelahkan kepimpinan PAS," katanya.

Sehubungan itu, Husam menyifatkan tulisan dalam blog itu tidak berasaskan kebenaran dan dan fakta-fakta.

No comments:

Post a Comment